INSTITUSI kekeluargaan tidak boleh dipandang remeh kerana ia ibarat
madrasah tarbiah awal anak-anak. Kerapuhan institusi ini mendorong ke
arah kepincangan peribadi generasi muda.
Setuju atau tidak, inilah mesej terselindung yang ingin disampaikan
menerusi filem terbaru Songlap yang ditangani dua pengarah juga pasangan
suami isteri, Effendee Mazlan dan Fariza Azlina Isahak.
Berlatarkan bandar metropolitan Kuala Lumpur, Songlap menceritakan
kehidupan dua beradik iaitu Am dan Ad - anak kepada seorang pelacur -
yang menjadi tali barut dalam sindiket penjualan bayi serta perdagangan
manusia. Ia didalangi seorang wanita bergelar Mama.
Personaliti dua beradik itu amat bertentangan. Am meng�gunakan
perniagaan Mama sebagai jalan pintas mendapat�kan wang bagi minat
judinya sementara Ad pula mengimpikan kehidupan yang lebih baik untuk
menyertai pertandingan tarian.
Namun, segala yang diimpikan mereka musnah selepas kehilangan kawan
karibnya Razak yang mati akibat pengambilan dadah berlebihan.
Kebetulan, Razak ada seorang adik bernama Hawa yang mening�galkan rumah
selepas dirogol ayahnya sehingga mengandung. Hasrat untuk mencari
kehidupan yang lebih baik bagaimanapun menjerat Hawa apabila dia
terjebak pula dengan sindiket yang diusahakan Mama.
Menyedari Hawa adik kepada Razak, ia membuatkan Ad sedaya upaya mahu
menyelamatkan gadis itu, sekali gus memperjudikan nyawanya.
Bukan hanya menjadi buruan Ah Keong, orang kuat Mama, pelarian Ad
dan Hawa juga dijejaki Pak Din yang mahu Hawa kembali ke rumah menjadi
pemuas nafsunya.
Fariza atau mesra dengan �panggilan Fizi yang ditemui sesudah previu
Songlap di GSC 1 Utama, Bandar Utama, Khamis lalu, berkata, isu
perdagangan dan pembuangan bayi diambil sebagai topik semasa yang sedang
menggugat masyarakat Malaysia ketika ini.
“Isu ini sering dipaparkan menerusi akhbar dan ramai yang belum peka
sehingga membenarkan ia terus-terusan berlaku. Sebagai pengarah juga
atas dasar tanggungjawab sosial kepada masyarakat, kami menggarap
Songlap demi membuka mata rakyat Malaysia betapa seriusnya kegiatan
ini.
“Sememangnya menjadi kecenderungan saya dan suami menghasilkan filem
berdasarkan isu semasa seperti pernah ditampilkan dalam filem Kami
sebelum ini. Bagaimanapun, �Son�g�lap dari segi kupasan isunya lebih
berat.
“Dua tahun, kami mengambil masa menyiapkan skrip filem ini, malah
turut menjalankan kajian dengan menjalin kerjasama dengan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) yang berkait rapat dengan remaja wanita bermasalah
dan mereka terbabit dengan penjualan bayi.
“Menerusi info yang kami terima, perdagangan manusia adalah masalah sosial nombor dua tertinggi selepas dadah,” katanya.
Tidak dinafikan, jalan cerita bagus yang ditangani pengarah
berkaliber tidak akan berakhir sebagai sebuah filem yang hebat andai
pemain wataknya gagal menjiwai peranan mereka.
Begitulah sebaliknya, jika hanya bersandarkan nama besar serta
pengarah hebat tetapi persembahan longgar, ia akan melemahkan sesebuah
filem.
Namun, semua kebaikan itu ada dalam Songlap ditambah dengan susunan plot, pencahayaan, sinematografi serta sudut teknikal lain.
Pendek kata, Songlap edaran Grand Brilliance Sdn Bhd yang
ditayangkan mulai 15 Disember ini, sebuah karya yang boleh dibanggakan.
Pujian harus diberikan kepada teraju utamanya, Shaheizy Sam (Am) dan
Syafie Naswip (Ad) kerana berjaya memainkan watak mereka dengan
berkesan.
Sebagai pendatang baru, Sara Ali tidak pula mengecewakan dengan watak gadis malang (Hawa).
Kehadiran pelakon pembantu lain seperti Omar Abdullah selaku Pak
Din, Normah Damanhuri (Rita) dan Hasnul Rahmat (Abang Mat) turut memberi
warna yang terang kepada filem ini.
Memuji persembahan barisan pelakonnya, Fizi berkata, mereka semua berjaya menunjukkan kualiti lakonan yang menarik.
“Tidak dinafikan Sam memang popular tetapi dia datang �dengan pakej
yang baik termasuk aura dan bakat. Sam komited pada kerjayanya dan bagi
saya, dia mengagumkan termasuk juga Syafie dan Sara.
“Malah, saya beruntung kerana mempunyai pelakon pembantu hebat yang turut menggerakkan perjalanan kisah ini,” katanya.
Sam berkata, biar sudah banyak filem dibintangi, Songlap sebuah filem yang menarik dan berbeza.
“Songlap sangat berbeza dan saya sukakan topik penceritaannya iaitu mengenai isu penjualan bayi dan perdagangan manusia.
“Hal ini mencabar kewibawaan saya sebagai pelakon dan menuntut imaginasi yang tinggi bagi merealisasikan watak Am.
“Mungkin ada penonton mulai bosan dengan gaya lakonan saya selama
ini, namun percayalah Am akan memberi gambaran berbeza,” ujarnya.
Bagi pelakon berwajah comel, Sara Ali yang melakonkan watak Hawa,
peranan terbaru itu cukup menguji kewibawaannya sebagai pelakon baru.
“Watak saya tidak banyak berdialog tetapi perlu membuat banyak ekspresi pada muka dan mata. Cara begini bagi saya lebih rumit.
“Seperkara lain, saya belum berkahwin, jadi memang susah apabila saya diminta mendalami watak ibu mengandung.
“Adalah paling sukar apabila saya digandingkan bersama dua pelakon muda yang hebat seperti Sam dan Syafie,” katanya.
Syafie, bintang filem Mukhsin, sebelum ini banyak bekerja di bawah
produksi pimpinan pengarah tersohor Allahyarham Yasmin Ahmad. Dia
berkata, terdapat sedikit persamaan di antara Fizi dan Arwah Yasmin
khususnya dalam aspek bekerja.
“Saya pernah berkata kepada Kak Fizi yang dia ada sikit persamaan
seperti Yasmin terutama cara mereka bekerja. Fizi bukan jenis pengarah
yang suka menengking atau memarahi pelakonnya.
“Saya suka cara produksi Red Films Sdn Bhd berkerja. Fizi
menggunakan pendekatan yang diplomasi dalam memberi teguran dan ini
memberi semangat malah membuatkan pelakon lebih pelakon faham.
“Saya sukakan watak saya sebagai Ad. Walaupun pada awalnya dia
nampak seperti Pak Turut tetapi permainan politik Ad lebih bijak
daripada abangnya, Am. Saya suka sifat budiman yang ada pada diri Ad.
“Banyak babak yang mencabar antaranya dipukul dan ada juga yang
me�nyentuh perasaan iaitu babak pertemuan dengan ibunya di rumah
pelacuran,” kata Syafie.
No comments:
Post a Comment