KUALA LUMPUR – Penyanyi Nur Shahila Amir Amzah atau Shila Amzah
(gambar) yang mengharumkan nama negara apabila berjaya memenangi
pertandingan nyanyian peringkat antarabangsa Asian Wave 2012 di
Shanghai, China, malam kelmarin dikatakan bakal menerima hadiah dana
lebih RM1 juta.
Mengikut laporan portal hiburan murai.com.my, Shila, 22, mengesahkan
perkara itu tetapi angka sebenar hadiah kemenangan itu hanya diketahui
hari ini setelah satu rundingan diadakan bersama penganjur pertandingan
berkenaan.
“Hadiah dana itu meliputi rakaman album, konsert, promosi dan
perkara lain yang melibatkan kerjaya saya di China nanti,” jelas Shila
dalam portal berkenaan.
Malam kelmarin, Shila berjaya menewaskan penyanyi dari China, Korea Selatan, Singapura, Thailand dan India.
Penyanyi itu yang juga anak kepada penyanyi ND Lala menyanyikan
tiga buah lagu iaitu Gemilang (lagu popular Jaclyn Victor), Grenade
(lagu nyanyian Bruno Mars) dan sebuah lagi dalam bahasa Mandarin ketika
pertandingan akhir berkenaan.
Shila yang membuat ucapan selepas dinobatkan sebagai pemenang di
pentas Asian Wave itu menegaskan dia bersyukur kerana terpilih sebagai
pemenang dalam kalangan penyanyi hebat lain yang turut bertanding.
“Saya berterima kasih kepada peminat serta pengundi dan pertandingan
ini telah memberi peluang untuk menonjolkan bakat yang saya ada,”
ujarnya dalam ucapan di laman YouTube.
Pada pusingan pertama Asian Wave 2012, Shila telah menyanyikan lagi
penyanyi Adele, Set Fire to the Rain dan pada pusingan kedua dia
mengalunkan pula lagu penyanyi Taiwan, Lee Hom iaitu Forever Love yang
telah menarik perhatian juri dan komposer terkenal China, Eric Moo.
Daripada 30 orang peserta, hanya 12 orang terpilih ke pertandingan
akhir yang telah berlangsung sejak 31 Ogos lalu dan pemilihan akhir
seramai lima penyanyi sahaja.
Asian Wave merupakan pertandingan peringkat Asia Pasifik untuk
mencari penyanyi bertaraf bintang yang mewakili negara masing-masing.
Shila yang kini berada di Shanghai akan pulang ke tanah air pada 26
September ini. Beliau bagaimanapun gagal dihubungi Kosmo! bagi
mendapatkan penjelasan lanjut berhubung kemenangannya itu.
Kosmo
No comments:
Post a Comment