BATU PAHAT - Selepas lima tahun menikmati kehidupan sebagai
insan normal, Tee Hui Yee yang merupakan penerima organ jantung baharu
menerusi satu pembedahan maraton pada 2007, meninggal dunia secara
mengejut di kediaman ibu bapanya di Kampung Parit Besar di sini semalam.
Gadis berusia 19 tahun itu yang pernah menyentuh hati nurani rakyat
Malaysia kerana terpaksa menyorong jantung mekanikalnya yang diletakkan
di dalam beg untuk ke mana-mana, disahkan meninggal dunia di pangkuan
bapanya, Tee Ah Soon pada pukul 10.02 pagi semalam.
Ibunya, Dina Bato Sam Bua, 51, berkata, anak kesayangannya itu
mengadu sakit dada dan bahagian kiri tengkuknya selepas dia keluar makan
bersama rakan-rakan di sebuah restoran hidangan kukus berhampiran
kira-kira pukul 9 malam kelmarin.
Menurutnya, selepas anaknya muntah, dia bersama rakan baik anaknya,
Thong Liew Sze Yun, 17, mengurut badannya perlahan-lahan dan dia sempat
menjamah sekeping roti sebelum muntah sekali lagi.
Ketika itu, katanya, dia turut memujuk anaknya itu supaya mendapatkan
rawatan di hospital malam kelmarin tapi anaknya itu enggan kerana
beranggapan dia hanya diserang gastrik.
"Saya mula cemas apabila melihat anak bongsu daripada empat beradik
itu menggigil dan kedua-dua tangannya kejang kira-kira 9 pagi semalam
sebelum menjerit memanggil bapanya, Tee Ah Soon," katanya ketika ditemui
di pusat persemadian di Jalan Fatimah di sini.
Sementara itu, Ah Soon berkata, isterinya itu cuba mengurut mendiang
tetapi tidak berhasil malah situasi anaknya itu makin teruk sehingga dia
terpaksa membuat bantuan pernafasan dari mulut ke mulut (CPR) selama 10
minit tetapi masih tidak berjaya.
"Saya sempat mendengar nafas terakhirnya sebelum dia kelihatan kaku
lalu menyebabkan saya bergegas membawanya ke Hospital Batu Pahat.
"Doktor tidak memberitahu kami punca kematiannya sama ada ia berkaitan dengan jantung atau tidak," kata pekebun sayur itu.
Kisah Hui Yee yang menderita sakit jantung sejak berusia dua tahun
mendapat liputan meluas media apabila terpaksa bergantung nyawa selama
setahun dengan jantung mekanikal sebelum menjalani pemindahan jantung
pada Oktober 2007.
No comments:
Post a Comment