Jom Buat Duit

Tuesday, 12 June 2012

Caroline perlu kerja kuat

MENAMPILKAN persembahan yang begitu konsisten pada setiap minggu, tuah ternyata menyebelahi Puteri Caroline Mohd. Kamel atau Caroline, 20, apabila membawa pulang wang tunai RM100,000 setelah kejayaan muncul sebagai pemenang program realiti Mentor 6.

Pada persembahan terakhir yang berlangsung di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor kelmarin menyaksikan protege kelahiran Tanah Merah, Kelantan itu berhasil menyaingi Zatul dan Anas dalam satu pertandingan yang agak sengit.

Biarpun terpaksa membuat persembahan dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan, ternyata ia bukan penghalang buat anak didik Ella itu untuk tampil dengan persembahan yang bertenaga dan memukau.

Ketika ditemui selepas tamat konsert, Caroline meluahkan rasa gembiranya apabila menjadi pilihan juri dan peminat untuk muncul sebagai pemenang, biarpun terpaksa bersaing hebat dengan dua protege lain.

"Sudah tentu saya tidak sangka apabila diumumkan sebagai juara selepas markah keseluruhan dipaparkan. Saya sangat bersyukur kerana segala usaha yang dilakukan selama ini akhirnya berhasil.
"Kemenangan yang diperoleh ini juga saya tujukan kepada mentor saya iaitu Ella yang telah membimbing saya sehingga ke peringkat ini. Segala tunjuk ajar dan pengalaman yang dicurahkan memang banyak membantu saya untuk berada di tahap ini," ujarnya penuh semangat.

Menurut Caroline, perjalanannya untuk bersaing di pentas akhir ternyata bukan mudah memandangkan kesihatan yang terganggu apabila mengalami batuk yang agak teruk sebaik sahaja berakhir saingan separuh akhir kedua pada minggu lalu.

Ujarnya, dalam tempoh seminggu yang ada untuk membuat segala persiapan bagi konsert terakhir menyebabkan dia kurang tidur dan melakukan banyak latihan memandangkan perlu menyanyi sebanyak tiga buah lagu.

"Walaupun terpaksa membuat persembahan dalam keadaan yang kurang sihat, tetapi keyakinan yang diberikan oleh mentor menyebabkan saya terus bersemangat untuk menampilkan persembahan yang terbaik," ujarnya yang menganggap Ella juga adalah sebagai idolanya selama ini.
CAROLINE membawa pulang RM100, 000 sebagai juara Mentor 6 dan Ella selaku mentor turut menerima habuan serupa.
 
Sementara itu, Ella yang berada di samping protegenya sewaktu sesi sidang akhbar mengakui dia sebenarnya sudah reda jika Caroline tidak menang pada malam tersebut, memandangkan anak didiknya itu mendapat markah terendah daripada juri awam.
Biarpun juri awam sekadar memberikan 15 markah kepada Caroline berbanding Anas (16 markah) dan Zatul (17 markah), penyanyi tersebut memberitahu, dia tetap berpuas hati kerana Caroline telah melakukan yang terbaik.

"Sudah tentu saya bersyukur dan gembira kerana mendapat seorang protege yang bagus dan saya melihat dia memiliki bakat tersendiri dan mampu pergi lebih jauh dalam bidang nyanyian.
"Sepanjang bekerjasama, saya berpuas hati dan menganggap Caroline merupakan seorang anak didik yang bijak dan dapat menangkap dengan cepat setiap perkara yang diajar," ujarnya memuji anak didiknya itu.

Walaupun saingan Mentor 6 kini sudah berakhir, Ella memberitahu, dia akan terus bersama dan membimbing anak didiknya itu yang mahu mengejar cita-cita sebagai seorang penyanyi.
Ujarnya, selepas ini banyak lagi kelas nyanyian yang akan dihadiri oleh Caroline dan dia akan cuba mendapatkan guru yang terbaik buat anak didiknya itu bagi membentuk lagi karakter Caroline untuk menjadi penyanyi yang hebat pada masa akan datang.

"Sebenarnya Caroline seorang yang sangat berdisiplin dan berbakat besar serta mampu menyanyikan apa sahaja genre muzik seperti rock, R&B dan jazz. Saya yakin dia mampu menjadi seorang penyanyi yang memiliki identiti tersendiri," ujar Ella yang menafikan Caroline terlalu terikut-ikut dengan cara nyanyiannya.

Berbeza dengan saingan mingguan dan peringkat separuh akhir, konsert Mentor 6 menyaksikan ketiga-tiga peserta perlu mempersembahkan tiga buah lagu, termasuk sebuah lagu baru yang dicipta pertandingan tersebut.

Membuka pentas saingan pada malam tersebut ialah Anas Ridzuan yang menyampaikan lagu berjudul Cinta Muka Buku nyanyian asal Najwa Latif. Kemudian Zatul pula
Tampil dengan persembahan bertenaga menerusi lagu Pawana dan Pelesit Kota (Search) serta Caroline dengan lagu My Love (Justin Timberlake) dan I Don't Wanna Miss A Thing (Aerosmith).
DARI kiri: Fauziah Ahmad Daud, Zatul, Anas, Faizal Tahir, Ella dan Caroline.
 
Pada persembahan kedua Anas yang bergandingan dengan Hazama mempersembahkan lagu Selamat Malam (Faizal Tahir), Zatul pula berduet dengan Ziana Zain menerusi lagu Nakal (Gigi) dan Sedang Ingin Bercinta (Dewa), manakala Caroline dan Azlan pula menyanyikan lagu berjudul Kau Kekasihku (Siti Nurhaliza).

Untuk lagu baharu pula Anas mendendangkan lagu berjudul Hanya Dirimu hasil ciptaan Omar K, Audi Mok dan Faizal Tahir, manakala Zatul memilih lagu hasil nukilan Manusia Putih berjudul Tinggalkan Yang Lalu dan Caroline menyanyikan lagu berjudul Harus Cintaku ciptaan Ajai.
Sebaik persaingan berakhir, Caroline telah diumumkan sebagai pemenang apabila mendapat markah keseluruhan 71 peratus. Zatul yang muncul naib juara dan membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 memperoleh 60 peratus dan Anas yang mendapat markah 50 peratus sekadar memenangi hadiah wang tunai RM10,000.

Puas hati
Meskipun sekadar muncul naib juara Mentor 6, Zatul atau nama sebenarnya Noor Nazatul Farahin, 23, tetap gembira dan tidak menyangka apabila mampu memberi saingan kepada peserta lain.
Mengenai persembahannya pada malam final, peserta dari Bedong, Kedah itu berpuas hati kerana dapat membuat persembahan yang baik tanpa mengalami sebarang tekanan.
"Kak Ogy ada berpesan kepada saya bahawa untuk menjadi penyanyi yang bagus kita bukan sekadar menyanyi sahaja, tetapi apa yang paling penting perlu ada penghayatan terhadap setiap lagu yang disampaikan.

"Walaupun tidak berjaya menjadi juara, saya tetap berpuas hati dengan persembahan pada malam ini. Lagipun saya masih baru dan belum pernah ada pengalaman menyanyi, maka saya berharap menerusi Mentor 6 akan menjadi batu loncatan untuk saya menjadi seorang penyanyi," ujarnya.
Bagi Ogy pula, biarpun sebelum ini ada pihak yang pernah mempertikaikan kredibilitinya sebagai mentor untuk rancangan tersebut, kini dia telah membuktikan mampu membentuk Zatul sehingga bergelar naib juara.

"Sebelum ini saya sudah pun berpesan kepada Zatul yang saya akan terus membantunya kalau dia memang berhasrat untuk menjadi penyanyi. Apa yang pasti saya tidak akan mengabaikannya dan mungkin saya akan menghantar dia ke kelas nyanyian untuk memantapkan lagi teknik vokalnya," ujar Ogy.
Kecewa
SERASI. Caroline berpadu vokal dengan Alan dari Azlan & The Typewriter.
 
Ketika Mentor 6 memulakan persaingan dulu, protege kepada Faizal Tahir iaitu Anas Ridzuan dijangka antara salah seorang peserta yang dilihat mampu muncul sebagai pemenang.
Namun begitu, sewaktu di pentas final ternyata persembahan Anas dilihat kurang menyerlah berbanding Zatul dan Caroline, meskipun mendapat markah yang agak baik daripada juri awam.
"Sejujurnya saya memang berasa agak kecewa dengan persembahan saya malam ini. Dalam keadaan kesihatan yang kurang memuaskan, sudah tentu agak sukar untuk saya menampilkan persembahan yang baik.

"Lagipun cuma seminggu tempoh yang diberikan kepada semua peserta untuk membuat persiapan dan itu yang membuatkan saya sedikit tertekan. Walaupun kurang sihat, tetapi persembahan terpaksa diteruskan," luahnya.

Sementara itu, Faizal Tahir selaku mentor yang bertanggungjawab mendidik Anas menyatakan faktor masa merupakan salah satu sebab dia tidak mampu memberi tumpuan untuk melatih Anas memandangkan dia sendiri memiliki jadual kerjaya yang padat.
Kosmo

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters