Jom Buat Duit

Sunday, 17 June 2012

Tasha, Fizz Fairuz sisihkan kontroversi

NAMA dua figura ini pantas menjadi perhatian umum. Apa yang mereka lakukan pasti mengundang rasa ingin tahu khalayak.
Selepas pelakon Fizz Fairuz dinobatkan sebagai Pelakon TV Lelaki Popular manakala Tasha Shilla sebagai Artis Baru Wanita Popular dalam sebuah majlis, setiap gerak geri mereka sentiasa diburu peminat.
Usai menggondol anugerah tersebut, cerita sensasi semakin menghimpit mereka. Fizz diburu untuk menjawab cerita teman wanitanya, Almy Nadia yang mendakwa pelakon itu semakin terabai.
Beralih kepada Tasha, belum reda cerita mengusung trofi kemenangan ke sana-sini, hubungan dingin Tasha dengan pelakon cantik Neelofa juga menarik perhatian.
Biarpun cerita-cerita itu memberi tekanan kepada si empunya diri, namun hal tersebut jika ditangguk yang elok pasti berguna untuk memanipulasi potensi dalam bidang kerjaya.
Populariti yang diraih memaksa tawaran berlakon yang mencurah-cura buat mereka. Terbaharu, Fizz dan Tasha mula mendapat perhatian pihak korporat.
Bersandarkan kedudukan populariti masing-masing, Fizz dan Tasha terpilih untuk mempromosikan program percutian ke Amsterdam, Belanda oleh syarikat penerbangan antarabangsa Air France-KLM.
Seperti mahu meninggalkan seketika urusan kontroversi, Fizz dan Tasha akan berlepas selama lima hari pada 11 September depan ke negara tersebut untuk menikmati keindahan alam dan menyaksikan pameran Floriade World Horticultural Expo yang diadakan sekali setiap 10 tahun.
Peminat yang mahu turut serta dalam percutian bersama Fizz dan Tasha boleh menghubungi Bill Bora di talian 011-1232 8162 untuk menempah pakej percutian yang berharga RM8,830 tersebut.
SENSASI BINTANG: Ketika ini bagaimana anda melihat impak populariti ke atas diri anda?
FIZZ FAIRUZ (FF): Bagi saya, saya tetap sama seperti dahulu. Cuma saya dapat rasakan penerimaan orang lain terhadap saya sedikit berbeza selepas merangkul anugerah tersebut. Orang ramai semakin menerima saya.
TASHA SHILLA (TS): Tidaklah terlalu popular, tetapi saya tetap terasa perubahan dan keadaan lebih selesa berbanding dahulu.
Bagaimana dengan tawaran lakonan? Ada beri kesan besar?
FF: Tawaran berlakon saya bertambah ketika belum menang anugerah lagi termasuklah kontrak dalam beberapa buah filem bersama syarikat KRU yang ditandatangani awal tahun ini. Saya anggap tawaran lakonan masih tidak putus-putus tetapi lebih sedikit berbanding dahulu.
TS: Tidak dinafikan tawaran lakonan lebih sedikit, tetapi saya berpegang kepada prinsip hanya satu kerja dalam satu masa sahaja agar tidak menghadapi masalah.
Kedua-dua anda boleh dikatakan panas dengan kontroversi masing-masing. Apakah yang mahu diperjelaskan terhadap apa yang berlaku?
FF: Sebolehnya saya tidak mahu komen lagi mengenai perkara ini. Saya tiada masalah dengan Almy. Kalau nak kepastian sebenarnya baik tanya dia sendiri. Saya tidak salahkan dia atas kenyataannya, kerana pemikiran lelaki dan perempuan berbeza. Mungkin dia melihat daripada sudut dia. Biarlah kalau dia nak melepaskan perasaan (melalui kenyataannya). Tetapi saya tetap mahu melamar dia nanti.
