Jom Buat Duit

Tuesday 5 June 2012

Konsert akhir Datuk DJ Dave


DJ DAVE muncul dengan pelbagai kostum menarik sepanjang konsert berlangsung.

PERSEMBAHAN Datuk DJ Dave di Istana Budaya Kuala Lumpur sempena Konsert Journey Through Song Ingin Bersua DJ Dave yang dipentaskan selama tiga hari bermula Khamis lalu memberi perspektif berbeza kepada audiens.

Penyanyi pop tahun 1970-an itu membawa peminatnya bersama merentasi masa sejak dia bermula sebagai penyanyi hingga dewasa ini dengan sebuah kereta antik Alfa Romeo 1973.
"Kereta itu bertuah bagi saya kerana tersimpan banyak kenangan pahit dan manis sepanjang hayat bergelar seorang penyanyi.

"Sepanjang menjelajah seluruh Malaysia, kereta itu yang banyak berjasa dan kereta itu suatu ketika dulu pernah membawa nama-nama besar seperti Allahyarham Sudirman serta Allahyarham Latiff Ibrahim ke lokasi mencari rezeki sebagai penghibur," luah DJ Dave yang ditemui selepas tamat konsertnya di Istana Budaya, malam Khamis lalu.
Tambahnya, kereta miliknya itu pernah digunakan sebagai penghias album keduanya, Berdansa Denganku.

Baju klasik
Selain kereta, konsert mega terbesar DJ Dave atau nama sebenarnya Irwan Shah Abdullah, 64, turut menampilkan pelbagai persalinan kostum yang pernah dipakainya untuk membuat persembahan ketika zaman kemuncaknya.

DATUK DJ DAVE bersama pemain gitar terkenal, Man Kidal pada malam konsert Konsert Journey Through Song Ingin Bersua DJ Dave. Konsert selama tiga malam itu berlangsung dengan sukses.

"Saya mengambil masa tiga bulan untuk menurunkan berat badan demi dapat memakai semula pakaian-pakaian lama saya untuk konsert tiga hari ini.
"Untuk konsert kali ini, saya tidak menjahit semula semua baju dan kostum yang saya pakai sebaliknya mengekalkan keaslian pakaian itu sepertimana zaman populariti saya dulu," ujarnya.
Konsert DJ Dave yang diiringi pemuzik di bawah konduktor Eddie Marzuki dan penari latar Sayang Dancers itu dibuka dengan lagu I've Been So Many Places, Different Kind Of Lady dan Untuk Peminatku.

Selain itu, segmen-segmen lain menampilkan lagu-lagu popularnya seperti Maafkanlah, Masa Yang Lepas Takkan Kembali, Menjelang Hari Raya, Gitar Berbunyi, Jelingan Manja, Nora, Joget Orang Berbudi, Kawan Setia, Titisan Embun Pagi, Laguku Untukmu, Di Desa Kasihku Tertumpah, Mc Arthurs Park, Ingin Bersua dan single terbaharunya ciptaan M.Nasir berjudul Nyawaku.
Bagi menonjolkan setiap segmen peredaran masa kariernya, DJ Dave turut mengundang beberapa penyanyi dan pemuzik handalan antaranya Uji Rashid, S. Atan, Man Kidal, Dayang Nurfaizah dan Marsha Milan Londoh untuk berduet bersamanya dan menyanyikan lagu popular masing-masing.

TIDAK akan membuat konsert berskala besar lagi, DJ Dave bagaimanapun tetap akan memenuhi undangan nyanyian seperti biasa.

Bagaimanapun, konsert berdurasi dua jam pada kali ini merupakan pengubat kerinduan terakhir peminatnya memandangkan tiada lagi konsert berskala besar seperti ini pada masa akan datang.
"Ini konsert mega terakhir saya, tidak akan ada lagi selepas ini. Tapi saya akan tetap memenuhi undangan nyanyian untuk makan malam, acara amal dan pastikan tidak akan bersara sebagai penyanyi," tegasnya.
Selepas tamat konsert mega anjuran syarikatnya, Shah Dave Entertainment itu, DJ Dave dijadualkan terbang ke Tanah Suci Mekah untuk menunaikan umrah tanda kesyukuran.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters