GDANSK, Poland - Jurulatih Republik Ireland, Giovanni Trapattoni
mengakui bahawa pasukan itu melakukan terlalu banyak kesilapan mudah
pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012.
Situasi itu menjadi punca yang menyebabkan dibelasah 0-4 oleh juara
bertahan, Sepanyol di Stadium PGE Arena awal pagi semalam, sekali gus
menjadi pasukan pertama yang terpaksa meninggalkan bumi Poland.
Kekalahan itu hadir beberapa hari selepas Ireland tewas 1-3 kepada Croatia pada aksi sulung Kumpulan C.
"Saya tidak nampak tekanan seperti ini semasa sesi latihan tetapi ini
adalah simptom yang sangat jelas apabila kamu menghadapi sesuatu
kejohanan dengan perasaan tertekan atau bimbang.
"Situasi itu menyebabkan kamu melakukan kesilapan.
"Ia berlaku ketika menentang Croatia dan berlaku sekali lagi petang
ini (awal pagi semalam). Saya akan bertanya kepada para pemain bagaimana
situasi ini boleh berlaku," kata Trapattoni.
Trapattoni berkata, sukar untuk menjelaskan situasi mengenai benteng
pertahanan Ireland yang dianggap sangat mantap pada kempen kelayakan
tetapi menjadi rapuh di Poland.
Ireland hanya memboloskan tiga gol daripada 14 perlawanan pada
pusingan kelayakan dan tetapi kini, mereka sudah bolos tujuh gol
meskipun baharu bermain dua kali pada Euro 2012.
"Sesuatu telah berubah. Corak permainan kami sangat berbeza ketika bermain pada sesi kelayakan dan kejohanan sebenar.
"Ketakutan dan tekanan telah menyebabkan kami melakukan kesilapan
yang tidak pernah kami lakukan pada sesi kelayakan. Kamu boleh lihat
tekanan dan bebanan yang perlu digalas para pemain," kata pengendali
kelahiran Itali itu.
Trapattoni, 73, yang mempunyai kontrak bersama pasukan itu sehingga
Piala Dunia 2014 berkata, beliau akan menggunakan perlawanan terakhir
Kumpulan C menentang Itali untuk menguji barisan pemain muda seperti
pemain sayap, James McClean yang membuat penampilan pertama ketika tewas
kepada Sepanyol.
"Ia adalah masa yang paling sesuai untuk memberi pendedahan. Apabila
seseorang pemain beraksi dalam perlawanan seperti ini, dia akan memahami
situasi sebenar permainan bola sepak di pentas antarabangsa," katanya. -
AFP
No comments:
Post a Comment