TS: Saya rasa tiada masalah dengan Neelofa malah kami pernah terbabit dalam sesi fotografi bersama-sama. Kalau boleh saya tidak mahu komen lanjut walaupun agak kecewa dengan kenyataannya dalam sebuah majalah. Tetapi saya tidak memikirkan perkara itu sebagai masalah besar. Mengenai kemenangan saya merangkul anugerah itu dipertikaikan, saya terimanya sebagai rezeki yang telah ditentukan oleh-Nya. Saya harap cerita ini tidak berlarutan lagi.
Adakah kontroversi itu mengganggu kerja anda?
FF: Saya tidak mahu mencampuradukkan kerja dengan hal-hal remeh.
TS: Saya tidak anggap ia mengganggu kerja saya kerana selagi ada rezeki, selagi itu saya akan berkerja. Saya anggap kontroversi sebagai lumrah sebagai artis.
Apabila diajukan soalan-soalan mengenai kontroversi diri anda, adakah anda marah sebenarnya?
FF: Tidaklah sampai nak marah. Cuma saya sangat rimas bila diajukan benda sama berulang-ulang kali. Kalau nak tahu apa-apa bolehlah tanya Almy.
TS: Saya tidak marah. Saya faham tugas wartawan dan wartawan faham tugas kami. Cuma kadang-kadang bila ada tulisan yang disalahertikan itu yang membuatkan saya terasa. Selagi tidak menjejaskan karier dan keluarga saya, saya anggap ia masih tiada masalah.
Apakah jalan yang ada ketika berdepan isu sebegini?
FF: Jujurnya saya agak tertekan dengan isu kahwin ini. Sebab itulah kalau boleh saya tiak mahu bercerita mengenainya. Tetapi saya juga tidak mahu cepat melatah kerana perkara ini akan berbalik kepada saya juga nanti. Diam lebih baik.
TS: Saya tidak mahu mengeruhkan keadaan sebab industri ini kecil sahaja. Kalau untuk saya berkerjasama dengan dia (Neelofa) saya tiada masalah kerana saya seorang yang profesional. Kalau dia senyum, saya akan balas senyumannya. Tapi saya tidak akan terhegeh-hegeh pergi (kepadanya). Tetapi saya harap benda ini tidak dipanjangkan lagi. Saya pun ada meminta ibu mendoakan agar semua baik-baik sahaja.
Anda berdua terpilih untuk melancong bersama peminat ke Amsterdam oleh sebuah syarikat penerbangan antarabangsa. Bagaimanakah anda melihat kesan tawaran itu?
FF: Saya tidak pernah lagi menjejakkan kaki ke Amsterdam, Belanda. pastinya ia adalah peluang keemasan saya untuk berjalan-jalan di sana. Selain dipilih untuk mengajak peminat melancong bersama ada juga beberapa syarikat berhasrat mengajak saya menjadi duta mereka.
TS: Buat masa ini saya masih belum lagi bergelar duta kepada mana-mana syarikat. Insya-Allah kerjasama ini mungkin akan menjadi batu loncatan untuk saya ditawarkan menjadi duta produk. Peluang bercuti tidak boleh dilepaskan apatah lagi ketika itu secara kebetulan saya sedang berehat.
Ramai sedang bercerita pasal kemeriahan perlawanan bola sepak Euro 2012. Apakah pasukan pilihan anda?
FF: Musim bola sepak jarang-jarang ada. Jadi saya tak akan lepaskan peluang untuk menyaksikan perlawanan pada setiap malam di rumah. Tetapi saya pastikan sampai tidak akan mengganggu kerja lakonan. Saya memilih pasukan Jerman dan menjangkakan pasukan Jerman akan bertemu Sepanyol di final nanti.
TS: Saya sebenarnya tidak minat menonton perlawanan bola sepak. Kali terakhir pun menonton perlawanan pada empat tahun lepas. Seronok juga lepak bersama kawan-kawan. Tetapi kali ini, saya tak sempat nak menonton. Untuk pasukan pilihan, saya pilih Sepanyol.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters