PENDEDAHAN yang dibuat oleh pelakon Nur Anzalna Md. Nasir, 24,
terhadap perbuatan Noor Neelofa Mohd. Noor, 23, yang telah
memburuk-burukkan namanya menerusi artikel sebuah akhbar pada Ahad lalu
pastinya mengejutkan ramai pihak.
Dalam laporan akhbar tersebut, Anzalna yang kini sedang popular menerusi drama bersiri Indera Joned itu mendakwa Neelofa telah menghina keluarganya menerusi laman sosial Facebook atas sebab yang tidak diketahui.
Anzalna juga membuat kenyataan bahawa Neelofa ada membuat ugutan
sekiranya Anzalna memenangi pertandingan Dewi Remaja 2010/2011 yang
disertai mereka dua tahun lalu.
Pertandingan tersebut menyaksikan Neelofa dinobatkan sebagai Dewi
Remaja 2010/2011 sedangkan Anzalna tidak memenangi sebarang gelaran dan
sekadar muncul sebagai finalis.
Mengakui dirinya sangat kecewa, Neelofa yang juga pengacara rancangan Nona
kelmarin telah tampil untuk menangkis segala dakwaan yang telah dibuat
oleh Anzalna. Ikuti temu bual bersama aktres jelita kelahiran Kelantan
ini.
Kosmo!: Apakah reaksi Neelofa sebaik sahaja membaca artikel akhbar tersebut?
NEELOFA: Sudah tentu saya terkejut dan kecewa kerana ia telah
menjejaskan nama baik saya sebagai seorang pelakon. Ingin saya tegaskan
bahawa segala tuduhan yang telah dilemparkan terhadap saya itu adalah
fitnah semata-mata.
Apakah tindakan yang akan dilakukan anda?
Saya telah melantik dua orang peguam iaitu Ahmad Hidayat Md. Noor dan
Mohd. Irwan Mohd. Mubarak untuk mengendalikan kes ini. Apabila
perbincangan dilakukan bersama peguam, kami mendapati banyak kenyataan
yang dibuat oleh Anzalna memang berbaur fitnah.
Ketika ini peguam saya telah menghantar satu notis tuntutan kepada
Anzalna dan dia diberi masa seminggu untuk memberikan bukti serta
penjelasan terhadap tuduhannya itu. Kalau benar seperti apa yang
dikatakannya menerusi akhbar itu, sila kemukakan bukti kepada saya
dengan segera.
Bagaimana pula kalau Anzalna tidak memberikan sebarang maklum balas dalam tempoh yang ditetapkan itu?
Saya akan mengambil tindakan selanjutnya dan saya tidak teragak-agak
untuk mengambil tindakan saman ke atasnya. Bagi saya perbuatan yang
dilakukannya ini telah menjejaskan nama baik saya sebagai seorang
pelakon dan duta produk.
Setelah kerap kali terbabit dengan kontroversi, kenapa kali ini baru anda mahu mengambil tindakan?
Sebelum ini saya tidak mahu mengambil sebarang tindakan kerana segala
kontroversi yang timbul tidak terlalu memberi kesan kepada diri saya.
Namun, tuduhan yang dibuat oleh Anzalna memang telah memburukkan nama
baik saya. Sekarang saya cuma menantikan setiap bukti terhadap segala
tuduhannya itu. Kalau dia tidak dapat mengemukakan bukti-bukti tersebut,
dia perlu membuat permohanan maaf secara terbuka.
Boleh ceritakan sedikit mengenai persengketaan yang berlaku antara
anda dan Anzalna ketika sama-sama bersaing dalam pertandingan Dewi
Remaja 2010/2011?
Kalau boleh saya tidak mahu mengulas lebih lanjut tentang
persengketaan yang berlaku antara kami berdua. Buat masa ini saya mahu
lebih fokus kepada notis tuntutan yang dibuat kepadanya.
Semenjak artikel tersebut diterbitkan, adakah terdapat sebarang tawaran kepada anda yang telah dibatalkan?
Buat masa ini masih belum ada tawaran yang dibatalkan, cuma kini saya
sedang melakukan perbincangan setelah ditawarkan menjadi duta kepada
sebuah produk. Namun, saya percaya pihak yang memberikan tawaran itu
pasti mengikuti perkembangan tentang perkara ini dan tidak mustahil
mereka boleh berubah fikiran.
Sekiranya ditawarkan berlakon dalam mana-mana drama atau filem yang
turut membabitkan Anzalna, anda akan menolak atau menerima tawaran
tersebut?
Saya tidak ada masalah untuk menerima tawaran tersebut kerana sebagai
pelakon saya perlu bertindak profesional. Saya perlu menghormati
kehendak penerbit atau pengarah dan tidak kisah kalau kami ditakdirkan
berlakon bersama-sama.
No comments:
Post a Comment