WASHINGTON: Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Leon Panetta
percaya Israel akan melancarkan serangan terhadap Iran seawal April
depan bagi menyekat Republik Islam itu daripada menghasilkan senjata
nuklear.
Akhbar Washington Post semalam melaporkan, Panetta bimbang mengenai
kemungkinan Israel melancarkan serangan itu dalam masa beberapa bulan
lagi.
CNN kemudian mengesahkan laporan itu dengan memetik kenyataan seorang pegawai kanan pentadbiran Obama yang enggan dikenali.
“Panetta percaya ada kemungkinan besar Israel akan serang Iran pada
April, Mei atau Jun - sebelum Iran memasuki apa yang disifatkan oleh
Israel sebagai ‘zon kekebalan’ bagi memulakan kerja menghasilkan bom
nuklear. “Tidak lama lagi, Israel bimbang Iran akan mempunyai
secukupnya uranium yang sudah diperkayakan di kemudahan bawah tanah
untuk menghasilkan senjata nuklear dan ketika itu hanya Amerika Syarikat
saja yang boleh menyekatnya dari segi ketenteraan,” kata penulis pojok
Washington Post, David Ignatius dalam laporannya. Beliau yang menulis
laporan itu dari Brussels, tempat Panetta menghadiri mesyuarat Menteri
Pertahanan Nato, tidak menyatakan sumbernya.
Artikel yang
disiarkan Washington Post itu berkata, penangguhan latihan bersama
tentera Amerika Syarikat-Israel yang dijadualkan pada musim bunga ini
mungkin menjadi petanda Israel akan melancarkan serangan itu tidak lama
lagi.
Panetta dan Pentagon enggan mengulas laporan itu.Israel
yang dipercayai menjadi satu-satu negara di Asia Barat yang mempunyai
senjata nuklear, menganggap projek pengayaan uranium Iran sebagai
ancaman besar dan tidak menolak kemungkinan menggunakan kekuatan tentera
untuk menyekat Teheran daripada miliki senjata seumpama itu. - Reuters
No comments:
Post a Comment