DONETSK, Ukraine – Portugal tidak berasa tertekan untuk berdepan
dengan Sepanyol pada aksi separuh akhir Euro 2012 di Donbass Arena,
Donetsk awal pagi esok.
Kapten Cristiano Ronaldo menegaskan bahawa mereka tiada perasaan gentar menentang juara bertahan Euro itu.
Peledak berbisa berusia 27 tahun itu kini berada pada prestasi
terbaik apabila meledak tiga gol setakat ini sekali gus membantu The
Navigators muncul antara empat pasukan terbaik pada kempen Euro kali
ini.
Pada aksi awal pagi esok, Ronaldo bakal berentap dengan sebahagian
besar rakan sepasukannya di Real Madrid seperti Xabi Alonso, Sergio
Ramos dan Iker Casillas selain seteru utamanya di Barcelona seperti Xavi
Hernandez, Andres Iniesta dan Cesc Fabregas.
Namun, Ronaldo tanpa berselindung mengakui tidak tertekan dengan
pertembungan tersebut dan menganggap ia hanya perlawanan biasa seperti
mana dalam saingan Liga Sepanyol.
“Tidak ada apa-apa yang istimewa mengenai perlawanan ini kerana bagi saya ia hanya satu perlawanan biasa.
“Apa yang akan saya lakukan hanyalah untuk meledak gol sekali gus membantu Portugal menyambar slot ke final,” kata Ronaldo.
Meskipun La Roja dilabel sebagai pasukan pilihan, Ronaldo tetap
optimis mengenai kejutan yang bakal dilakar Portugal seperti mana edisi
2004.
“Jika berjaya melangkah ke final, sudah tentu ia sesuatu yang cukup istimewa.
“Berdepan pasukan yang hebat seperti Sepanyol, perlawanan ini
pastinya diibaratkan seperti hidup dan mati bagi kedua-dua pasukan,”
katanya. – Agensi
No comments:
Post a Comment