Jom Buat Duit
Wednesday 27 June 2012
Jerman inspirasi baharu England
KRAKOW, Poland - Roy Hodgson percaya Jerman mampu menjadi contoh terbaik buat England dalam usaha beliau mengubah nasib skuad The Three Lions di pentas antarabangsa.
Kelmarin, barisan kendalian Hodgson tersingkir pada aksi suku akhir Euro 2012 apabila tewas 2-4 kepada Itali menerusi penentuan sepakan penalti.
Sebagai rekod, kekalahan itu merupakan kali ketujuh skuad The Three Lions tewas kepada lawan menerusi penentuan sepakan penalti.
Sebelum ini, England mengalami nasib yang sama pada kempen Piala Dunia 1990 (separuh akhir), Euro 1996 (separuh akhir), Piala Dunia 1998 (pusingan kedua), Euro 2000 (peringkat kumpulan), Euro 2004 (suku akhir) dan Piala Dunia 2006 (suku akhir).
Pada aksi di Stadium Olimpik, Kiev kelmarin, anak-anak buah Hodgson dilihat lebih banyak dibayangi Itali yang berjaya mendominasi 64 peratus kawalan bola, selain melakukan 35 percubaan tepat ke arah pintu gol pihak lawan.
Sebaliknya, England sekadar melakukan sembilan percubaan ke arah pintu gol skuad The Azzurri itu.
Bagaimanapun, Hodgson percaya England boleh menjadikan Jerman sebagai sumber inspirasi untuk kembali bangkit seperti mana yang dilakukan anak-anak buah Joachim Loew itu selepas beraksi hambar pada Euro 2004.
Jerman dilihat mula mempamerkan taring sebenar mereka sejak kempen Piala Dunia 2006 sehingga kini.
"Jerman beraksi pada kejohanan tersebut (Piala Dunia 2006) dengan kehadiran jurulatih baharu (Loew) dan pemain muda yang kita sendiri tidak banyak tahu mengenai mereka. Pemain-pemain lama (Jerman) yang gagal dalam kejohanan-kejohanan sebelum itu diketepikan.
"Kami sudah lihat bahawa Jerman beraksi sangat baik sejak 2006 dan kami perlu belajar mengenainya," kata Hodgson.
Menurut pengendali berusia 64 tahun itu, barisan pemain muda The Three Lions seperti Danny Welbeck, Andy Carroll, Jordan Henderson dan Alex Oxlade-Chamberlain mempunyai potensi besar untuk berjaya.
Malah dengan kehadiran semula Kyle Walker, Chris Smalling dan Jack Wilshere yang terpaksa diketepikan pada kempen Euro 2012 ekoran kecederaan, Hodgson yakin England mampu untuk kembali bangkit.
"Kami ada sebab tersendiri untuk berasa optimis bahawa England akan kembali bangkit.
"Kami memiliki beberapa pemain yang beraksi dengan baik dalam skuad Bawah 21 Tahun (England) dan saya sangat teruja untuk menyaksikan persembahan mereka pada Sukan Olimpik 2012 nanti.
"Jika Smalling dan Walker tidak mengalami masalah kecederaan, sudah pasti lebih pemain muda akan beraksi bersama kami pada kempen Euro kali ini.
"Kami perlu percaya dengan kemampuan kami sendiri. Kami perlu lihat kegagalan pada kempen Euro 2012 dari sudut yang positif," jelas Hodgson. - AFP
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment