MELIHAT daripada gaya dan paras rupa, pasti tidak ramai menyangka penyanyi popular Aizat Amdan seorang jejaka yang menggemari aktiviti lasak. Ini kerana kebanyakan pendedahan dibuat mengenainya apabila bercuti ke luar negara adalah untuk menyaksikan festival muzik mahupun membeli-belah.
Sebelum ini penyanyi yang cukup popular dengan lagu Susun Silang Kata dan Sungai Lui, pernah bercuti ke London, Britan; Paris, Perancis dan Australia bersama keluarga dan teman-teman.
Bagaimanapun, kebanyakan aktivitinya dalam percutian itu lebih kepada menyaksikan konsert kumpulan diminati di samping menambah pengetahuannya mengenai industri muzik dunia.
Hakikatnya, Aizat juga menyimpan impiannya untuk melakukan dua aktiviti lasak, terjun Bungee dan Sky Diving dan akhirnya ia menjadi kenyataan pada awal November lalu apabila Aizat berpeluang bercuti ke New Zealand.
Bercerita mengenai percutian selama 10 hari itu jelas Aizat, pada peringkat awal dia menempah tiket tambang murah Air Asia yang kebetulan mengadakan promosi percutian di Negara Kiwi itu.
“Segalanya seperti sudah dirancangkan apabila ahli keluarga lain termasuk saudara mara saya turut menempah tiket dalam tempoh sama. Kami mendapat harga istimewa, jadi pemergian saya untuk bercuti menjadi sangat meriah apabila 29 ahli keluarga termasuk sepupu saya turut serta,” katanya.
Kata Aizat, sebelum berangkat pergi, dia terlebih dulu mendapatkan maklumat mengenai dua aktiviti lasak yang mahu dilakukan itu menerusi Internet.
“Sebaik menjejakkan kaki di Christchurch, hati saya sudah berbunga dan tidak sabar mahu melakukan Bungee Jumping dan Sky Diving. Memandangkan jumlah kami yang ramai, bagi memudahkan perjalanan, kami menyewa karavan dan memandu terus ke selatan sehingga ke Queenstown.
“Impian saya untuk melaksanakan terjun Bungee dapat direalisasikan sewaktu berada di pantai Kawakawa Bay. Seronoknya dapat melakukan terjunan itu tidak boleh saya gambarkan dengan kata-kata,” katanya.
Kepuasan berganda diperoleh Aizat apabila berpeluang melakukan Sky Diving dengan membuat terjunan 15,000 kaki dari aras laut dan payung terjun hanya digunakan apabila ketinggian mencecah 10,000 kaki.
“Sebelum ini saya hanya melihat mereka melakukan dua aktiviti terbabit dalam televisyen. Ternyata peluang diperoleh itu pada saya satu pengalaman cukup indah. Pada mulanya, perasaan berdebar itu memang ada, bagaimanapun selepas melakukannya saya rasa sangat puas.
“Saya benar-benar seronok apabila menaiki pesawat sebelum melakukan terjunan.
Apabila berada di ruang ang�kasa, saya melihat bumi New Zealand sangat indah.
Allah Maha Besar dan ciptaannya sangat sempurna,” katanya.
Jelas Aizat lagi, istimewanya pemergiannya itu, segala aktiviti turut dirakam kerana produksi miliknya, Kasi Gegar Entertainment Sdn Bhd (KGE) turut membawa bersama CST Production. Mereka juga merancang untuk menghasilkan satu program khas membabit�kan percutiannya di sana.
“Setakat yang saya tahu, sekarang ini semua rakaman percutian saya bersama keluarga itu sedang disunting. Apabila siap kami bercadang mahu memaparkannya buat tatapan peminat.
“Bagaimanapun, perbinca�ngan dengan pihak televisyen sedang dijalankan. Insya Allah sekiranya segala dirancang menjadi kenyataan, peminat sendiri dapat menyaksikan bagaimana seronoknya saya melakukan aktiviti lasak terbabit,” katanya.
Selain bercuti, Aizat turut mengadakan satu persembahan khas buat peminatnya yang sedang menuntut di sana. Ia dilakukan di Christchurch. Di samping berhibur, dia juga cuba menghilangkan rindu mereka kepada tanah air.
“Saya terharu apabila ramai lagi hadir. Sebenarnya kami merancang untuk mengadakan persembahan di sana sebagai acara selingan. Bagi mengumpulkan peminat di sana, satu laman sosial khas Facebook dibuka khas buat mereka.
“Menerusinya kami berjaya menghimpunkan mereka. Apa yang membuatkan saya rasa terharu, ada antara peminat ini datang dari jauh seperti Auckland, semata-mata mahu menyaksikan persembahan saya,” katanya.
Jelas Aizat lagi, persembahan juga dilaksanakan dalam suasana cukup santai dan dibuat secara unplugged. Abangnya, Anas memetik gitar dan Aizat menyanyi.
Katanya, sepanjang sesi persembahan itu dia turut berkomunikasi secara terbuka dengan mereka.
Ibarat sesi ramah mesra, jejaka berusia 22 tahun itu mendendangkan bukan saja lagu popularnya tetapi juga lagu yang diminta peminat, bagi menghilangkan rindu mereka yang sudah lama tidak dapat mendengar lagu-lagu tempatan.
Bagi Aizat, percutiannya ke New Zealand meninggalkan kenangan cukup manis, apatah lagi ia disifatkan lengkap kerana bukan saja dapat melakukan aktiviti yang selama ini memang menjadi impiannya tetapi juga dapat menghiburkan peminat di sana.
No comments:
Post a Comment