Jom Buat Duit
Monday, 6 August 2012
Alyah telan sensasi
UNDANGAN untuk menyaksikan rakaman raya Pesona Aidilfitri di Auditorium Perdana, Angkasapuri untuk tayangan hari raya keempat nyata memberikan sedikit ruang untuk bersua dengan penyanyi lunak, Alyah.
Rakaman konsert yang menggabungkan pelantun Kisah Hati bersama bintang Golden Teen Search 1997, Dayang Nurfaizah dan Bintang RTM 2001, Misha Omar sejujurnya mengubat rindu melihat penyanyi kelahiran stesen televisyen itu beraksi.
Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 31, bagaimanapun kelihatan berbeza daripada sebelum ini. Bentuk tubuhnya lebih kurus dan wajahnya kelihatan agak keletihan. Tertanya-tanya adakah Alyah susut berat badan kerana letih melayan kontroversi kisah cinta dan masalah keluarga atau tekanan bekerja?
"Selain sibuk menyiapkan rangka kerja untuk album saya juga terlibat dengan tugasan produksi. Kedua-duanya saya perlu fokus, mungkin itu salah satu faktornya.
"Sebab lain kerana saya memang mahu kurus untuk penggambaran klip video Lena Sahara selepas hari raya nanti di Jakarta.
"Saya ingin menampilkan bentuk badan yang berbeza dalam setiap klip video dan untuk single kelima itu saya mahu kelihatan innocent dan resah," katanya yang bakal menggunakan khidmat produser muzik video yang sama daripada single pertama Tak Mungkin Kerana Sayang, Hedy
Suryawan.
Kata Alyah, berat badannya sebelum ini adalah 52 kilogram dan terkini turun 44 kilogram.
Sementara itu, tambah Alyah single Lena Sahara ciptaan Yasin itu akan dimuatkan dalam albumnya yang dijadualkan keluar pada tahun depan. Namun, masih ada beberapa buah single lagi yang belum dikeluarkan menjelang kelahiran album itu.
Dalam perancangan lain, Alyah juga akan mengadakan konsert mini seluruh Malaysia untuk mempromosikan album itu.
Bercuti
Malam Isnin minggu lepas merupakan program terakhir Alyah sebelum bercuti panjang sehingga sambutan 1 Syawal. Kata Alyah, percutian itu telah lama dirancangnya dan sekarang adalah masa yang tepat untuk mencuri waktu.
"Sudah beberapa tahun saya tidak dapat cuti panjang terutama bulan Ramadan, saya tidak akan mengambil sebarang tawaran sepanjang tempoh itu dan tidak akan berada di Kuala Lumpur sehingga hari raya ketiga.
"Kebetulan saya dinasihatkan doktor untuk berehat sebab terlalu penat bekerja dan saya juga mempunyai masalah vocal chord akibat kemalangan beberapa tahun lepas. Jadi peluang ini saya akan manfaatkan sebaik mungkin," ceritanya.
Namun begitu, Alyah menegaskan percutian itu bukan satu langkah untuk dia lari daripada masalah dan mengelak untuk berdepan dengan kontroversi yang membabitkan dirinya serta beberapa pihak lain.
"Saya bukan lari daripada masalah kerana saya faham industri kita tidak besar, kalau tak berjumpa di sini akan jumpa juga di tempat lain.
"Cuti ini untuk diri sendiri kerana saya rasa perlukan masa untuk diri saya dan sepanjang dalam industri, saya tidak pernah bercuti panjang lagi," jelasnya.
Kahwin
Beralih cerita kepada tanda tanya hubungannya dan komposer terkenal, Datuk Ramli M.S. termasuk persoalan bila Alyah bakal menamatkan zaman bujang, dia mengeluh panjang.
Kata Alyah, dia tidak menolak jodoh yang datang tapi buat masa sekarang dia hanya memfokuskan perihal kerjaya dan matlamat untuk mengeluarkan album serta mini showcase pada tahun depan.
"Jodoh datang saya tidak tolak, untuk merancang pun jauh lagi. Buat masa sekarang saya hanya memikirkan showcase mini yang saya impikan sejak 12 tahun lalu dan saya teruja untuk perancangan itu," luahnya.
Menegaskan hubungannya bersama Ramli M.S. sekadar dalam peringkat berkawan, Alyah tidak melenting apabila cerita, gosip, usikan dan dakwaan mereka sedang bercinta menjadi perbualan.
"Itu perkara normal, saya tidak pernah pun cakap tengah bercinta cuma orang sentiasa salah faham. Alhamdulillah orang mendoakan saya cepat bertemu jodoh, tapi buat masa sekarang belum ada lagi," tegas Alyah.
Namun Alyah sentiasa berpegang pada pesanan ibunya berkenaan soal jodoh. Katanya: "Kita tidak tahu jodoh kita, kalau nak berkahwin jangan sakiti hati orang lain dan jangan merampas hak orang. Biar hati saya sakit jangan hati orang lain yang sakit."
Keluarga
Selembar lagi kisah keluarga Alyah menjadi buah mulut apabila adik lelakinya, Mohd. Faizal Abu Hassan dijatuhi hukuman penjara kerana terlibat dalam kes samun.
Hakikat yang harus ditelan, cubit paha kanan paha kiri terasa sakit. Namun, dia juga pasrah apabila persembahannya dibatalkan ekoran kejadian itu.
"Saya percaya pada rezeki dan kuasa Allah, sebelum ini saya tak ada persembahan, lagi susah. Sekarang jika ada yang dibatalkan di saat akhir saya tiada masalah dan terima dengan hati terbuka.
"Buruk atau jahat dia (adik) tetap darah daging saya dan dia pun sudah dijatuhkan hukuman yang setimpal. Itu pengajaran untuk adik saya juga supaya selepas ini lebih matang menjalani kehidupan.
"Emak saya sekarang pun sudah boleh menerima keadaan ini dan saya bersyukur tiada apa-apa berlaku kepada keluarga saya yang lain," getus Alyah.
Bagaimanapun, Alyah akui dia manusia biasa dan tiada hak untuk menutup mulut orang daripada terus bercakap.
Tambahnya: "Terpulang, saya reda dan terima kata-kata orang dengan hati terbuka."
Kosmo
Labels:
Alyah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment