TIADA angin tiada ribut, tiba-tiba seorang penerbit dan pengarah
terkenal melahirkan rasa tidak puas hati terhadap dua aktor popular
iaitu Remy Ishak dan Fahrin Ahmad. Gosip yang tersebar di ruangan salah
sebuah akhbar mingguan itu melaporkan seorang penerbit dan pengarah
(yang tidak disertakan nama), mendakwa dua pelakon itu bersikap terlalu
hipokrit sehingga dia hilang minat untuk menawarkan sebarang watak dalam
drama atau filem kepada kedua-dua pelakon tersebut.
Malah, penerbit dan pengarah itu juga dikatakan sudah jelak dengan sikap kepura-puraan Remy dan Fahrin.
Kosmo! mendapatkan Remy dan Fahrin untuk menjawab isu terbabit,
tetapi malangnya mereka sendiri tidak mengenali penerbit atau pengarah
mana yang dimaksudkan penulis ruangan tersebut.
Baik Remy mahupun Fahrin, mereka berdua mahu penulis ruangan gosip
tersebut mendedahkan identiti penerbit dan pengarah yang dimaksudkan
atau individu tersebut sendiri tampil bagi menyelesaikan isu yang
dibangkitkan.
Kosmo!: Boleh Remy komen sikit mengenai penerbit dan pengarah terkenal yang mendakwa anda bersikap terlalu hipokrit?
REMY: Setakat ini saya tidak ada masalah langsung dengan mana-mana
penerbit atau pengarah drama mahupun filem. Bila gosip tersebut keluar,
saya sendiri tidak tahu penerbit dan pengarah mana yang dimaksudkan
penulis itu.
Bagaimana perkara ini boleh timbul jika anda sendiri tidak tahu kenyataan dibuat dari mulut penerbit atau pengarah mana?
Memang sesuatu yang pelik bagi saya bila dituduh sedemikian rupa.
Saya tidak pernah menjalinkan hubungan rapat dengan mana-mana pengarah
yang juga merupakan seorang penerbit. Jika ada pun, saya cuma baik
dengan beberapa pengarah sahaja. Jadi, saya tidak tahu bagaimana isu
bersikap hipokrit boleh timbul. Saya juga berharap sangat untuk
mengetahui identiti pengarah dan penerbit yang dimaksudkan supaya kami
boleh menyelesaikan masalah ini dengan cara profesional.
Pernahkah anda bergaduh dengan mana-mana pengarah dan penerbit setakat ini?
Saya tidak ada perbalahan dengan mana-mana penerbit atau pengarah.
Saya pelik kenapa penerbit dan pengarah tersebut boleh cakap saya
hipokrit, sedangkan saya bekerja bersungguh-sungguh untuk industri seni.
Tanyalah kepada mana-mana pengarah yang pernah bekerjasama dengan saya,
macam mana kerja saya. Saya sangat pelik kenapa kenyataan yang
mengatakan saya hipokrit boleh timbul.
Apakah anda rasa imej anda tercalar dengan isu ini?
Saya rasa orang lain tidak boleh tengok saya bahagia. Tidak boleh
tengok saya senang. Ada sahaja nak jatuhkan saya. Saya ada keluarga, ada
peminat dan ada produk-produk yang bakal keluar. Jadi, saya tidak mahu
isu ini menjejaskan segala-galanya.
KOMEN FAHRIN
DALAM pada itu, Kosmo! juga mendapatkan maklum balas daripada Fahrin berhubung isu tersebut.
Apakah komen Fahrin berhubung dakwaan penerbit dan pengarah terbabit terhadap diri anda?
Pengarah yang juga merangkap penerbit, tidak ramai di Malaysia.
Sepanjang penglibatan saya dalam dunia seni, saya tidak pernah ada
masalah atau bermuka-muka dengan mana-mana penerbit atau pengarah. Saya
baik dengan semua orang.
Bila wujud isu seperti ini apakah tindakan anda?
Bila wujud perkara macam ini, saya tidak melenting dan bersangka
baik dengan kenyataan dia. Cuma, saya berharap kalau betul ada pengarah
dan penerbit yang membuat kenyataan demikian, saya ingin tahu
identitinya supaya masalah ini boleh diselesaikan dengan cara yang baik.
Adakah anda bersikap hipokrit seperti yang didakwanya?
Perkataan hipokrit itu, saya tidak tahu ia merujuk kepada apa. Ia
sangat subjektif. Saya tidak akan melayan provokasi macam ini. Dunia
ini kecil, kita boleh buat macam-macam andaian. Saya juga mahu mohon
maaf jika saya secara tak sengaja ada menyinggung perasaan mana-mana
penerbit atau pengarah sepanjang bekerjasama dengan mereka. Kosmo
No comments:
Post a Comment