Jom Buat Duit

Wednesday 14 December 2011

Chef Wan Dambakan Sekolah Memasak

 

KUALA LUMPUR, Meskipun sudah bertapak lebih kurang 25 tahun dalam industri makanan dan masakan, namun tukang masak terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau Datuk Chef Wan akui masih mempunyai impian yang masih belum terlaksana.

Sebagai Duta Makanan Malaysia, Datuk Chef Wan mendambakan sebuah sekolah masakan miliknya sendiri untuk mendidik generasi seawal usia kanak-kanak untuk lebih berdikari dan berfikiran kreatif.
Namun impiannya itu bakal terlaksana kerana Datuk Chef Wan sendiri sedang mengusahakannya bagi merelisaikan sekolah memasak tersebut pada penghujung tahun depan.

"Sebenarnya sudah lama saya mengimpikan sebuah sekolah masakan milik saya sendiri. Saya rasa pendedahan sekolah masakan untuk kanak-kanak ini sepatutnya sudah lama diadakan di Malaysia.
"Setakat ini, bagi merealisasikan sekolah masakan milik saya sendiri, saya sudah berbincang dan akan bekerjasama dengan institut pengajian swasta, KDU University College Malaysia di Damansara.
"Sekolah masakan saya itu nanti akan terbuka kepada kanak-kanak sekolah sehinggalah orang dewasa.
"Malah, tujuan utama saya membuka sekolah ini adalah sebagai sebahagian mengisi masa lapang anak-anak yang cuti sekolah bagi melakukan aktiviti yang berfaedah," jelasnya ketika ditemui selepas melancarkan buku resipi The Best of Chef Wan dan Selera Malaysia di Kitchen Culture, Bangsar, baru-baru ini.
Buku yang dihasilkan sempena meraikan ulang tahun ke-25 pembabitannya dalam dunia masakan itu, menampilkan 138 resipi hidangan Malaysia.

Malah ianya juga bersempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-80 ibunya, Noraini Abdullah yang turut diraikan bersama-sama dua orang cucunya, Serina dan Chef Riz.
"Selama 25 tahun berkecimpung dalam dunia masakan, saya menimba pengalaman yang cukup hebat selain dapat mendidik masyarakat tentang makanan.

"Buku ini sangat bermakna dalam hidup saya kerana ianya terdiri daripada resepi masakan saya dan juga turun-temurun keluarga. Buku ini juga saya tujukan khas kepada ibu tersayang saya, Noraini Abdullah.
"Saya patut berterima kasih kepada ibu saya kerana dialah cikgu pertama saya yang mendidik saya serta menjadikan saya seorang chef yang dikenali dan disegani sekarang ini," tambahnya lagi.

Naskah setebal 288 mukasurat itu turut menampilkan hidangan klasik Malaysia seperti Kerutup Daging Terengganu, Sotong Goreng Gaya Nyonya, Nasi Ulam selain Ayam Chettinad, Gulai Daging Siam, Bihun Goreng Tom Yam dan banyak lagi.

Buku resipi terbitan Marshall Cavendish itu menggabungkan resipi tempatan kegemaran Datuk Chef Wan yang terbahagi kepada enam kategori iaitu daging lembu, ayam dan itik, ikan dan makanan laut, kerabu dan sayuran, nasi dan mi serta sup.

Terkini, Datuk Chef Wan dan Tourism Malaysia bekerjasama menerusi projek Fabulous Food 1 Malaysia - ASEAN Heritage Food Trail pada November 2012 dan sedang ditayangkan menerusi Astro Prima di saluran 105.

Edisi Bahasa Inggeris dan Melayu buku resipi The Best of Chef Wan: A Taste of Malaysia/Selera Malaysia boleh didapati di semua premis jualan buku utama seluruh negara pada RM99.90 di Malaysia, Singapura dan Brunei juga diedarkan Marshall Cavendish di luar negara.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters