AJAL...keadaan Lokman yang tidak bernyawa tersandar pada cermin pintu pemandu. Gambar kecil, Lokman, sakit jantung
Dalam kejadian jam 10.15 pagi Jalan Pedada, Taman Kota Jaya itu, Dina Alisa Lokman hanya mendiamkan diri apabila kepala bapanya, Lokman Ramlan, 42, tersandar pada tingkap sebelah pemandu sebelum Proton Wira Aeroback dipandu lelaki berkenaan berhenti perlahan-lahan.
Dia juga masih terus mendiamkan diri apabila orang ramai datang membantu dan hanya menangis selepas pasukan perubatan Hospital Kota Tinggi (HKT) yang bergegas ke lokasi kejadian mengesahkan bapanya meninggal dunia.
Orang ramai menghubungi isteri mangsa, Yusniza Yusof, 37, yang bertugas sebagai pembantu tadbir di Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) dan wanita berkenaan tiba ditemani rakan sekerja sebelum ibu Lokman, Dinah Abu Bakar, 68, sampai bersama kakaknya, Zaleha Ramlan, 49.
Menurut Zaleha, Lokman pernah bekerja di sebuah bank di daerah berkenaan sebelum meletak jawatan setahun lalu untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan.
“Lokman mengedar produk hasil pertanian kepada pekedai sekitar bandar ini. Dia tidak pernah mengadu sakit dan gigih bekerja,” katanya yang ditemui di Unit Forensik HKT.
Menurut Zaleha, Dina yang juga anak kedua daripada empat beradik tidak faham dengan apa yang menimpa bapanya.
“Dina menyangka bapanya tertidur dan kerana itu dia mendiamkan diri sehinggalah menyedari bapanya sudah tiada lagi.
Seorang lelaki yang enggan dikenali pula menyatakan Lokman serta Dina dilihat bersarapan di sebuah kedai berhampiran lokasi berkenaan sejam sebelum itu.
“Mangsa sempat membelikan aiskrim untuk anaknya sebelum mereka berlalu pergi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik mengesahkan kejadian.
“Setiba di Jalan Pedada, mangsa mendapat serangan jantung lalu memperlahankan kereta ke bahu jalan.
“Laporan bedah siasat mengesahkan punca kematian Lokman akibat serangan jantung dan jenazahnya dituntut ahli keluarga,” katanya.
Jenazah Lokman dibawa pulang ke Kampung Bukit Lintang, Lukut, untuk dikebumikan.
No comments:
Post a Comment