Jom Buat Duit

Saturday, 17 December 2011

Qalisha - Berdebar Menyanyi di Istana

pix_middle

BUKAN calang-calang artis boleh masuk istana tetapi pendatang baru di persada hiburan tanah air, Qalisha mampu menembusi tembok itu. Justeru, pasti ramai yang ingin tahu apa kelebihan pemilik nama sebenar, Noor Qalisha Ahmad Rashid, 20, hingga dia menjadi artis pilihan pihak istana?
Dengan nada penuh merendah diri, Qalisha yang juga sepupu kepada pelakon jelita Neelofa memberitahu, keluarganya memang ada hubungan yang rapat dengan kerabat diraja Terengganu.


Semuanya kerana ibu saudaranya, Toh Puan Sri Noor Intan Zurina Noor Mohamed berkahwin dengan adinda Sultan Terengganu, Tengku Seri Temenggong Raja Tengku Baharuddin Sultan Mahmud. Tidak cukup dengan itu, ibu saudaranya itu jugalah yang menjadi pendorong utamanya dalam bidang nyanyian sejak dulu.

“Janganlah salah sangka dan fikir sebab utama saya dapat masuk istana kerana keluarga ada hubungan dengan kerabat diraja semata-mata, sebaliknya ia bersandarkan bakat saya dalam bidang nyanyian. Hubungan kami dengan pihak kerabat itu secara kebetulan semata-mata.

 “Saya percaya cantik saja tidak cukup untuk bergelar penyanyi yang bagus kerana ia perlu disertai bakat dan kerja keras untuk mencari tapak dalam bidang nyanyian.


“Saya juga tidak ingin sia-siakan kepercayaan yang diberikan ibu saudara yang sering beri peluang kepada saya untuk menyanyi dalam majlis makan malam anjuran pihak istana,” katanya.

Qalisha yang juga anak didik komposer terkenal Ajai mengakui ia pengalaman berharga ketika menyanyi dalam majlis anjuran pihak istana.

 Seminggu selepas albumnya dilancarkan, Qalisha diundang membuat persembahan di hadapan raja-raja dan menteri sempena Persidangan Majlis Raja-Raja di Istana Negara bersama Jay Jay.

Lagu yang menjadi pilihan Qalisha malam itu ialah Mencintaimu, Satu Januari dan From This Moment On. Lebih membanggakan apabila berpeluang membuat persembahan dengan iringan muzik orkestra.

“Sudah pasti saya berdebar kerana menyanyi di istana memerlukan protokol tertentu yang perlu dipatuhi. Selain itu, saya perlu menjaga tatatertib dan penampilan supaya tidak seksi dan menjolok mata.

“Apapun, saya melihat peluang menyanyi di istana sebagai pengiktirafan dalam karier seni. Bukan semua artis dapat peluang sedemikian. Maklumlah, kita perlu menghiburkan golongan istana yang pastinya ingin melihat persembahan yang hebat daripada seorang penyanyi,” katanya yang turut diundang menjayakan persembahan sempena majlis Hari Keputeraan Sultan Kedah.

Penyanyi yang mempertaruhkan single Satu Januari ini berkata, majlis pelancaran bingkisan album sulungnya, Qalisha yang berkonsep balada dan pop balada pada Mei lalu cukup bermakna dalam hidupnya.

“Saya sangat gembira dengan majlis pelancaran album sulung ini kerana ia berjalan seperti direncanakan. Maklumlah, saya sudah menanti lima tahun untuk menjadi penyanyi rakaman.

“Kali pertama saya bertemu Ajai pada usia 15 tahun dan saya hanya yakin untuk menjadi artisnya selepas buat persiapan lengkap untuk menjadi penyanyi. Saya juga buat uji bakat sama seperti artis lain.

“Terus terang, saya menceburi bidang seni bukan untuk main-main, sebaliknya serius untuk bergelar penyanyi yang berjaya,” katanya.

Qalisha juga berharap peminat menyukai semua lagu dalam albumnya. Katanya, dia sudah buat yang terbaik dan berharap peminat akan menyukai semua lagu dalam albumnya, bukan hanya satu atau dua lagu saja.

“Antara lagu kegemaran saya ialah Bebaskanlah, Cerita Cinta dan Satu Januari. Saya juga berduet dengan Ajai melalui lagu Tak Kan Ada.

“Kalau orang tanya kenapa semua lagu cinta terkandung dalam album ini, semuanya kerana saya sendiri suka lagu soul, jiwang dan mendayu-dayu. Mungkin kerana saya sendiri seorang yang sangat romantik.

“Saya juga bangga kerana Satu Januari mendapat sambutan baik daripada peminat. Ramai pasangan kekasih yang menghantar SMS, faks dan juga laman sosial facebook memberitahu mereka suka lagu ini.

“Pujian ini sekali gus memberi makna pada diri mereka. Lagu ini memang cukup bermakna untuk mereka yang meraikan hari istimewa dalam perhubungan,” katanya.


Tidak cemburu dengan Neelofa

TIDAK terlintas di hati Qalisha untuk cemburu dengan populariti mendadak dikecapi sepupunya, Neelofa. Malah mereka saling menyokong antara satu sama lain.

“Neelofa adalah anak salah seorang ibu saudara saya. Justeru, hubungan kami cukup rapat sejak dulu. Saya juga tumpang bangga dengan pencapaiannya sekarang.

“Namun kami jarang berjumpa seperti dulu kerana masing-masing sibuk dengan karier seni. Kami hanya dapat berjumpa dalam majlis yang membabitkan keluarga saja. Tapi, kalau sudah berjumpa banyak perkara yang kami kongsi bersama.

“Setakat ini, tiada pula orang bandingkan saya dengannya. Saya juga akur dia lebih popular dan orang pun lebih kenal dia berbanding saya,” katanya.

Bagaimanapun, penyanyi yang bernaung di bawah Wake The Baby Sdn Bhd ini tidak berminat untuk menceburi bidang lakonan dalam tempoh terdekat ini.

“Saya juga dapat banyak tawaran berlakon tetapi saya tolak kerana ingin fokus pada bidang nyanyian dulu. Buat masa ini, keutamaan saya pada bidang nyanyian yang cukup diminati.

“Saya juga melihat diri tiada bakat dalam lakonan dan biarlah fokus saya pada bidang lakonan dulu. Tapi kalau dapat peluang pada masa depan, mana tahu hati saya terbuka untuk mencubanya nanti.

“Saya juga tidak kisah kalau nama saya naik perlahan-lahan kerana saya ingin pertaruhkan bakat sedia ada serta bukan gosip murahan mahupun kontroversi,” katanya.


PROFIL

NAMA PENUH: Noor Qalisha Ahmad Rashid
TARIKH LAHIR: 15 Julai 1991
UMUR: 20 tahun
TEMPAT LAHIR: Pasir Mas, Kelantan
KELUARGA: Anak kedua daripada empat beradik
KERJAYA: Penyanyi dan model
STATUS: Bujang
ALBUM: Qalisha
SINGLE: Satu Januari
IKLAN: McDonald’s, Yamaha dan Sendayu Tinggi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters