LEMBU yang bernama Yvonne makan makanan dalam bekas yang
mengandungi lukisan bendera Portugas di pusat penjagaan haiwan Gut
Aiderbichl dekat Deggendorf, selatan Jerman pada Jumaat lalu.
BERLIN - Bolehkah seekor lembu menggantikan tempat sotong kurita,
Paul sebagai haiwan terbaharu yang memiliki kebolehan menilik nasib
pasukan bola sepak Jerman?
Peminat bola sepak Jerman gembira selepas lembu betina tersebut,
Yvonne tersasar dalam ramalannya bahawa Jerman akan tewas kepada
Portugal pada perlawanan Kejohanan Bola Sepak Eropah (Euro) 2012 di
bandar Lviv, Ukraine, Sabtu lepas.
Yvonne popular di Jerman selepas haiwan tersebut melarikan diri dari
sebuah ladang ternakan sebelum disembelih pada tahun lalu dan
berkeliaran di negeri Bavaria tanpa dapat dikesan oleh pemiliknya,
pemburu dan aktivis haiwan selama tiga bulan.
Haiwan itu membuat ramalan di pusat penjagaan haiwan Gut Aiderbichl dekat Deggendorf, selatan Jerman pada Jumaat lalu.
Paul dapat meramalkan dengan tepat semua keputusan perlawanan pasukan
Jerman sepanjang Piala Dunia 2010 termasuk kekalahan negara itu kepada
Sepanyol di separuh akhir dengan memilih makanan daripada dua bekas di
dalam akuarium.
Satu bekas tersebut mempunyai bendera Jerman manakala bendera pasukan lawan terdapat pada bekas yang lain.
Stesen radio Jerman, Bayern 3 melaporkan lembu tersebut ditawarkan makanan daripada dua bekas yang mengandungi makanan.
Haiwan tersebut kemudian memilih makanan daripada bekas yang mengandungi lukisan bendera Portugal.
Pemilihan itu menyebabkan ia meramalkan kemenangan Portugal.
Namun, Jerman menang 1-0 dalam perlawanan tersebut.
Sejak kematian Paul ketika berusia sekitar tiga tahun pada 2010,
peminat bola sepak Jerman masih mencari haiwan baharu yang mampu membuat
ramalan dengan tepat bagi menggantikan sotong tersebut. - Reuters
No comments:
Post a Comment