Jika sekitar tahun 1990-an penyanyi dan pelakon kacukan
Melayu-Inggeris, Sasha Saidin pernah popular bersama kumpulan Elite,
kini adiknya iaitu Zain Saidin yang merupakan seorang pelakon, bakal
mengikut jejak langkahnya untuk bergelar penyanyi.
Sewaktu ditemui pada majlis pelancaran drama Naziha dan Bukan
Bidadari di Subang Jaya, Selangor baru-baru ini, pelakon yang pernah
dikaitkan dengan Rozita Che Wan itu memberitahu dia bakal muncul dengan
album sulung.
Menurut Zain, ketika ini proses rakaman berjalan dengan lancar dan
berkemungkinan besar album sulungnya itu bakal menemui para peminat pada
hujung tahun ini.
KOSMO!: Sebelum ini kakak Zain pernah dikenali ramai sebagai penyanyi. Adakah Zain tidak mahu mengikut jejak langkahnya?
ZAIN: Sebenarnya saya bakal melahirkan sebuah album tidak lama lagi
yang berkonsepkan rap. Kini saya baru sahaja menyiapkan single pertama
berjudul Transformasi dan saya sudah merancang untuk menghantarnya ke
stesen-stesen radio.
Mungkin ramai yang tidak tahu sebelum bergelar pelakon, saya memang
mempunyai impian untuk menjadi penyanyi dan meminati lagu-lagu rap.
Malah, saya hampir bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman, tetapi
tidak jadi atas beberapa sebab.
Boleh ceritakan sedikit mengenai proses penghasilan album berkenaan?
Setakat ini saya telah merakamkan sebanyak empat buah lagu iaitu
Transformasi, Niat Khalifah, Cinta Jelita dan Oh Raya. Untuk album ini
saya bekerjasama dengan abang ipar, Salyo Priyanto yang juga suami Sasha
dan rakan saya iaitu DJ Anowl.
Mengikut perancangan, terdapat sebanyak enam atau tujuh buah lagu
yang terkandung dalam album tersebut dan semua lagu dihasilkan oleh kami
bertiga. Kalau tiada sebarang halangan, album sulung saya akan menemui
peminat hujung tahun ini.
Kenapa anda memilih Transformasi sebagai single pertama?
Tranformasi menjadi pilihan saya kerana lagu ini menceritakan
mengenai transformasi yang saya lalui iaitu daripada bergelar pelakon
kepada seorang penyanyi. Saya percaya lagu ini akan menjadi kegemaran
ramai.
Berkenaan dengan kerjaya lakonan, adakah anda pernah terfikir untuk
mengembangkan karier di Indonesia memandangkan wajah kacukan seperti
anda agak mudah untuk menembusi pasaran di sana seperti yang dilalui
Ashraf Sinclair?
Saya memang ada terfikir untuk berbuat demikian, tetapi mungkin
selepas saya tidak lagi mendapat tawaran berlakon di Malaysia. Setakat
ini tawaran lakonan yang diterima tidak putus-putus dan saya gembira
untuk terus berlakon di negara sendiri.
Baru-baru ini timbul gosip mengenai hubungan Rozita Che Wan dan Beego. Apa komen anda mengenai gosip tersebut?
Kalau benar Rozita mempunyai hubungan dengan Beego, saya cuma boleh
tumpang gembira. Malah, saya gembira kerana selepas ini saya tidak lagi
dikaitkan dengannya, biarpun sudah banyak kali saya menjelaskan yang
kami tidak mempunyai sebarang hubungan istimewa sebelum ini.
Adakah anda masih lagi berhubung dengan Rozita?
Sehingga kini kami masih lagi berhubung, tetapi tidaklah terlalu kerap sangat kerana saya dan
Rozita sibuk dengan kerjaya masing-masing. Apa yang boleh saya katakan kami masih lagi berkawan seperti biasa.
KOSMO
No comments:
Post a Comment