SELAMA tujuh minggu bertarung, nampaknya nasib masih menyebelahi tujuh peserta program Maharaja Lawak Mega apabila tiada penyingkiran diumumkan pada saingan Jumaat lalu.
Program yang hanya berbaki tiga minggu sebelum final dijangka berlangsung pada 30 Disember ini menyaksikan 10 peserta meneruskan cabaran untuk persembahan minggu kelapan pada minggu ini.
Merujuk pada penilaian juri dan SMS penonton, persembahan minggu lalu memihak pada kumpulan Osbon dianggotai Mohd Yusof Abdul Hamid (Mr Os) bersama Sharizan Ahmad (Abon) yang berjaya menduduki tangga teratas dengan kutipan markah sebanyak 74 peratus.
Tempat kedua dimiliki kumpulan Boboi dengan 68 peratus diikuti Adlin (64 peratus), Saehu (63 peratus), Syok (60 peratus), BP (56 peratus) dan Pi Mai (56 peratus).
Persembahan minggu lalu diadili tiga juri tetap, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Redzuawan Ismail (Chef Wan) dan bekas pemain bola sepak negara, Zainal Abidin Hassan serta bekas penyanyi kumpulan The Lima, Taura Taufany sebagai pengkritik jemputan.
Pada saingan minggu ketujuh, setiap peserta berdepan cabaran dua tema berbeza iaitu tiru gaya artis dan komedi senyap. Untuk tema pertama, setiap peserta berusaha meniru pelbagai gaya artis popular termasuk suara Siti dan Chef Wan dijenakakan salah seorang anggota Boboi, Afdlin Shauki yang mendapat sorakan gemuruh penonton di Dewan Teater Diraja, Shah Alam Selangor.
Afdlin tampil dengan kostum adiwira Batman cukup menghiburkan bersama pasangannya, Harun Salim Bachik. Mereka meraih pujian Chef Wan termasuk Zainal yang menyatakan Boboi bijak memainkan peranan.
Begitu juga Mr Os yang menjiwai watak penyanyi rock, Bandi manakala pasangannya, Abon sebagai Mak Mah menerima ucapan tahniah daripada Chef Wan yang menyifatkan aksi mereka sangat kelakar.
Komen positif juri juga diberikan pada kumpulan BP (Bawal Power) dianggotai Husni Mohd Rawi (Bob Kuman) dan Mohd Sobri Anuar Mohd Tarmizi apabila gaya Bob meniru suara bekas Menteri Kerja Raya, Datuk Seri S Samy Vellu manakala Sobri menjadi pengacara bangsa Arab menggeletek hati penonton.
“Jenaka kamu berdua sangat menarik. BP berjaya melaksanakan tugas dengan cemerlang dan jenaka yang dipersembahkan sangat kelakar,” kata Chef Wan.
Namun nasib minggu lalu tidak menyebelahi kumpulan Pi Mai yang menerima kritikan juri kurang mantap sehingga menduduki tangga tercorot. Kumpulan Syok pula dianggotai penyanyi Ifa Raziah bersama Suhaimi Yusuf dan Ariff Sudin mula menunjukkan peningkatan pada aksi lawak yang menghiburkan.
Siti memuji Syok tahu bagaimana mencari idea jenaka untuk dipersembahkan pada penonton dan melakonkan watak yang peka pada situasi masa kini. Paling menonjol, Ifa tampil melakonkan watak penyanyi Anita Sarawak.
Berbanding cabaran tema pertama, tema komedi senyap pula memberikan cabaran besar apabila sebahagian besar aksi peserta tidak melucukan. Namun cabaran kedua ini berjaya disempurnakan Osbon yang mempersembahkan jenaka Superman berlawan Ultraman cukup menggamatkan suasana penonton di dewan.
Teguran juri tetap diberikan pada BP yang melakonkan watak Mat Rempit dan orang buta yang ingin membuang air kecil dianggap Siti sebagai jenaka kurang sesuai. Malah Chef Wan menghentam persembahan BP sebagai tidak faham dan membosankan.
Persembahan Boboi dengan watak budak bersunat dan permainan Internet popular ‘angry bird’ masih diterima positif juri. Komen membina juga diberikan pada Syok dan Adlin melakonkan watak gorila mencari anak dikritik masih menghiburkan.
Pengurus Saluran Astro Warna, Bob Azrai berkata, keputusan tiada penyingkiran pada minggu ketujuh sudah ditetapkan pihak produksi sejak peringkat awal.
“Ini adalah kejutan yang kami sudah rancangkan. Namun dua peserta akan disingkir pada hujung persembahan minggu kelapan nanti.
“Buat masa ini, imuniti masih belum digunakan setiap juri untuk menyelamatkan peserta yang tersingkir. Untuk menggunakan imuniti ini, tiga juri tetap mesti mendapat persetujuan bersama untuk memilih satu peserta yang ingin diselamatkan,” katanya pada sidang media selepas program MLM berakhir.
Zainal mewakili juri tetap menyatakan persembahan peserta secara keseluruhan menunjukkan peningkatan dari minggu pertama hingga ketujuh.
“Untuk tema tiru gaya artis, semua peserta boleh dikatakan memberikan persembahan yang baik tetapi tema kedua, komedi senyap menyaksikan perbezaan ketara.
“Seperti BP, penonton tertanya-tanya apakah jenaka yang cuba disampaikan dan akhirnya mereka sendiri tidak ketawa,” katanya.
Pengurus Kumpulan Saluran Premium Astro, Nizam Sani pula berkata, persembahan peserta masih ditentukan menerusi undian juri sebanyak 70 peratus manakala 30 peratus pada penonton.
“Rating penonton di rumah untuk program ini menunjukkan ada peningkatan. Program ini mempunyai kelompok peminat sendiri dan terus setia menanti untuk menyaksikan persembahan setiap minggu dari minggu pertama hingga final nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment