Jom Buat Duit
Monday, 18 June 2012
Republik Czech berpesta juarai Kumpulan A
WROCLAW, Poland - "Kami (Republik Czech) belajar daripada kesilapan." Demikian komen jurulatih Czech, Michal Bilek ketika diminta mengulas mengenai kejayaan skuad kendaliannya bergelar juara Kumpulan A dan sekali gus mara ke peringkat suku akhir Euro 2012.
Awal pagi semalam, anak-anak buah Bilek tampil dengan prestasi cemerlang apabila mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Poland pada aksi terakhir Kumpulan A di Stadium Miejski.
Kemenangan itu ternyata amat bermakna buat Czech apabila mereka mengesahkan slot ke kelompok lapan pasukan terbaik selepas dipalit kekecewaan tewas 1-4 di tangan Rusia pada aksi pertama kumpulan minggu lalu.
"Kami (Czech) mempamerkan corak permainan yang menarik seperti menentang Rusia sebelum ini. Secara dasarnya, kami melakukannya ketika menentang Rusia.
"Begitupun, kami lupa untuk beraksi secara bertahan dengan baik dan disebabkan itu Rusia berjaya menjaringkan banyak gol.
"Namun, kami telah belajar daripada kesilapan. Buktinya, kami beraksi secara bertahan dengan baik ketika perlawanan kedua dan ketiga (menentang Greece dan Poland).
"Ia sekali gus membuktikan kualiti yang kami miliki.
"Poland merupakan sebuah pasukan yang hebat tetapi kami beraksi lebih baik apabila menguasai keseluruhan perlawanan.
"Kami sentiasa percaya dengan kemampuan kami biarpun ada ketika kami berada dalam keadaan tertekan.
"Kerjasama dalam pasukan telah berjaya mengatasi segala tekanan yang kami alami," kata Bilek.
Pada aksi awal pagi semalam, gol kemenangan Repbublik Czech hadir menerusi jaringan yang dilakukan Petr Jiracek pada minit ke-45 perlawanan.
Tiga mata penuh yang diraih pada perlawanan tersebut telah membolehkan anak-anak buah Bilek menamatkan saingan peringkat Kumpulan A selaku juara dengan mengumpul enam mata.
Turut mengiringi Czech ke peringkat suku akhir ialah Greece selaku naib juara kumpulan. - AFP
Labels:
Euro 2012
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment