Jom Buat Duit

Sunday 10 June 2012

Kaca mata kritik Bront, Nadiya

SEPERTI mengheret emosi Pinto dan Lara, dua tubuh yang mengusung nama Bront Palarae dan Nadiya Nisaa itu punya keserasian yang cukup kuat. Masuk sahaja ke sudut untuk dirakamkan foto, masing-masing menerbitkan karakter tanpa perlu dibentuk-bentuk.
Bukan atas faktor anugerah Pelakon Lelaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia semata-mata, tetapi kerja lakon Bront dan Nadiya sebenarnya lebih mahal berbanding trofi yang pernah mereka julang. Dilihat daripada pencapaian karier, mereka kalah dari segi kuantiti namun sentiasa dipuji kerana kualiti.

Bront dan Nadiya muncul sebagai pasangan dalam karya terbaharu Osman Ali berjudul Jiwa Taiko yang kini rancak berlegar di pawagam. Bertemakan aksi dramatik, filem Jiwa Taiko bagaimanapun berdepan kritik panas seawal menemui audiens pertama.
Sudah lumrah agaknya, jika sesuatu yang dinanti-nantikan itu menimbulkan banyak keraguan, pasti banyak perkara yang mahu dibahaskan. Jiwa Taiko awalnya dibikin dengan judul Bara Jiwa, namun atas desakan komersial serta retorik menarik perhatian khalayak ia ditukar menjadi Jiwa Taiko. Lebih catchy, kata si pengarah Ombak Rindu itu.

Isunya mungkin klise bagi sesetengah pihak tetapi keberanian pengarah dan pelakon-pelakon utamanya, naskhah Jiwa Taiko kali ini ibarat papan sasaran yang sedia ditembak. Kekaburan hala tuju, pergaulan bebas serta babak seks yang diberi gambaran berahi dalam filem edaran MIG itu mengundang kritik.

Bercakap tentang kritikan filem secara khusus, impak dan penerimaan mangsa kritikan itu sendiri, Bront dan Nadiya menjadi individu yang realis. Tidak melatah jauh sekali bersikap baran, mereka faham apa itu realisme dan kenal jenis-jenis pengkritik yang sedang didepani.
"Kritikan itu bagus. Itu tandanya khalayak masih mahu tahu dan mahu merujuk kepada tempat yang selayaknya. Bila sesebuah karya itu mengundang persoalan, maksudnya pengkritik ada pemikiran yang mahu ditulis.

"Apa jua sudut pandangan pengkritik, ia bertujuan memberi informasi dan setiap individu punya persepsi berbeza," lontar Bront dalam reaksi seorang yang idealis, seperti selalu.
Semua filem tempatan kini semakin hebat dikritik masyarakat di sebalik kepesatan media sosial terutama blog dan portal hiburan. Ruang kritik kini terbuka sama ada untuk pengkritik bertauliah, separa mahupun tidak bertauliah langsung. Itu jelas dan semacam budaya dalam dunia kini. Seolah-olah semua mahu terlibat secara langsung dengan naskhah yang ditadahkan kepada khalayak.
"Sama ada kritikan yang dilemparkan terhadap karya seni itu bersifat ilmiah atau tidak, perkara itu luar kawalan karyawan seperti kami. Bukan hanya filem, muzik juga berdepan kritikan. Sama ada kritikan itu sah atau tidak, ia tetap ada alasan yang boleh diterima pakai," akui Bront yang mengambil tahu setiap kritikan yang diterima tetapi tidak menganggap hal itu sebagai serangan peribadi.

Ibu terkejut
"Kritikan itu sendiri atau sebuah reviu adalah sebahagian daripada seni. Ia menjurus kepada kerja seni. Untuk para pengkritik, ia juga mempamerkan ke arah mana mereka melihat, perspektif dan sudut mereka mengkritik. Ini tentunya menunjukkan minda si pengkritik," ulas Bront melihat topik kritik secara besar.

Secara dalamannya, Bront sendiri agak janggal ketika melakonkan babak panas bersama Nadia Nissa sejak di lokasi lagi. Atas alasan itulah, dia melihat isu seks yang diperkatakan ramai sebagai isu yang berasas.

