GAMBAR pada 18 September menunjukkan Pasang (kiri) bersama abangnya, Mingmar Lama yang berkongsi seorang isteri bersama dua anak mereka
UPPER DOLPA, Nepal – Apabila Tashi Sangmo berusia 17 tahun, gadis itu mengahwini jirannya yang berumur 14 tahun dan adik lelakinya di sebuah kampung di pedalaman banjaran Himalaya di Nepal.
Pada zaman dahulu, anak-anak lelaki dalam hampir setiap keluarga di rantau ini akan berkongsi seorang wanita sebagai isteri.
Dikenali sebagai poliandri, amalan tersebut semakin terpinggir setelah masyarakat Nepal terdedah kepada budaya kehidupan moden.
Namun, beberapa buah perkampungan terpencil di Himalaya masih mengamalkan budaya bersuami lebih daripada satu itu.
“Budaya ini memudahkan hidup wanita kerana segala harta kekal dalam satu keluarga. Tiada pembahagian kekayaan dalam kalangan isteri seperti amalan poligami,” kata Sangmo.
“Semua pendapatan dikawal oleh saya. Mereka (suami-suaminya) pula bertanggungjawab mencari nafkah untuk keluarga ini,” tambahnya.
Apabila Sangmo berkahwin dengan Mingmar Lama 14 tahun lalu, kedua-duanya faham bahawa adik lelaki suaminya, Pasang akan menyertai rumah tangga mereka kelak.
Ketika itu, Pasang baru berusia 11 tahun.
Keluarga berkenaan kini memiliki tiga anak lelaki dengan masing-masing berusia lapan, enam dan empat tahun.
“Saya mahu berkongsi ikatan perkahwinan ini bersama abang saya kerana hidup kami akan menjadi lebih mudah,” kata Pasang, 25, di rumah mereka yang terletak di kampung Simen pada ketinggian 4,000 meter dari aras laut.
Masyarakat terpencil di rantau ini mengamalkan poliandri bagi mengelakkan sesebuah keluarga membahagi-bahagikan harta mereka.
Perasaan cemburu pula tidak wujud dalam kalangan mereka.
“Saya tidak cemburu berkongsi isteri dengan abang saya. Jika saya cemburu, pastinya saya
akan mengahwini wanita lain,”
kata seorang lagi pemuda
yang mengamalkan budaya poliandri yang dikenali sebagai Pema.
Dia dan abangnya, Karma dengan rela hati berkongsi seorang isteri berusia 30 tahun, Shitar Dorje.
Keluarga poliandri biasanya bersikap tidak kisah berhubung isu bapa kandung dengan anak-anak mereka memanggil kedua-dua bapa dan bapa saudara sebagai “ayah”.
Rantau terpencil ini terletak sekitar 500 kilometer dari ibu negara Nepal, Kathmandu. – AFP
No comments:
Post a Comment