WARSAW – Keyakinan Portugal semakin melonjak.Selepas kejayaan
menewaskan Republik Czech 1-0 pada aksi suku akhir Euro 2012 awal pagi
semalam, Portugal sudah membayangkan untuk melangkah lebih jauh.
Final menjadi impian mereka selepas kejayaan ke atas Republik Czech itu dan ia tidak mustahil untuk dicapai.
“Kami semakin ada keyakinan serta sudah bersedia untuk berdepan
dengan sesiapa sahaja pada peringkat separuh akhir kelak,” tegas kapten,
Cristiano Ronaldo penuh yakin.
Pada aksi menentang Republik Czech awal pagi semalam, Ronaldo muncul
wira apabila menanduk masuk gol kemenangan Portugal hasil hantaran
lintang Joao Moutinho sekali gus menempah tiket ke separuh akhir.
Sebelum itu, dua percubaannya dinafikan oleh tiang gol sementara jaringan pembukaan mereka tidak disahkan kerana ofsaid.
“Kami semakin menunjukkan peningkatan dan momentum seperti ini akan diteruskan,” katanya.
Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Ronaldo menjadi watak penting atas kejayaan Portugal pada aksi suku akhir itu.
Kelibatnya banyak membawa perubahan terhadap persembahan mereka yang
dilihat agak hambar ketika berjuang pada peringkat kumpulan.
Portugal boleh dikatakan memiliki tuah kerana berjaya meloloskan diri
daripada kumpulan B yang dianggap sebagai kumpulan maut membabitkan
Belanda, Jerman dan Denmark.
“Kami tampil dengan aksi yang menakjubkan. Kami juga mencipta banyak
peluang untuk menjaringkan gol namun apa yang lebih penting buat kami
ialah kejayaan melangkah ke separuh akhir.
“Gaya permainan kami juga semakin matang dan kami sudah bersedia
sepenuhnya untuk mengharungi aksi separuh akhir,” tegas Ronaldo.
Jurulatih, Paulo Bento pula menyifatkan rentak permainan Portugal semakin meningkat pada setiap perlawanan.
Justeru, dia tidak hairan kenapa mereka meraih kemenangan pada aksi getir seperti ketika menentang Belanda dan Republik Czech.
“Kami memang berhak melangkah ke separuh akhir. Kami tampil dengan
rentak permainan yang sungguh mempesonakan meskipun pada peringkat awal
tiada siapa berani meramalkan kami mampu melangkah sejauh ini.
“Memang saya akui pada awal permainan ketika menentang Republik Czech
rentak kami agak hambar tetapi sebaik separuh masa kedua bermula, kami
tampil dengan kualiti tersendiri. Sebab itu kami berhak memenangi
perlawanan tersebut,” katanya.
Ketika Ronaldo disanjung sebagai individu penting atas kejayaan itu
dalam skuad Portugal, namun Bento memiliki pendirian yang berbeza.
“Kejayaan Portugal bukan berpunca daripada seorang individu sahaja,
sebaliknya kemenangan kami adalah hasil kerja keras semua pemain,”
katanya.
Menurutnya, semua pemain memiliki peranan masing-masing di atas padang dan mereka telah melaksanakannya dengan baik.
“Apa yang penting buat kami ialah kejayaan melangkah ke separuh akhir
dan saya tidak kisah untuk berdepan dengan sesiapa sahaja selepas ini.”
– Agensi
No comments:
Post a Comment