ADI bersama Nora Danish ketika sama-sama mengerjakan umrah, baru-baru ini.
"SAYA dan Adi hanyalah teman dalam bekerja. Kami sama-sama terlibat
dengan drama dan filem, itu sahaja," tegas Nora Danish menafikan
hubungan istimewanya apabila dikaitkan dengan perceraian aktor terkenal
Adi Putra bersama isterinya, Aida Yusof.
Jelas Nora lagi, dia sebenarnya terkejut dengan hasrat Adi untuk bercerai.
"Saya akui, masyarakat mudah membuat tanggapan kerana saya dilihat
sebagai wanita yang paling rapat dengan Adi. Kami berlakon bersama. Kami
pergi menunaikan umrah bersama-sama. Semasa saya hendak ke Mekah, orang
kata saya mahu membawa hati kerana bekas suami, Jejai berkahwin dengan
Fasha Sandha. Bila balik orang kata saya pergi berseronok dengan Adi.
Kami sebenarnya pergi atas jemputan Triways Travel bersama rombongan
peminat. Projek itu dibuat selepas kejayaan drama Tentang Dhia lakonan
kami bersama," kata Nora ketika dihubungi Sensasi Bintang semalam.
Pengakuan jujur Adi yang mahu bercerai tambah mengejutkan apabila
tindakan itu dibuat dua hari selepas dia pulang daripada mengerjakan
umrah di Tanah Suci Mekah.
Adi memfailkan permohonan perceraiannya di Mahkamah Rendah Syariah
Kuala Lumpur pada 10 Mei lalu. Saat itu juga, aktor berumur 31 tahun dan
isterinya, Aida Yusof itu baru sahaja menyambut ulang tahun keenam
perkahwinan mereka yang dimeterai pada 14 April 2006.
Siapa sangka, impian pasangan yang selama ini mendambakan kehadiran
cahaya mata sebagai penyeri rumah tangga itu bakal bertemu penamat yang
menyedihkan.
Bercakap kepada Sensasi Bintang, ketegasan Adi berhubung isu itu
kedengaran jelas. Dia langsung tidak melenting saat nama Nora Danish
ditebak sebagai orang ketiga yang menjadikan rumah tangganya gagal
dipertahankan.
Khabar angin itu diperkuatkan dengan tersebarnya gambar-gambar Nora
dan Adi sepanjang mereka mengikuti rombongan umrah pada 27 April hingga 8
Mei lalu.
"Kerja tetap kerja dan masalah rumah tangga adalah masalah rumah
tangga, itu dua perkara yang berbeza," kata Adi tenang menolak
spekulasi.
Ditanya punca retaknya cinta terhadap Aida, Adi enggan menuding jari
terhadap mana-mana pihak. Secara ringkas, kata Adi, semuanya berpunca
daripada masalah dalaman mereka sendiri.
Berbanding Adi yang lebih terbuka dalam kes ini, isterinya, Aida
memilih untuk bersikap tertutup. Barangkali tidak mahu merumitkan
keadaan, Aida meminta semua pihak mendoakan kebaikan buat mereka berdua.
Menerusi kiriman khidmat pesanan ringkas, Aida menulis: "Maafkan saya
kerana tidak boleh mengulas panjang. Saya berada di luar negara. Minta
doakan yang baik-baik untuk kami. Apabila semuanya selesai nanti, akan
saya jelaskan."
Aida memilih untuk merahsiakan lokasi 'persembunyiannya' buat masa
ini. Ternyata dia mahu menyendiri dan membiarkan Adi membuat keputusan
terbaik pada perbicaraan kes perceraian mereka yang dijadualkan bermula
esok.
Berikut petikan perbualan Adi bersama Sensasi Bintang:
Mungkin boleh berkongsi sedikit tentang punca timbulnya isu antara kalian?
Saya tidak mahu membuka aib sesiapa, biarlah saya dan isteri sahaja
yang simpan masalah itu. Kalau saya cerita tentang masalah keluarga
sendiri, ia seperti membakar pihak di kiri dan kanan.
Sejauh mana benarnya gosip yang mendakwa anda rapat dengan Nora akibat terlalu kerap berlakon bersama?
Ikut hukum akal, soalan itu tidak bernas untuk ditanya. Umum tahu
saya berlakon dengan ramai heroin. Kerja tetap kerja dan masalah rumah
tangga tetap masalah rumah tangga, itu dua perkara yang berbeza. Saya
tidak mahu muncul artikel dalam akhbar bercerita tentang perceraian saya
disebabkan orang itu atau orang ini. Kalau pergi mahkamah syariah pun,
hakim tidak bertanya tentang gosip. Memang sudah prinsip saya tidak
mencampurkan antara kerja dan kehidupan peribadi, kerana bagi saya,
kerja juga satu ibadah.
Adakah keputusan dibuat kerana anda dapat petunjuk ketika melakukan umrah baru-baru ini?
Soal petunjuk, biarlah antara saya dengan Allah. Masalah rumah tangga hanya melibatkan saya dan isteri sahaja.
Ada khabar mengatakan anda dan isteri sudah tinggal berasingan?
Itu tidak benar! Walaupun saya telah menghantar permohonan cerai
secara hakikatnya kami masih tinggal sebumbung dan menjalankan
tanggungjawab sebagai suami isteri.
Bagaimana emosi anda ketika ini?
Emosi saya masih terkawal kerana kita ada akal fikiran yang mengawal emosi.
No comments:
Post a Comment