Jom Buat Duit

Wednesday, 11 January 2012

Aaron Aziz cedera

AARON...bengkak kaki.
AARON...bengkak kaki.

KUALA LUMPUR: Hero filem Ombak Rindu, Aaron Aziz, 36, melalui detik mencemaskan apabila terjatuh dari bumbung kereta ketika melakonkan adegan lagak ngeri ketika penggambaran filem KL Gangster 2, di Wangsa Maju, di sini.
Aaron berkata, kejadian jam 3 petang, Sabtu lalu itu berlaku ketika dia melakonkan adegan bertumbuk dengan pelakon Rosyam Nor.

“Ketika terjatuh dari atas kereta, keadaan saya masih terkawal dan tidak berasa kesakitan, tetapi sejak Ahad lalu kaki saya mula berdenyut-denyut dan semakin sakit malam Isnin,” katanya ketika dihubungi semalam.
Berikutan itu, pada malam sama Aaron mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Tropicana, Damansara, dekat sini, dan diberikan tiga suntikan di tangan, badan dan punggung.

“Doktor memaklumkan kaki saya tidak mengalami keretakan hanya bengkak biasa. Berikutan itu saya diberikan cuti beberapa hari untuk berehat,” katanya.

Menurut Aaron, dia akan menyambung penggambaran seterusnya selepas keadaannya pulih dan insiden itu akan membuatkannya lebih berhati-hati
Sementara itu, pengarah filem KL Gangster 2, Syamsul Yusof ketika dihubungi semalam berkata, kecederaan Aaron tidak serius seperti digembar-gempurkan pihak tertentu, sehingga ada yang meletak kesalahan ke atasnya dengan dakwaan dia mengabaikan keselamatan pelakon.

“Tidak timbul soal abaikan keselamatan kerana ketika penggambaran dijalankan kami memang mengambil berat soal keselamatan,” katanya.
Menurut Syamsul, dia sudah berjumpa Aaron petang semalam untuk mengetahui keadaannya dan lega kerana kecederaan pelakon itu tidak serius.

Katanya, ketika kejadian itu berlaku, Aaron memegang watak sebagai Malik dan bergaduh dengan Tailong (Rosyam) ketika aksi pergaduhan berlaku di atas bumbung kereta.

“Dalam adegan pergaduhan itu, cermin kereta pecah dan Aaron jatuh daripada kereta, ketika itulah dia cedera. Kejadian sebegitu memang tidak diduga dan selepas berjumpa Aaron, dia sendiri memberitahu saya keadaannya tidak serius.

“Buat masa ini, saya akan melihat kepada kemampuannya untuk meneruskan lakonan. Sekiranya kesihatannya tidak mengizinkan, saya akan membenarkan dia berehat seketika,” katanya.

Menurutnya, penggambaran KL Gangster 2 kini sudah 80 peratus siap dan baki 20 peratus lagi membabitkan babak berat yang dilakonkan Aaron. Syamsul berkata, filem itu memerlukan Aaron melalui 50 hari penggambaran termasuk 15 hari melakonkan aksi lasak.

“Saya menafikan tuduhan pihak tertentu yang menuduh keghairahan saya menyiapkan filem antara sebab Aaron tercedera. Tuduhan itu sangat melulu dan bertujuan menjatuhkan saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters