Jom Buat Duit

Thursday 7 June 2012

Versus milik Hujan


MENJADI juara sulung Versus, Hujan membawa pulang RM200,000 dan mereka mahu menggunakan duit tersebut untuk melebarkan bisnes Hujan.


HUJAN menjadi juara sulung program realiti Versus. Ia bukan satu kejutan, malah satu keputusan yang tepat telah dibuat oleh para pengundi untuk menobatkan band tersebut sebagai juara.
Program tersebut sekali gus menjadi kayu ukur buat populariti Hujan yang pernah dibenci oleh segelintir peminat pada awal kemunculan mereka, dan kredibiliti sebuah band tempatan yang bukan picisan.
Seperti mana yang diberitahu oleh mereka saban minggu bahawa Hujan mahu khalayak melihat sisi lain dan keupayaan mereka bermain dengan kreativiti, disiplin dan memahami dengan baik konsep pertempuran Versus.

Bukan ingin menafikan kredibiliti empat band lain. Siapa yang boleh menyangkal tentang betapa maju dan kreatif karya hasil band Go Gerila! atau Black & Parallax yang memang memberi persembahan luar biasa setiap minggu.
Begitu juga 6itxh Sense dan Sofazr yang tidak gentar bersaing menghasilkan karya terbaik pada setiap minggu.
BLACK & PARALLAX disarankan agar membentuk terus band tersebut kerana mereka mempunyai kualiti yang baik untuk dihidangkan kepada peminat muzik tempatan.
 
Namun untuk Hujan, sejak minggu pertama pertempuran, mereka telah melanggar semua kubu pertahanan empat band lain dengan rakus.
Setiap minggu, karya yang dihasilkan tidak pernah sama, namun jauh sekali meninggalkan identiti Hujan sendiri. Mereka terbang bebas dengan kreativiti yang tidak bersempadan.
Malah pada malam final, menerusi sedutan temu bual yang dipaparkan, Noh dan teman band lain tidak berhenti menyeru peminat mereka yang digelar sebagai Raingers agak tidak lalai dan terus mengundi mereka untuk muncul juara.

Di atas pentas setiap kali selepas membuat persembahan juga, Noh tidak segan silu menyuruh Raingers mengundi mereka. Mereka tampak benar-benar ingin menang.
"Kami memang ingin menang dan tak sangka kami betul-betul menang," ujar Noh dalam sidang akhbar yang diadakan sejurus tamat final Versus yang berlangsung di U8, Shah Alam, Selangor.
Hujan membawa pulang RM200,000 hasil persembahan mantap serta kreatif mereka untuk lagu Dan Bila Esok dan Lamunan Terhenti (pusingan medley mash-up), sebuah lagu baharu Ke Arah Selatan dan lagu battle, Pawana.
6IXTH SENSE turut memberi saingan dengan membuat persembahan terbaik mereka.
 
Dengan duit kemenangan tersebut, mereka mahu gunakan ia untuk melebarkan bisnes, memperkemas studio rakaman dan memberi sama rata kepada setiap ahli yang telah bertungkus-lumus memerah otak untuk menjadikan impian mereka muncul juara terlaksana.
Sementara itu, pada malam final tersebut, Black & Parallax membawa lagu Merisik Khabar dan Sekadar Di Pinggiran, serta sebuah lagu baharu berjudul Aku Versus Kamu, Go Gerila! dengan lagu Biso Bonar dan Curiga serta lagu baharu yang diberi judul Hadiah, Sofazr mempertaruhkan Basikal dan Inilah Nasibku bersama lagu baharu mereka, Berakhir dan 6ixth Sense dengan lagu Warisan dan Fiona serta lagu baharu berjudul Hossi.

Lima buah band yang bertanding telah menunjukkan keupayaan mereka, malah dalam masa sama, sewaktu bertempur, semua 'senjata' telah dikeluarkan demi membuktikan kredibiliti. Biar tewas, namun secara tidak langsung, setiap band telah berjaya mengutip banyak pelajaran untuk memantapkan kualiti mereka sebagai sebuah band yang padu. - MALIAH SURIP

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters