PELAKON yang dikenali menerusi drama bersiri Asmaradana dan bakal
muncul menerusi Evolusi KL Drift The Series pada 4 Oktober ini nekad
mahu meninggalkan dunia lakonan untuk bekerja dalam bidang perhotelan.
Dia yang mempunyai ijazah dalam bidang Pengurusan Perniagaan dari
Kolej Olympia, Kuala Lumpur dan ijazah Sarjana Muda Pengurusan
Pelancongan dan Hospitaliti dari Kolej Taylor, Kuala Lumpur kini sudah
bersiap sedia untuk menerima sebarang jawatan dalam bidang berkaitan.
Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin, 27, atau lebih dikenali Puteri
Sarah berkata, dia sudah menghantar resume kepada beberapa buah hotel
bertaraf lima bintang untuk mendapatkan pekerjaan yang sesuai dengan
ijazah yang diraihnya.
Bukan disebabkan merajuk atau kurang menerima tawaran berlakon,
pelakon filem Lu Pikirlah Sendiri De Movie ini menganggap keputusannya
untuk bersara daripada bidang lakonan adalah bagi memenuhi impian
kedua-dua ibu bapanya.
“Malah jika fikir balik, baik juga saya bekerja macam orang biasa
(bukan artis), ada jaminan masa depan dan kewangan. Sampai bila saya
hendak berlakon dengan meraih pendapatan yang tidak tetap,” ujarnya
ketika ditemui di majlis pelancaran Evolusi KL Drift The Series di
Kuala Lumpur
baru-baru ini.
Tambah Puteri Sarah, memandangkan umurnya sudah mencecah 27 tahun dan
akan menghampiri 30 tahun, sudah masanya dia memikirkan masa depan agar
mendapat pendapatan yang tetap.
Ujar kekasih kepada pelakon Ammar Alfian ini lagi, resume yang
dihantarnya itu juga adalah kepada beberapa hotel terkenal di luar
negara dan jika mendapat maklum balas positif, dia tidak kisah andai
terpaksa berhijrah.
“Saya memang hendak bekerja di luar negara sebab itu saya hantar
resume ke hotel di sana. Adik-beradik saya juga ada di luar negara jadi
apa salahnya saya pula ikut jejak mereka,” jelasnya.
Keputusannya untuk berhijrah ke luar negara itu juga turut mendapat sokongan kuat keluarganya dan Ammar sendiri.
Bercerita mengenai wataknya dalam Evolusi KL Drift The Series pula,
dia berkata, dalam drama bersiri itu dia memegang watak sebagai Tasha
seorang gadis lasak dan pemandu kereta drift.
“Memang sukar juga sebab saya terpaksa memandu kereta manual, saya
sudah lama tidak memandu kereta jenis itu dan terpaksa diajar beberapa
kali baru mahir,” ujarnya yang pertama kali bekerjasama dengan syarikat
Skop Production.
Tambah Puteri Sarah, dia tidak menyangka ditawarkan watak utama dalam
drama berkenaan kerana ketika itu dia hanya menemani Ammar yang turut
berlakon drama itu untuk perbincangan dengan syarikat berkenaan.
“Terkejut saya apabila ditawarkan watak utama padahal saya hanya
temankan Ammar ke situ. Lalu, saya tidak fikir panjang terus menerima
tawaran tersebut memandangkan saya tidak pernah bekerja di bawah
syarikat perfileman Datuk Yusof Haslam,” katanya.
Ketika diajukan persoalan jodohnya dengan Ammar pula, Puteri Sarah mengambil masa seketika untuk menyusun kata-katanya.
Katanya, dia dan Ammar sudah acap kali berbincang soal perkahwinan
tetapi perbualan mereka masih tiada penghujung dan kata putus.
“Ammar sudah banyak kali ajak saya kahwin dan kami juga sudah banyak
kali berbincang. Susah saya nak cakap bila kami akan berkahwin,” ujarnya
yang sudah empat tahun menyulam cinta bersama Ammar.
Tambahnya, dia tidak mahu membuat sebarang sasaran umur untuk
mendirikan rumah tangga dan membiarkan ia berlaku secara semula jadi.
No comments:
Post a Comment