"Kalau ibu bapa saya sendiri melihat adegan asmara itu pun, pasti mereka akan terkejut. Moden macam-mana sekalipun, kita tidak boleh menidakkan perkara itu," luah Bront penuh diplomatik.
Tambahnya: "Secara peribadi saya boleh terima jika dikritik kerana isu panas dalam filem itu, mungkin sebab sudah membesar dalam industri. Jadi artis, jiwa kena besar, jadi tak rugged jika sikit-sikit nak melatah kalau dikritik. Kenapa kita boleh senyum bila dipuji, bila tidak dipuji pula kenapa nak marah, itu sangat tidak rugged."
"Terasa atau tidak, itu aspek lain. Ya, pernah terasa tetapi menerima (kritikan)," luah Bront.
Kali pertama mencuri hati khalayak filem sebagai Manis menerusi Cun!, gelombang keempat Nadiyatul Nisaa' Kamaruddin melambung agresif apabila kembali ke layar perak sebagai Lara.
Ditangan aktres itu, rapuhnya jiwa Lara menjadi punca konflik sehingga hampir meruntuhkan persahabatan bahkan menjalinkan semula sebuah keakraban. Sepintas lalu, Lara ialah heroin Jiwa Taiko, bukannya Trisha yang diangkat menjadi subjek kerana kecantikan Diana Danielle.

"Saya kena kerja kuat untuk memenuhi impian pengarah. Saya kena banyak menonton filem-filem luar kerana impian saya juga besar. Saya seringkali rasa kecil jika memikirkan soal pakej. Jadi saya kena ambil inisiatif, mujur saya banyak bekerja dengan nama-nama besar dan berpengalaman," getus aktres yang dikenali sebagai Nadia Nisaa merendah diri.

Sama seperti Bront, Remy Ishak serta Diana Danielle yang terkena tempias panas Jiwa Taiko, Nadiya sebenarnya sedang belajar menelan sensasi.
Jatuh maruah
"Ini pengalaman pertama saya dipersoalkan tentang keberanian dalam lakonan, sedangkan semasa melakonkan watak Manis, saya tidak dituduh menjatuhkan maruah orang kurang upaya," kata Nadia sambil mengakui jiwa keras dan berfikiran terbuka.
"Saya jenis yang degil dan ikut haluan sendiri. Saya cuma harap penonton faham bahawa lakonan tetap lakonan. Saya juga sedar, pengkritik tidak mengkritik membuta tuli dan saya boleh faham pemikiran penulis," ujarnya sedikit lelah berdepan soalan panas sejak malam pertama filem keduanya itu dipertontonkan kepada media.

Tidak menjurus kepada filem yang sedang berpanggung, dua pemain watak itu melihat filem sebagai medium seni yang membuka segala pintu kritikan. Tidak hanya pembikin, artis itu sendiri kena terbuka kepada kritikan walau sedalam mana sekalipun.
"Sebagai kami yang harus terbuka dengan kritikan, pengkritik juga sebenarnya membuka intelektual, pemikiran serta pandangan mereka untuk dinilai pihak lain. Pengkritik juga harus terbuka untuk dikritik khalayak.

"Secara umumnya, filem adalah sebuah medium seni yang mempunyai visual, audio dan imej. Sangat berlainan dengan lukisan. Jadi kritikan atau komentar lebih besar diberikan kepada sebuah filem," komen Nadiya tentang topik kritikan filem secara umum.
"Saya melihat filem Bunohan sebagai kemuncak kepada dunia kritikan filem di Malaysia. Filem itu memecahkan pengkritik kepada dua kelompok dan masing-masing bergaduh pendapat mengenai Bunohan," Bront memberi contoh senario kritikan filem tempatan yang menarik untuk dihipotesis.
"Saya suka membaca sesuatu yang boleh memberikan semangat. Itu sahaja yang saya harapkan kerana pelakon atau pengkarya selalunya sudah memberikan sehabis baik," ujarnya yang menonton filem Radit dan Jani serta The Runaways sebagai rujukan untuk watak Lara. Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters