Jom Buat Duit

Sunday, 5 February 2012

Lisdawati ‘queen control’?



SEPANJANG enam tahun mendirikan rumah tangga dan dikurniakan dua cahaya mata comel, Nur Aina Fazneesya dan Nur Aini Farhana, pasangan pelakon Mohd Fauzi Mohd Nawawi atau Fauzi Nawawi dan Nisdawati Nazaruddin (Lisdawati), sering berhadapan ujian.
Banyak cerita kurang enak disebarkan membabitkan pasangan suami isteri popular ini. Selain selalu dikaitkan dengan gosip curang dan menjalin hubungan dengan wanita lain, Fauzi yang kini bergelar pengarah filem, turut dikatakan sering dikongkong isteri.

Mereka yang menyebarkan dakwaan ini menjelaskan, perkara itu berlaku kerana Lisdawati tidak mahu kasih sayang suami terhadap dirinya dan anak-anak beralih arah. Selama ini Lisdawati dilihat sebagai isteri yang begitu memahami suami apabila mempertahankan Fauzi setiap kali timbul gosip mengenai kecurangannya. Lisdawati akan tampil mempertahankan suaminya dan yakin suaminya bukan seperti dikatakan orang.
Bagaimanapun, kini timbul pula cerita mengatakan pelakon yang mula mencipta nama menerusi filem KL Menjerit itu terlalu cemburu. Lisdawati dikatakan suka mengawasi suami apabila berada di lokasi dan kuat cemburu apabila melihat aksi Fauzi begitu mesra dengan pelakon wanita lain.

Keadaan ini menimbulkan masalah bukan saja antara mereka tetapi juga di kalangan penggiat filem dan drama. Malah, baru-baru ini, rumahtangga mereka dikatakan berantakan disebabkan sikap Lisdawati itu. Perkara itu bertambah ‘kencang’ diperkatakan selepas majlis pelancaran filem Pak Pong yang menggandingkan Siti Saleha dan pendatang baru, Hairul Hazreen memegang watak utama. Filem ini diarahkan Fauzi dan Lisdawati turut berlakon dalam filem itu.

Ada pihak berkata, bagaimana Fauzi mahu bekerja dan mengarah sekiranya isteri sentiasa berada di sisi.Mereka bimbang sikap Lisdawati yang terlalu cemburu akan menyebabkan tumpuan aktor itu terganggu dalam mengarahkan Pak Pong yang kini sedang giat menjalani penggambaran. Benarkah apa yang didakwa orang terhadap diri Fauzi selama ini? Dia yang ditemui dalam satu majlis, baru-baru ini, tidak menafikan ada pihak akan cuba menjadikan pembabitan mereka berdua dalam Pak Pong sebagai satu isu dan mewujudkan kontroversi dengan harapan mahu melihat rumah tangga mereka bergolak.

Katanya, dia sedar ada orang menghebahkan cerita mengatakan isterinya sering mengganggunya di lokasi hingga menimbulkan rasa kurang senang, begitupun dia tidak pernah mengambil pusing apatah lagi memberikan sebarang kenyataan mengenainya.
“Saya tidak mahu melayan fitnah yang disebarkan kerana ia tidak sihat untuk kami mahupun peminat di luar sana. Biarlah mereka hendak berkata apa pun yang penting saya dan isteri tahu apa yang kami lakukan.

“Mereka yang benar-benar pernah bekerja dengan saya mahupun Lis, pasti tahu cerita sebenar dan faham apa yang sebenarnya berlaku. Mungkin mereka tidak pernah lihat lagi ketegasan dan seriusnya saya bekerja di lokasi. Apabila mereka sudah lihat, rasanya baru mereka tidak berani untuk buat cerita sedemikian,” katanya.

Apapun, Fauzi tidak nafikan memang ada ketika, isterinya akan datang menjenguknya di lokasi. Bagaimanapun katanya, Lisdawati tidak pernah mencampuri urusan kerjanya.

“Sebagai isteri, Lis sudah cukup faham pantang larang saya sewaktu bekerja. Selalunya dia akan lihat saja dan kami akan bercakap apabila kerja saya selesai,” katanya.

Bagi Lisdawati pula, dia hanya tersenyum setiap kali mendengar cerita yang dihebohkan orang mengenai sikapnya yang dikatakan cemburu tidak kena tempat sehingga mengganggu tugas suaminya setiap kali berlakon atau mengarah.

“Orang boleh bercakap begitu kerana mereka tidak pernah lihat bagaimana tegasnya Fauzi apabila bekerja. Jangan kata saya hendak campur tangan apabila suami bekerja, buka mulut pun saya tidak berani. Silap hari bulan saya pula yang akan dihalau suami dan bukan orang produksi.

“Sebagai isteri yang sama-sama terbabit dalam dunia seni, saya cukup faham akan tugas yang harus dilaksanakan suami. Tidak perlu tengok jauh. Saya sendiri selalu meletakkan diri dalam diri suami apabila bekerja. “Kami sama-sama pelakon dan bekerja dengan pelbagai pengarah, pastinya saya sudah cukup masak dan tahu apa yang boleh saya lakukan dan tidak boleh.

“Apa hak saya untuk mengawasi suami apabila bekerja. Saya tahu Fauzi cukup profesional dan apa juga yang dilakukan hanya sekadar tuntutan tugas. Saya sendiri tentu tidak suka sekiranya suami mencampuri urusan saya sewaktu bekerja hanya kerana cemburu tidak tentu pasal. “Lagipun, selesai berlakon atau mengarah, apabila pulang, Fauzi akan memberikan tumpuannya kepada saya dan anak-anak. Perkara itu juga secara tidak langsung menghapuskan segala rasa sangsi dan cemburu di hati ” katanya.
Dalam berseloroh, Lisdawati menjelaskan pernah juga dia melihat suaminya menjayakan babak romantis sewaktu di lokasi. Kadang-kadang dia sendiri akan menggalakkan lagi suaminya memberikan aksi lebih kerana hakikatnya, apabila filem atau drama dibintangi itu ditayangkan kelak, kepuasan penonton lebih diutamakan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters