Jom Buat Duit

Friday, 22 June 2012

Aeril komen isu buka baju

MELIHAT karakter lakonannya dalam filem Cinta Kura-kura, sifat nakal dan liar yang digambarkan seakan-akan mencerminkan dirinya yang sebenar.
Namun menerusi filem seterusnya, 7 Petala Cinta, dia membawa watak seorang pemuda yang kembali ke pangkuan agama setelah puas hidup dalam kejahilan.
Bagi Aeril Zafrel, kedua-dua filem tersebut mungkin ada terkena sedikit biasan kisah hidupnya di saat ini.
Jelas pemuda berusia 25 tahun itu, hidupnya pada masa lampau penuh dengan noda dan sudah tiba masanya untuk dia kembali mencari jalan yang benar, selangkah demi selangkah.

Namun dalam pada itu, timbul kontroversi apabila Aeril telah membuat kenyataan media ekoran kemunculannya yang tidak berbaju dalam filem, Hanya Aku Cinta Kau Seorang (HACKS).
Kata Aeril pada majlis previu filem tersebut di Sunway Piramid, Petaling Jaya baru-baru ini, Aeril menegaskan HACKS merupakan filem terakhir yang menampilkan dirinya dalam adegan tanpa baju.
Namun, apa yang menimbulkan kontroversi dan kontra terhadap imej yang dibinanya menerusi filem 7 Petala Cinta adalah apabila dia juga menegaskan tidak kisah kalau diperlukan melakonkan babak berpegangan tangan dengan pelakon wanita dalam filem-filem lakonannya di masa depan.

Kosmo! lantas menghubungi Aeril untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripadanya.
Kosmo!: Anda menegaskan tidak akan membuka baju lagi dalam filem lakonan anda yang akan datang selepas HACKS. Bagaimanapun, anda tidak mempunyai masalah untuk berpegangan tangan dengan artis wanita. Apakah motif kenyataan tentang pendirian anda itu?
AERIL: Sejujurnya saya mengakui kehidupan saya sebelum ini tidaklah sempurna. Saya hidup dalam kejahilan. Sewaktu sedang menjalani penggambaran HACKS, saya telah jatuh sakit. Sewaktu sedang menerima rawatan, saya seperti telah mendapat satu kesedaran yang menyeru saya untuk mengubah corak hidup untuk menjadi seorang yang lebih baik. Sejak daripada itu, saya mula berjumpa dengan seorang ustaz untuk mendapatkan bimbingannya.

Anda telah jatuh sakit secara tiba-tiba, jadi adakah anda rasa ia adalah buatan orang yang mungkin
berdendam dengan anda?
Saya tidak menolak perkara itu kerana sebelum ini saya bukanlah baik sangat. Namun, saya tidak mahu menuding jari kepada orang lain sebaliknya saya menganggap ini adalah satu pengajaran untuk saya. Itu yang disarankan oleh ustaz yang membimbing saya.

Anda sememangnya sedang mendalami ilmu agama. Jadi tolong jelaskan rasional keputusan anda untuk tidak membuka baju tetapi boleh pula berpegangan tangan dengan perempuan.
Seperti yang saya maklumkan, saya masih di peringkat awal (mendalami ilmu agama) jadi saya perlu berhijrah secara berperingkat-peringkat. Anggaplah keputusan untuk tidak membuka baju itu sebagai langkah pertama ke arah kebaikan. Selain itu, saya tidak mahu bertindak terlalu drastik tetapi akhirnya, berhenti di pertengahan jalan. Biarlah saya mengambil satu demi satu langkah. Siapa tahu mungkin selepas ini saya mengambil keputusan untuk tidak bersentuhan dengan artis wanita pula? Itu tidak mustahil tetapi berilah saya masa untuk benar-benar bersedia.

Anda kelihatan seperti cuba untuk mengubah kehidupan secara menyeluruh dan bukan dalam filem sahaja. Sejauh mana kebenarannya?
Setelah saya melihat kembali kehidupan saya sebelum ini, saya yakin sudah tiba masanya untuk berubah. Insya-Allah dengan izin-Nya, saya akan cuba berpegang kepada pendirian dan ilmu agama yang sedang saya pelajari ini dalam kehidupan seharian saya. Walaupun saya amat sayang terhadap dunia lakonan, perkara ini harus didahulukan.

Anda kata anda sayangkan dunia lakonan. Jadi, bagaimana jika anda terpaksa melanggar pendirian demi watak yang ditawarkan anda lakonkan?
Saya akan terus berpegang kepada prinsip diri saya. Tetapi saya juga amat berharap agar para penerbit dapat memahami dan menghormati ke putusan saya itu. Tambahan pula, saya rasa permintaan saya tidaklah terlalu besar.

Perkembangan terbaharu anda?
Saya sedang dalam rangka promosi filem terbaharu saya iaitu HACKS dan pada hujung tahun nanti saya akan memberikan perhatian terhadap dua filem baharu yang akan muncul iaitu Budak Pailang dan 99 Kali Rindu.
Tidak lama lagi kita akan menyambut bulan puasa, adakah anda akan meneruskan aktiviti lakonan seperti biasa atau memberikan lebih tumpuan kepada ilmu agama yang sedang anda dalami?
Insya-Allah saya akan bekerja seperti biasa dan pada masa yang sama, cuba untuk mendalami lebih lanjut mengenai ilmu agama. Seperti yang saya maklumkan, saya masih di peringkat awal dan masih banyak yang perlu saya pelajari.

Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters