Jom Buat Duit

Sunday, 20 May 2012

Apek bukan suka-suka hati

BELUM masanya untuk Apek hilang dari perut industri. Dalam diam bapa kepada dua orang cahaya mata itu berbaki empat lagi filem yang belum ditayangkan. Selain Shh... Dia Datang, empat filem lain termasuklah Pak Pong, Hantu Air, Jiwa Kacau dan Sebelum Subuh.  


HIDUP sang pelawak, secara luaran tugasnya untuk menghiburkan khalayak, namun ironinya tidak semua kerja menghiburkan itu mendatangkan imbuhan yang menyeronokkan. Dia pencetus jenaka dengan komedi menggeletek hati tapi pada satu ketika, dia juga mendalami diri mencari punca kepada kemusykilan yang sukar menemukan jawapan.

"Selama ini saya tidak pernah mengada-adakan cerita. Tidak pernah mempersoalkan tindakan pihak lain. Saya hanya buat kerja saya, tapi apa yang berlaku bersebab. Kena pula ketika emosi dan jiwa tengah rapuh, semuanya meletus sampai ada yang kata saya meroyan," kedengaran sayu mukadimah Saiful Apek memulakan bicara.

Khalayak tahu, semuanya bermula selepas pemergian sahabat baiknya, Allahyarham Bob Kuman. Ketika suasana masih berbalut kesedihan, secebis sahaja kata-kata yang menyentap perasaan, sakitnya mencengkam sampai ke tulang. Selepas pemergian Bob Kuman juga, Apek yang awalnya kesal dengan kerendahan sensitiviti David Teo yang berkali-kali menggunakan perkataan 'sedekah' terhadap arwah kemudian beria-ria menimbulkan kes tuntutan RM200,000 terhadap pemilik produksi MIG itu.

Ditindas
Ibarat luka disimbah cuka dan parut yang lama berdarah kembali, kata Apek, semua cerita yang memanaskan keadaan antara dirinya dengan David Teo itu bukan sekadar di angin lalu. Biarpun isu itu telah dianggap selesai, tapi itulah pencetus inspirasi bermulanya perjuangan baharu yang sedang dibentuknya.

"Kalau saya tahu kes tuntutan saya itu sudah dibatalkan oleh mahkamah sejak Disember tahun lepas, saya takkan bercakap perkara yang boleh memalukan saya. Atas kertas memang dia (David) telah menang. Saya tak boleh kata apa lagi sebab semasa perjanjian itu dibuat, saya tak peduli tentang kontrak. Kami cuma berjabat tangan dan saya pegang kata-katanya, 'bukan janji tapi pasti.' Apabila sudah tahu, saya tak malu tebalkan muka dan akur dengan hal itu. Saya bukan sesuka hati mahu jadi tidak rasional.

"Jika ada pihak yang kata saya cuma menumpang keadaan, tiga hari sebelum arwah pergi, kami ada bercakap tentang apa yang saya perjuangkan. Arwah yang pesan supaya saya jangan berdiam diri tapi perjuangkan hak. Itu semua jadi punca," kata Apek yang baru mengumumkan menubuhkan satu perikatan, Kebajikan Eksklusif Masyarakat Anak Seni untuk membela nasib anak seni yang teraniaya dalam industri.

Apek terdiam ketika ditanya seakrab mana hubungannya dengan arwah Bob Kuman. Dia kemudian menyambung cerita.
"Teruk macam mana sekalipun hidup saya, saya tidak pernah menangis. Tapi saat kehilangan arwah, itulah kali pertama saya menangis.

"Cukuplah saya katakan, antara saya dan arwah, kami sudah mengaku saudara. Bob adalah sebahagian daripada Gitu-Gitu Production. Saya terbitkan Gitu-Gitu Apek bersandarkan tiga nama, saya, Bob dan Yassin. Bila Bob tiada, Gitu-Gitu Apek juga akan terkubur. Prinsip saya, karakter itu tidak boleh diganti oleh orang lain.

"Sama juga macam kes Cicak Man 3. Pasti ada yang kecewa tapi apabila Yusry KRU tarik diri daripada filem berkenaan, saya juga kena tarik diri. Saya pegang kata-kata Yusry, dia cipta watak Cicakman untuk saya, jadi bila dia enggan arahkan Cicakman dan filem itu pun dirombak semula, saya juga tarik diri. Bagi saya, Cicakman sudah habis. Sanggupkah Cicakman baru itu menerima tamparan di kemudian hari, itu cabaran saya kerana sayalah formula asal Cicakman itu," kata Apek seperti berbaur mencabar.

Zaman jadi pembikin
Menoleh semula lapan belas tahun perjalanan yang dilewati, lelaki berfizikal kurus dengan nama Mohd. Saifulazam Mohammad Yusoff, 43, itu sudah melalui segala macam ragam dunia. Dia pernah dipuja dan dijulang semasa zaman kemasyhuran dan sehinggalah paling teruk, dia juga pernah merengkok bersama bau hanyir dan hancing dalam sel penjara.
"Fasa paling teruk yang pernah saya lalui ialah trauma akibat penyebaran video tentang pengambilan ganja. Itu episod hitam pertama yang saya lalui," katanya berharap kebenaran akan berpihak kepadanya berhubung satu kesnya bersabit penyalahgunaan dadah yang menunggu perbicaraan di mahkamah ketika ini.

Ketika namanya mula dibayangi pelawak-pelawak generasi baharu, ada juga yang mendakwa zaman Apek sudah berlalu. Popularitinya merundum apabila munculnya produk Raja Lawak seperti Johan, Zizan dan Nabil.
Sudahlah sepi daripada publisiti malah ada yang merasakan zaman suram Apek sudah menjengah tiba.

"Orang pernah gelar saya pelawak nombor satu dan sampai satu ketika, saya dah tak jadi pelawak tapi pelaris. Itu semua persepsi orang. Dua tahun kebelakangan ini pula ramai orang baru muncul. Itu semua buat saya teringat zaman saya mula-mula menapak dulu. Ini memang putaran. Bermakna, perjuangan pelawak terdahulu sedang diteruskan oleh generasi baharu.

"Tapi, bila kurang kelibat senang pula orang cakap nilai pelawak itu sudah jatuh. Kalau begitu, apa gelaran kita semua terhadap seniman veteran Datuk Aziz Sattar sedangkan dia living legend (legenda yang masih hidup). Bagi saya, nilai seseorang artis tidak boleh sukat oleh kelibat," katanya yang pernah berlakon dalam lebih 40 filem sejak tahun 1999.

Tidak sekadar berada di depan kamera kepuasan sebenar Apek ada di belakang kamera. Bukan baharu bahkan itulah permulaan karier selepas menyertai Sinaran Passport (1994) dan bekerja bawah produksi Aznil Nawawi selama lebih setahun.

"Saya anggap zaman bersama Aznil dan Senario sebagai akademi lawak saya. Selama ini saya jadi penyampai, sekarang masa terbaik untuk saya jadi pembikin pula," ujar Apek yang sedang menanti hasil pengarahannya, Shh... Dia Datang yang bakal ke panggung tahun ini.
Akan datang Apek akan bekerja bawah arahan Mamat Khalid untuk filem terbaharu, Werewolf dari Bangladesh.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters