Jom Buat Duit

Friday, 23 December 2011

Ruth Sahayana Berikan Segalanya 25 Tahun


AURA bintang Indonesia, Ruth Sahanaya tidak perlu dipertikaikan lagi saat menjayakan persembahan sempena Konsert Ulang Tahun ke-25 Ruth Sahanaya di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Sabtu lalu.
Ternyata pengalaman lebih dua dekad terbabit dalam dunia hiburan membuatkan penyanyi genit itu bijak mengawal pentas. Ketika beraksi di depan hampir 3,000 peminat, Ruth atau lebih dikenali dengan panggilan Uthe menyerlahkan kemampuannya sebagai penghibur.
Dia muncul dengan gaya ringkas mengenakan busana rona perak menyanyikan lagu rancak Pesta dan Bawalah Aku Pergi sebagai memulakan persembahan.

Ketika menjayakan persembahan itu, Ruth turut berkongsi pelbagai memori dan pengalaman sepanjang bergelar penyanyi. Akui
ibu dua anak itu, beberapa lagu disampaikan menerusi konsert itu pernah menjadi taruhan dirinya ketika menyertai beberapa festival muzik antarabangsa.

Ruth mengakui secara peribadi, dia menyukai semua jenis muzik. Namun jazz lebih melekat di jiwanya kerana diperkenalkan ayah kandungnya.
 
Penyanyi kelahiran Bandung itu mengakui muzik satu bahasa universal yang dapat menyatukan pelbagai lapisan masyarakat dan bangsa. Sebagai penghibur, dia turut meminati genre muzik lain seperti pop, keroncong dan dangdut

Persembahan lebih dua jam itu turut menyaksikan Ruth menyampaikan lagu ‘tribute’ kepada Allahyarham Tan Sri P Ramlee bersama penyanyi terkenal, Datuk Khadijah Ibrahim.

Malah Datuk Khadijah atau lebih mesra disapa Khaty sebagai artis jemputan turut menyanyikan lagu Ku Sangka Siang Kiranya Malam, Ku Pendam Sebuah Duka dan Ku Gembira Di Sampingmu.

Ruth yang memakai skirt hitam pada malam itu turut menyampaikan lagu tribute kepada artis antarabangsa diminatinya, The Carpenters.

Sepanjang pembabitan dalam dunia seni, selain peminat dia memaklumkan betapa sokongan keluarga termasuk suami tercinta, Jeffrey Waworuntu cukup besar.

“Tidak dinafikan sepanjang 25 tahun terbabit dalam dunia seni, kalau tidak kerana sokongan peminat dan keluarga, saya tentu tidak akan berada pada tahap sekarang,” kata Ruth yang kemudian bergabung tenaga dengan dua puteri remajanya, Nadine dan Mabel menyampai lagu Thankful.

Kemudian Nadine menyampaikan lagu Amburadul yang pernah dimuatkan dalam album Ruth. Menurut Ruth, lagu itu turut menjadi single pertama untuk Nadine yang bakal dilancarkan tahun depan.

“Memandangkan lagu ini berkisar kepada percintaan dan remaja, ia sesuai dinyanyikan Nadine. Tidak salah kalau Nadine menyanyikannya semula dengan caranya yang tersendiri,” katanya.

Ruth yang popular menerusi lagu Ingin Ku Miliki dan Kaulah Segalanya tidak lupa menghiburkan peminat menerusi himpunan lagu medley daripada albumnya seperti Memori dan Astaga.

Persembahan anjuran A’Caralis itu turut dihadiri tetamu diraja iaitu Tunku Panglima Besar Kedah, Datuk Seri Tunku Intan Safinaz Sultan Abdul Halim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Sebahagian daripada jualan tiket untuk konsert itu turut diagihkan kepada tabung amal Anak Darulaman Malaysia (Adam)

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters