Jom Buat Duit
Monday, 18 June 2012
Skuad Harimau Muda benam Qatar 2-0
JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) Qatar, Alain Andre Christian Perrin mengakui terkejut dengan peningkatan mendadak skuad muda Malaysia yang menang dengan agregat 2-0 pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang pasukannya di Stadium Shah Alam semalam.
Menurut beliau, corak permainan Harimau Muda kini jauh lebih tersusun berbanding semasa tewas 0-4 kepada pasukannya dalam satu aksi persahabatan di Doha tahun lepas.
“Kami tewas kepada pasukan lebih hebat. Malaysia sudah bersedia menempuh kelayakan Piala AFC di Myanmar nanti,” katanya kepada pemberita semalam.
Pada perlawanan semalam, Malaysia terlebih dahulu di depan hasil sepakan percuma kapten, Irfan Fazail pada minit ke-26 sebelum pemain gantian, Md. Rozaimi Abd Rahman menjamin kemenangan bergaya tuan rumah minit ke-68.
Mengulas lanjut, Christian Perrin begitupun percaya kekalahan tersebut tidak akan menjejaskan moral pemainnya yang diundi dalam Kumpulan C pada kelayakan Piala AFC nanti.
Dalam pada itu, jurulatih Harimau Muda, Ong Kim Swee menjelaskan, senarai akhir 23 pemain yang bakal ke Myanmar hanya akan diketahui dalam tempoh terdekat.
“Saya gembira dengan kemenangan ini yang disifatkan sebagai penyuntik moral sebelum ke Myanmar,” katanya.
Sementara itu, kemenangan skuad negara dibayangi oleh insiden kad merah yang dilayangkan kepada pemain Harimau Muda yang sedang meningkat naik, Muhammad Nazmi Faiz Mansor kerana menumbuk pemain Qatar, Abdelkarim Hassan Fadlalla pada penghujung babak pertama.
Dia berbuat demikian kerana tidak berpuas hati dengan tindakan Abdelkarim yang turut menerima kad merah selepas melakukan terjahan keras terhadap pemain negara, Mohd. Azrif Nasrulhaq.
Muhammad Nazmi yang berjaya mengikat kontrak dengan Kelab Liga Divisyen 1 Liga Portugal, SC Beira- Mar baru-baru ini dilayangkan kad merah oleh pengadil, Nagoor Amir Noor Mohamed.
Ketika mengulas insiden itu, Kim Swee berkata, Muhammad Nazmi perlu lebih matang dan tenang mengawal perasaan jika mahu berjaya sebagai pemain bola sepak.
“Nasib baik ia sekadar perlawanan persahabatan, jika tidak sudah tentu ia menjejaskan persiapan kita jika ia berlaku dalam kelayakan Piala AFC.
“Saya percaya ini pengajaran yang berguna buat Nazmi,” katanya.
Dalam pada itu, Nazmi semasa ditemui memohon maaf kepada semua peminat akibat tindakannya itu.
Menurutnya, dia yakin konsentrasinya tidak terjejas dengan insiden tersebut.
Pada aksi kelayakan Piala AFC nanti, Malaysia diundi dalam Kumpulan G bersama Korea Selatan, Taiwan, Filipina, Vietnam dan Myanmar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment