Jom Buat Duit
Friday, 21 September 2012
Yuna pilih karier berbanding cinta
SIAPA sangka daripada seorang gadis biasa yang gemar menyanyi dan memuat naik karya ke dalam laman YouTube, kini dia merupakan seorang penyanyi yang telah dikenali bukan sahaja dalam industri muzik tempatan, namun di industri muzik antarabangsa juga.
Pemilik nama Yunalis Zaraai atau lebih mesra disapa Yuna, mengakui, hampir dua tahun berada di perantauan, dia kini menjadi semakin matang dan sentiasa berusaha untuk berjaya dalam karier yang dipilihnya ini.
Selain tentang karier yang dibina, kisah cintanya bersama seorang jejaka bernama Qi Qushairi atau Qi juga menjadi perhatian ramai.
Baru-baru ini, melalui laman sosial Twitter miliknya, Yuna dilihat sering meluahkan kata-kata berbaur kecewa.
Sejak itu, persoalan mengenai hubungannya bersama Qi menjadi perbualan yang berlegar di ruang internet.
Adakah mereka masih bersama ataupun hubungan cinta yang dijalinkan telah putus di tengah jalan? Begitupun, Yuna mempunyai penjelasan tersendiri
"Kami kini berehat daripada perhubungan serius dan ingin memberi fokus terhadap karier masing-masing. Ia agak susah kerana saya berada di sana dan Qi di sini, jadi keadaan menjadi sukar. Namun, kami menghormati keputusan masing-masing untuk mengejar impian menjadi penggiat seni.
"Tidak dinafikan kami masih berkawan dan masih punya hubungan yang baik. Mungkin disebabkan oleh jarak, ia menjadi sukar buat kami dan memandangkan perjalanan karier yang semakin sibuk, kami mengambil keputusan ini bersama. Kami mahu beri ruang kepada diri masing-masing untuk bekerja," jelas Yuna tentang hubungannya bersama Qi yang telah dibina sejak hampir dua tahun yang lalu.
Tambahnya, sebagai manusia, mereka juga pernah melalui perkara yang sama seperti pasangan lain. Namun, jika ada jodoh, dia tidak akan menolak. Tapi kini, tumpuannya memang terhadap karier di bidang nyanyian 100 peratus.
"Saya tidak meletakkan sebarang harapan dan kini saya tidak punya komitmen terhadap perhubungan ini. Saya dan dia bebas untuk melakukan apa sahaja dan saya juga sentiasa bekerja dan perhubungan cinta bukan lagi pilihan untuk saya. Namun kami masih mengambil berat tentang diri masing-masing.
"Saya hanya mahu peminat doakan yang terbaik buat kami dan apa yang terbaik untuk kami. Ini kerana, apabila masa itu belum sampai, kami tidak boleh memaksa diri untuk berkahwin atau sebagainya. Jika jodohnya bersama orang lain, saya terima," jelasnya lagi.
Kematangan
Mungkin ramai peminat Yuna telah sedia maklum bahawa gadis tinggi lampai ini telah berhijrah ke Amerika Syarikat untuk mengembangkan sayap kariernya sebagai seorang penyanyi di sana.
Ternyata, namanya semakin mekar di perantauan apabila tahun ini dia dicalonkan dalam dua anugerah muzik yang memang terkenal iaitu MTV Music Award dan European Music Award (EMA).
Sukar untuk bertemu gadis ini di Malaysia, kesempatan dan peluang yang ada digunakan sepenuhnya oleh pihak media untuk menemuramah dan bertanya seberapa banyak soalan yang boleh dalam perkembangan Yuna di negara perantauan.
"Sebenarnya, saya tidak begitu sedar betapa cepat tahun 2012 ini berlalu. Sedar-sedar, sudah mahu hujung tahun. Banyak perkara boleh berlaku dalam jangka masa setahun ini. Jadi adalah sangat rugi jika saya tidak melakukan apa-apa yang boleh meningkatkan karier saya.
"Alhamdulillah, dalam masa 10 bulan, telah banyak yang saya capai dengan membuat apa yang termampu. Album juga telah siap dan kini sedang melakukan promosi dengan membuat jelajah ke beberapa destinasi.
"Saya sebenarnya bangga dan bersyukur dengan apa yang dikecapi. Ini semua berkat doa peminat dan keluarga saya juga untuk sampai ke tahap begini," tutur Yuna merendah diri ketika muncul pada sidang akhbar Yuna Homecoming Concert yang bertempat di Tropicana Golf & Country Resort, Petaling Jaya, Selangor Rabu lepas.
Akui Yuna, berada seorang diri di sebuah negara besar seperti Amerika Syarikat membuatkan dirinya ingin berusaha sebaik mungkin untuk berjaya. Memandangkan dirinya sebagai pendatang baharu di negara lain, mempunyai tahap keyakinan yang tinggi sangat diperlukan.
Bagi Yuna, siri jelajah musim panas di Amerika Syarikat (AS) adalah permulaan kejayaan dinikmati di sana. Ini kerana, tutur anak kelahiran Kedah ini, selepas melakukan siri jelajah tersebut, penjualan album meningkat serta semakin ramai yang mula mengenali dirinya sebagai seorang penggiat seni.
"Pernah ada sebuah rancangan realiti di sana (AS), ambil lagu yang berjudul Lullaby sebagai lagu latar dan secara tiba-tiba penjualan single Lullaby meningkat naik. Alhamdulillah, memang saya gembira dengan kejayaan tersebut.
"Dengan apa yang saya telah belajar ini, saya harap dapat gunakannya pada tahun-tahun yang mendatang sebagai bekalan untuk saya maju dalam bidang yang saya minati ini. Saya juga akui, tahun ini ialah tahun belajar buat diri saya," cerita Yuna sopan menyusun kata.
Pengorbanan
Bicara gadis berusia 26 tahun ini, sebagai seorang anak tunggal, dia membuat keputusan yang agak berat dan besar dalam hidupnya.
"Sebagai anak tunggal, saya memang rapat dengan keluarga, jadi untuk berhijrah ke sana ialah perkara besar bagi saya. Saya juga pernah berfikir dua tiga kali tentang keputusan ini.
"Jadi, setelah berjaya menempatkan diri di sana, biar saya beri fokus terhadap perkara ini. Saya akan dapatkan projek sebanyak yang mungkin.
"Saya jenis yang suka mencuba buat perkara yang baharu bagi diri, namun jika tidak berjaya, tidak mengapa asalkan kita mencuba," jelas Yuna yang dilihat sentiasa positif dalam apa jua yang dilakukannya.
Tuturnya lagi, selagi Tuhan memberikannya akal untuk menjadi kreatif, ia akan digunakan sebaik mungkin.
"Sementara saya masih muda dan mampu lakukannya, saya akan teruskan usaha ke arah itu. Bagi pendapat saya, artis lain juga perlu punya perangai yang sama untuk berjaya," ujarnya.
Kosmo
Labels:
Yuna
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment