KUALA LUMPUR, Mengangkat kisah percintaan dua remaja yang menemui cinta menerusi laman sosial Facebook, telemovie Biar Mimpi Sampai Ke Bulan (BMSKB), mengupas sisi positif percintaan online tersebut.
Acapkali percintaan alam maya disalah erti, jelas pengarahnya, Michael Ang, tidak semua cinta siber membawa kesan negatif.
"Kita selalu dengar orang yang bercinta menerusi laman sosial ini ada yang baik ada yang buruk. Ada kisah yang negatif dan positif terkena pada setiap individu yang menemui cinta menerusi internet.
"Tetapi menerusi telemovie BMSKB ini, saya memaparkan kisah positif dua remaja yang menemui cinta meskipun cinta siber. Jadi tidak semestinya orang yang mengenali dari internet dan kemudiannya bercinta tidak boleh kekal bersama," katanya membuka bicara mengenai telemovie arahannya itu.
Dijayakan oleh pelakon muda berbakat Elfira Loy, serta pelakon sinetron popular Indonesia, Randy Pangalila, Sharifah Shahora dan ramai lagi, jelas Michael lagi, BMSKB, juga mampu membuka ruang fikiran khusus buat gadis remaja yang gemar berimaginasi supaya mencuba mencapai impian mereka jika bersungguh-sungguh.
"Kisahnya bermula apabila dua orang remaja yang saling mengenali menerusi laman sosial dan berkawan. Si gadis merupakan anak kepada penjual ayam dan gemar bermimpi akan menjadi seorang puteri. Manakala si jejaka pula merupakan seorang anak orang kaya yang sudah bosan dengan kehidupannya.
"Kedua-duanya menyamar menjadi individu yang berbeza dalam laman sosial berkawan dan sehinggalah bertemu dan barulah masing-masing mengetahui perihal sebenar dan bercinta.
"Telemovie ini juga memaparkan apa yang selalunya setiap gadis remaja inginkan iaitu mereka selalu bermimpi atau berimaginasi untuk menjadi seseorang yang kaya dan diminati ramai,"katanya lagi.
Sementara itu jelas, Elfira Loy, pertama kali membawakan watak remaja bercinta sememangnya menguji dirinya. Tidak pernah sama sekali, membawakan watak tersebut kerana sebelum ini dia seringkali diberi peluang melakonkan watak remaja bersekolah.
"Saya membawakan watak Alya seorang remaja yang gemar chatting dan akhirnya jatuh cinta dengan seorang jejaka. Memang saya tidak pernah membawakan watak bercinta malahan saya juga tidak pernah bercinta selama ini.
"Jadi saya cuba keluar daripada kepompong yang selalu saya lakukan dan ianya perlu untuk perkembangan karier saya. Pada mulanya memang segan tetapi saya berjaya juga melakukannya,"jelasnya lagi.
Bergandingan bersama pelakon pujaannya, kata gadis berusia 17 tahun ini, pengalaman tersebut merupakan satu detik indah yang tidak mampu dilupakan.
Malah, dia begitu teruja apabila pelakon dari seberang tersebut tidak lokek untuk berkongsi ilmu pengetahuan lakonan bersamanya.
Telemovie BMSKB akan disiarkan di saluran Astro Ria (saluran 104), malam ini , jam 9.30 malam.
No comments:
Post a Comment