CARACAS: Bekas Ratu Venezuela, Eva Ekwall, yang mendapat tumpuan rakyat negara itu sepanjang dia bergelut dengan barah payu dara, meninggal dunia pada usia 28 tahun.
Keluarganya berkata, Eva meninggal dunia Sabtu lalu di sebuah hospital di Houston, Amerika Syarikat.
Eva dimahkotakan sebagai Ratu Venezuela pada 2000 ketika berusia 17 tahun dan tahun berikutnya, dia menduduki tempat keempat dalam pertandingan Ratu Universe di Puerto Rico.
Eva seterusnya menjadi model, aktres dan juga pembaca utama berita televisyen.
Mendiang, ketika hidup, turut menulis sebuah buku, ‘Fuera de Foco’ (Hilang Tumpuan) yang mengisahkan pergelutannya dengan barah, termasuk gambar menunjukkan kepanya botak, dirakam jurugambar Venezuela, Roberto Mata.
Dalam wawancara dengan akhbar El Nacional tahun lalu, Eva berkata selepas buku itu diterbitkan: “Saya perlu menghantar mesej mengenai perlunya pencegahan barah.” Mendiang berkahwin dengan penerbit radio, Fabio Bermudez dan mempunyai seorang anak perempuan berusia dua tahun.
Keluarganya berkata, mayat Eva dibakar di Houston Isnin lalu dan upacara memperingatinya akan diadakan sebaik abu mayat itu tiba di Venezuela. - AP
No comments:
Post a Comment