LONDON - Pewaris kedua takhta diraja Britain, Putera William dan
isterinya Kate Middleton berang semalam selepas sebuah majalah Perancis
menyiarkan gambar separuh bogel wanita berkenaan.
Perbuatan tersebut membangkitkan kembali insiden gangguan yang
dilakukan oleh pihak media terhadap ibu William, mendiang Puteri Diana.
Middleton memakai gelaran Duchess of Cambridge selepas berkahwin dengan William.
Beberapa pegawai Istana St James di sini berkata, pasangan diraja
berkenaan yang kini berada di Malaysia sedang berunding dengan beberapa
peguam berhubung tindakan majalah Closer versi Perancis itu.
Mereka menyifatkan perbuatan majalah itu sebagai pencerobohan privasi yang melampau.
Gambar eksklusif itu menunjukkan Catherine, 30, memakai seluar dalam
manakala William menyapu krim matahari pada belakang badannya ketika
isterinya sedang berbaring.
"Pasangan diraja berkenaan amat sedih dan marah kerana satu
penerbitan Perancis dan seorang jurugambar menceroboh privasi mereka
secara melampau dan tanpa sebarang justifikasi," kata kenyataan Istana
St James.
"Insiden itu mengimbau kembali perbuatan melampau media cetak dan
jurugambar paparazi semasa Diana masih hidup," tambah kenyataan
tersebut.
Foto separuh bogel Middleton itu yang dirakamkan dari jauh disiarkan oleh majalah berkenaan semalam.
Penerbitan tersebut mendakwa gambar itu dirakamkan di atas sebuah
rumah rehat di selatan Perancis semasa Middleton dan William bercuti
pada bulan ini.
Penyiaran gambar kontroversi itu merupakan cabaran getir pertama yang
dicetuskan oleh media cetak terhadap pasangan diraja itu selepas Diana
mati dalam satu kemalangan kereta di Paris ketika beliau dikejar
beberapa paparazi.
Gambar itu disiarkan selepas portal hiburan dan akhbar The Sun di Britain menyiarkan gambar bogel adik William, Putera Harry baru-baru ini.
Harry berbogel dengan seorang wanita semasa mereka berada di dalam sebuah bilik hotel di Las Vegas, Amerika Syarikat.
Sementara itu, William semalam mengaku bahawa beliau bukan peminat
durian selepas merasa raja buah itu semasa lawatan beliau ke Malaysia.
William dan isterinya dihidangkan dengan buah durian semasa
menghadiri majlis makan tengah hari bersama Perdana Menteri Datuk Seri
Najib Tun Razak setibanya pasangan itu di Malaysia untuk lawatan tiga
hari kelmarin.
Namun, semasa menghadiri satu lagi majlis makan tengah hari bersama
sejumlah eksekutif perniagaan di ibu kota Malaysia, Kuala Lumpur
semalam, bakal Raja Britain itu memberitahu: "Saya cuma mahu menyatakan
betapa sedapnya makan tengah hari ini dan saya gembira kerana durian
tidak terkandung dalam menu kali ini."
"Selepas merasa buah ini (durian) semalam, saya bimbang akan keselamatan mereka yang saya temui selepas itu," katanya.
Ucapan lucu William disambut dengan gelak ketawa para hadirin yang terdiri daripada lebih 1,000 ahli perniagaan.
Durian popular di Malaysia dan beberapa negara jirannya kerana rasa buah berkenaan yang lazat dan unik.
Namun, ramai tidak tahan dengan bau buah itu.
William dan Kate sedang dalam rangka lawatan ke seluruh dunia pada
tahun ini bagi meraikan pemerintahan 60 tahun nendanya, Ratu Elizabeth
II. - Agensi
No comments:
Post a Comment