Disebabkan perkara itu, dia telah terjatuh dari tangga berhampiran tempat letak kereta di kediamannya dan akibatnya dia mengalami kecederaan pada bahagian dahi, mata dan bibirnya.
Terdahulu, Marsha, 26, juga pernah dituduh hamil dan menggugurkan kandungan serta dihambat cerita putus cinta dengan teman seangkatan program Akademi Fantasia, Kefli.
Bagi gadis kelahiran Amerika Syarikat dan membesar di Tamparuli, Sabah ini, dia menganggap semua itu asam garam apabila masuk dalam industri hiburan dan tidak mungkin dia melakukan perkara yang tidak masuk akal hingga menjejaskan kesihatan dan kerjayanya sebagai pelakon dan penyanyi.
Kisah Marsha juga tidak berhenti di situ sahaja. Terkini dia dikatakan telah putus cinta buat kali ketiga sejak tahun 2005 menjadi artis.
Pernah dikaitkan dengan artis lelaki popular tanah air seperti Hans Isaac, Andy dari kumpulan Estranged dan Yusry KRU, Marsha sebenarnya kini mengakui dia sudah enam bulan putus cinta dengan jejaka yang dirahsiakan identitinya.
"Memang baru enam bulan putus cinta, tetapi saya tidak mahu fikir perkara lepas. Sekarang saya ada mengenali seseorang tetapi masih awal lagi kerana kami baru sangat berkenalan," ujarnya ketika ditemui di sebuah majlis rumah terbuka Aidilfitri di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Jelas Marsha, lelaki itu yang dinamakan sebagai M merupakan seorang lelaki biasa dan dikenalinya melalui seorang kawan.
"Apa yang pasti dia memang berbangsa Melayu, mungkin sudah cita rasa saya orang Melayu. Lingkungan kawan saya memang semuanya Melayu, membuatkan saya lebih senang berkawan dengan satu bangsa sahaja," katanya yang masih terasa luka putus cinta dengan kekasihnya.
Secara jujurnya Marsha menjelaskan, dia tidak pernah didekati oleh lelaki sebangsa dengannya atau pun lelaki yang bukan beragama Islam. Itu yang membuatkan dia sering rapat dengan jejaka Melayu.
Menceritakan detik perkenalan dia yang masih belum berusia sebulan, Marsha berkata, dia bertemu M ketika bersama rakan-rakannya yang lain dan mereka bertukar nombor pin pesanan telefon Blackberry.
"Selepas itu kami berkenalan, tetapi masih terlalu awal lagi nak bercerita tentang M sebab saya pun masih tidak kenal dia. Doakan saya bertemu dengan lelaki yang benar-benar ikhlas ya," katanya yang meletakkan sasaran umur 30 tahun untuk berumah tangga.
Walaupun sudah tersasar meletakkan umur 25 tahun untuk berumah tangga sebelum ini, Marsha menganggap perkara itu tidak menjadi masalah baginya kerana dia percaya tuhan sudah ada rancangan sendiri untuk dirinya.
|
|
"Saya percaya Tuhan sedang uji dan atur yang terbaik bagi saya dan pasti saya bertemu cinta sejati nanti," katanya percaya setiap putus cinta yang berlaku kepadanya ada hikmat di sebaliknya.
Ditanya persoalan sama ada dia jenis wanita yang tidak boleh hidup tanpa lelaki disebabkan setiap kali putus cinta pasti akan bertemu cinta baharu, Marsha tidak menafikan perkara itu.
Dia berkata: "Saya jenis wanita yang manja, kadangkala kita hendak rasa disayangi, saya hendak rasa dalam keadaan berbunga-bunga dan perkara itu memberi inspirasi kepada saya untuk bekerja."
Tambahnya, jika bertemu lelaki yang sejati suatu hari nanti, dia tidak mahu menunggu masa yang lama untuk mengenali hati budi kerana ingin cepat-cepat berumah tangga.
"Bukannya gatal atau apa, sebaliknya lebih baik begitu daripada bercinta lama-lama," katanya yang pernah bertahan dengan cinta hanya empat bulan sahaja dan paling lama empat tahun.
Sabah
Bercerita mengenai kerjaya seninya pula, Marsha berkata, sejak Aidilfitri lalu, dia hanya berehat kerana tiada tawaran yang diterima tetapi akan memulakan pengambaran sebuah drama pada 15 September ini.
"Lagi pun saya susah hendak beri komitmen kerja di sini sebab banyak sangat terima tawaran menyanyi di Sabah, hampir setiap minggu saya ke Sabah sebab banyak undangan di sana berbanding di Semenanjung," ujarnya.
Jelasnya, undangan menyanyi di Semenanjung amat terhad untuknya berbanding di negeri kelahiran sendiri, tetapi dia banyak menerima tawaran berlakon di sini.
Erma Fatima
Bermula 15 September ini, Marsha akan memulakan penggambaran sebuah drama 13 episod bersama pengarah terkenal Erma Fatima bertajuk Bukan Untukmu bersama Aqasha dan pelakon utamanya yang masih tidak diketahui.
Teruja dan agak gementar kerana pertama kali berlakon di bawah arahan Erma, Marsha mempunyai perasaan begitu kerana sebelum ini terdapat banyak cakap-cakap orang bahawa Erma merupakan seorang pengarah yang garang.
"Saya banyak kali tolak tawaran Erma kerana bertindih dengan jadual. Tapi kali ini saya terima kerana tidak terikat dengan mana-mana produksi, takut juga sebab ramai cakap dia garang," ujarnya.
Sungguhpun begitu, Marsha berharap perkara yang dicakapkan oleh beberapa pihak sebelum itu tidak berlaku kepadanya.
"Mungkin dengan orang lain dia garang, tetapi dengan saya dia akan okey sahaja, mana tahu," ujarnya untuk menyedapkan diri sendiri.
Dalam drama itu dia memegang watak antagonis apabila kekasihnya sudah jatuh hati dengan wanita lain.
"Kalau diberi pilihan sama ada watak baik atau jahat, saya ambil watak jahat kerana saya suka dengan watak sebegini," ujarnya yang juga pelakon utama drama Kum Kum The Series.
Randy Pangalila
Hakikatnya, selain berlakon, Marsha pada awalnya adalah seorang penyanyi sebelum berubah mencuba bidang lakonan.
Mendedahkan dia masih aktif dalam bidang nyanyian dan telah muncul dengan lagu bersama komposer Ajai, Tentang Cinta serta yang terbaharu Selalu Milikmu bersama pelakon Indonesia, Randy Pangalila.
"Lagu itu adalah lagu runut drama Dalam Hati Ada Taman," ujarnya bakal muncul sebagai hos program Propaganza musim kedua nanti.
Disebabkan telah banyak kali putus cinta, perkara itu memberi inspirasi untuk dirinya menulis sendiri sebuah lirik lagu mengenai kisah kecundang dalam percintaan.
"Saya tulis lagu berjudul Jujur Bilang Cinta yang berirama balada. Itu kisah saya sendiri tetapi lagu ini tunggu dulu sehingga lagu Selalu Milikmu selesai promosi di radio," ujarnya.
No comments:
Post a Comment