JITRA: Biarpun sudah hampir sebulan berkhatan, dua beradik masih menderita kesakitan kerana doktor dikatakan tersilap teknik dan tidak memotong hujung kulit zakar mereka sepenuhnya.
Selain sakit setiap kali mahu membuang air kecil dan masih memakai kain, Mohd Iskandar Zulkifli, 10, dan adiknya, Mohd Shah Ikmal, 7, bertambah kecewa apabila doktor memberitahu mereka terpaksa dikhatankan sekali lagi dalam tempoh setahun akan datang. “Sudah hampir sebulan kami menderita kerana menahan sakit akibat lebihan kulit zakar kami tidak putus sepenuhnya. Kami malu sebab rakan lain sudah boleh berjalan dan bermain, tapi kami masih memakai kain pelekat,” kata Mohd Iskandar. Dua beradik itu yang tinggal di Taman Mahsuri di sini, dikhatankan seorang doktor wanita ketika menyertai program berkhatan di Alor Setar, dekat sini, pada 26 November lalu.
“Saya dan adik trauma sehingga sekarang malu bertemu rakan kerana kami masih belum sembuh dan dikatakan masih belum masuk Jawi sepenuhnya,” kata Mohd Iskandar ketika ditemui di rumahnya, semalam. Ibunya, Rosni Ahamad, 48, berkata dia mengesan masalah dihadapi dua anaknya ketika membuat pemeriksaan pada kemaluan mereka dan mendapati bahagian itu seperti tidak berkhatan, malah berlaku pendarahan kerana luka masih belum kering. Rosni berkata, dia dan suami, Zulkifli Zabidi, 55, membuka balutan luka pada kemaluan anaknya untuk memeriksa disebabkan mereka mengadu terlalu sukar dan berasa sakit ketika membuang air kecil.
“Saya dan suami terkejut melihat pendarahan agak teruk dan keadaan zakar anak saya seperti tidak berkhatan. Selepas membuat pemeriksaan, saya dapati ada luka pada pangkal zakar anak sedangkan bahagian kulit yang sepatutnya dibuang tidak dipotong. “Sejurus selepas itu, kami terus membawa anak ke sebuah klinik swasta, namun mereka meminta kami merujuk perkara berkenaan ke hospital kerana bimbang ia akan memburukkan keadaan. “Kami kemudian pergi ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar, namun doktor memberitahu secara teknikal anak kami belum berkhatan,” katanya.
Menurutnya, doktor di HSB itu turut menasihatkannya mengkhatankan semula Mohd Iskandar dan Mohd Shah dalam tempoh agak panjang iaitu sehingga setahun akan datang.
No comments:
Post a Comment