Jom Buat Duit

Saturday, 3 December 2011

Tangisan Ustazah - Ustazah Pilihan 2011



TATKALA kebanyakan remaja mengejar untuk menjadi penyanyi dan pelakon terkenal, berbeza pendirian 11 wanita yang bersaing menerusi program realiti, Ustazah Pilihan, kerana memilih program berunsur dakwah bagi meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w. menyebarkan Syiar Islam.

Justeru, sesiapapun di antara mereka, Nur Atieqah Mohd Zainudin (Atiqah),20, Nur Aqidah Mawardi (Aqidah),21, Nun Faizah Rohana Mustapha (Faizah),21, Siti Fatimah Mad Yatim (Fatimah), 21, dan Masfira Hilman (Fira),27, Firuz Akhtar Mohamad Bohari (Firuz), 27, Siti Nor Hafidza Razali (Fizah),21, Nurul Hidayah Kamarudin (Hidaya),26, Nina Syazmeen Mohd Din (Nina),23, Siti Fatimah Mohd Sharif (Siti),26, dan Maryanti Ramle (Yanti), 23, layak diangkat pemenang.

Cuma dalam sesebuah pertandingan pasti ada juara dan berdasarkan beberapa aspek serta kualiti, Firuz dilihat mempunyai kelebihan sekali gus mendahului peserta lain yang ternyata tidak kurang hebat.

Firuz yang berjaya ke peringkat akhir bersama Hidaya, Fira dan Siti, ketika ditemui pada sidang media usai Malam Kemuncak Ustazah Pilihan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC), Jumaat lalu, langsung tidak menjangkakan kemenangannya dan menganggap kejayaan malam itu sebagai rezeki.

“Kemenangan ini memang tidak disangka kerana saingan daripada teman
yang lain hebat-hebat belaka. Tambahan pula saya tidak mempunyai pendidikan khusus dalam pengajian agama di peringkat universiti.

“Sementara rakan-rakan bila diminta mentafsir al-Quran dan Hadis, mereka begitu lancar sedangkan saya pula perlu mengambil sedikit masa. Pengajian yang saya ikuti sewaktu belajar lebih kepada sastera bahasa,” kata gadis kelahiran Kuala Lumpur itu.

Kejayaannya itu secara tidak langsung membenarkan Firuz membawa pulang hadiah RM20,000 sumbangan Astro, RM5,000 sumbangan Bank Islam termasuk biasiswa di Universiti Al-Madinah oleh Yayasan Aminah, pakej haji dan umrah tajaan Al-Riyadh and Travel dan sebuah kereta Peugeot 207.

Hidaya muncul sebagai naib juara sekali gus menerima wang tunai berjumlah RM18,000, pakej umrah, barangan elektronik, pakej spa dan sebuah trofi dan
Siti (ketiga) menerima wang tunai RM10,000 berserta Pakej Umrah tajaan Al-Riyadh Tours and Travel, barang elektronik, pakej spa Suri Permai bernilai RM2,000 dan sebuah trofi.

Fira pula membawa pulang RM5,000, pakej percutian ke Cherating (RM2,000), pakej spa Suri Permai bernilai RM2,000 dan sebuah trofi. Hadiah disampaikan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

Firuz yang mengikat tali pertunangan dua minggu sebelum bermulanya Ustazah Pilihan sekitar September lalu, memilih seorang jejaka yang kini masih menuntut di Jepun dalam bidang kejuruteraan.

“Andai diizinkan Allah SWT, Insya Allah kami akan melangsungkan perkahwinan pada 30 Jun 2012. Mungkin, sebahagian wang kemenangan akan digunakan untuk majlis kenduri sementara pakej Haji saya mahu berikan kepada kedua orang tua saya.

“Kereta pula, memang saya merancang untuk membelinya sebelum ini tetapi Alhamdulillah nampaknya saya sudah mendapatkannya.

“Itu saja yang saya sempat berfikir seketika ini kerana segala yang berlaku masih mengejutkan. Apa yang pasti saya tidak memandang ganjaran hadiah yang diberikan untuk bersuka ria.

“Sebaliknya, satu peringatan bahawa tanggungjawab saya semakin berat serta perlu mempersiapkan diri untuk sama-sama berkongsi ilmu dengan menjalankan aktiviti dakwah secara berterusan untuk kebaikan komuniti. Apatah lagi, dalam keadaan dunia yang semakin mencabar,” katanya.

Ibu kepada gadis bijak dan beraut wajah manis itu, Aishah Mohd Said, 56, turut memanjatkan rasa syukur diatas kejayaan Firuz yang disifatkan sebagai seorang yang berdikari dan bersungguh-sungguh dalam melakukan sesuatu.

Berada di perantauan selama tujuh tahun, Firuz adalah pemegang Ijazah Sarjana Pengajian Islam dan Timur Tengah dari Universiti Washington dan Ijazah Sarjana Muda Bahasa dan Kesusasteraan Parsi dari Universiti Al-Zahra, Iran.

Anak sulung daripada enam beradik itu mempunyai kelebihan di mana dia menguasai empat bahasa iaitu bahasa Melayu, Arab, Parsi dan Inggeris dengan begitu baik sekali.

Dr Robiah K Hamzah sebagai Mudirah (pengetua) yang dibantu Mursyidah (tenaga pengajar) iaitu Prof Dr Muhaya Mohamad dan Ustazah Zawiah Hassan, menyifatkannya sebagai peserta yang paling konsisten dan bijak mengendalikan dirinya.

Firuz menurut Dr Robiah seorang yang lemah lembut, bersahaja, tenang, pantas mengaplikasikan tugas, cerdas fikiran, tidak mengharapkan pujian dan dorongan, mudah bergaul dengan setiap peringkat golongan serta umur, sering dahagakan ilmu serta berkeyakinan. Di mana kesemua ciri-ciri dimilikinya itu harus ada pada seorang pendakwah.

“Pemilihan Firuz bukan diukur pada malam ini saja sebaliknya kami menilai sejak dua bulan yang lalu. Dia matang mengendalikan dirinya dengan baik. Hutan, bukit, gunung mahupun laut, Firuz dilihat mampu menghadapi tekanan dengan tenang dan bijak.

“Keinginannya untuk menuntut ilmu itu sangat tinggi kerana sering bertanya dan tidak pernah merasakan dirinya hebat walaupun latar belakang pendidikan sungguh mengagumkan. Disebabkan itu Mudirah dan Mursyidah sepakat untuk memilihnya sebagai juara dan diharapkan di dapat mengubah lanskap bidang dakwah di negara kita,” katanya.

Pada malam akhir, peserta diberi tugasan mendekati permasalahan dan implikasi pernikahan di sempadan. Markah terbahagi kepada tugasan (40 markah), ujian bertulis (40 markah) dan hujah (20 markah). Malah penjurian tidak menggunakan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Dihoskan Farah Diana Anuar dan Siti Rohani Surani, program terbitan Astro Oasis itu berasaskan modul pengajian yang berlandaskan agama dan akidah dan tidak sama sekali menerapkan elemen komersial.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters