Jom Buat Duit

Thursday 7 June 2012

Stephen Rahman-Hughes Tarik perhatian Mark Burnett

TERUJA...akhirnya berjaya hadir dengan album bahasa Melayu sepenuhnya.

SEKIAN lama hanya mendengar dan memantau perjalanan seninya, pertama kali bertemu anak kebanggaan Malaysia ini, tidak terasa kekok pun berbual dengannya. Biarpun baru selesai menjalani sesi fotografi di tempat lain, dia sempat membuat jenaka meskipun raut wajahnya jelas keletihan. Mujur saja, sesi petang itu berjalan dengan pantas.

Persinggahannya di ibu negara kali ini, Stephen Rahman-Hughes, yang menetap di United Kingdom (UK), ada agenda manisnya sendiri. Walaupun karier jejaka kacukan Inggeris-Melayu ini berpusat sepenuhnya di sana, namun tidak sekalipun dia lupa kepada rencana seninya di sini. Tampil dengan album yang menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya, apa pula formula digunakan jejaka ini untuk cuba menembusi industri nyanyian di sini?

Kebolehannya bercakap bahasa Melayu terhad dan jejaka bermata coklat ini mengakui kekurangannya itu. Justeru, timbul persoalan bagaimana agaknya dia menghayati setiap bait lagunya dan hasilnya mampukah diterima pendengar di sini?

Menjawab mengenai kekurangannya itu, Stephen dengan bakat nyanyiannya yang tidak perlu dipertikaikan lagi menyifatkan tugasan album itu sebagai sebuah mata pelajaran baginya.


“Untuk merealisasikan album berkenaan, memang satu cabaran yang amat besar kepada saya. Walaupun sudah berkali-kali ke sini, malah pernah membuat pementasan teater dengan bertutur bahasa Melayu namun nampaknya saya masih kena berusaha keras. Sehinggakan, rakan-rakan di sini pula yang terpaksa mengikut rentak pertuturan dan berkomunikasi dengan saya menggunakan bahasa Inggeris.

“Namun begitu, saya tidak menganggap lagu-lagu berkenaan sebagai beban. Inilah masa untuk saya mengasah dan bertungkus-lumus mempelajari makna setiap lirik lagu yang diberikan. Maka, pendekatan yang saya ambil memang mudah iaitu membuat terjemahan sambil meningkatkan pemahaman pada setiap perkataan.

“Masalah terbesar saya semestinya untuk menghayati maksud lagu berkenaan namun semuanya itu akan menjadi mudah tatkala mendapat panduan daripada komposer-komposer hebat yang terbabit. Sewaktu proses rakaman, di situlah mereka akan memberi tunjuk ajar supaya penghayatan saya menjadi lebih bagus.

“Hasilnya, bagi saya ia sangat memuaskan namun secara peribadinya, untuk prestasi saya sendiri, terlalu banyak yang saya ingin perbaiki lagi. Tetapi, syukurlah, beberapa rakan yang sudah mendengar album berkenaan memuji dan suka dengan nyanyian saya. Dengan industri muzik Malaysia yang tidak tentu-tentu, saya cuma mengharapkan album ini akan diterima seperti juga penyanyi tempatan lain,” jelasnya dengan riak ceria bercerita mengenai album yang turut menggunakan namanya sebagai judul.

Album sulung bahasa Melayunya yang turut mendapat permintaan daripada peminatnya di UK itu memuatkan lapan buah lagu termasuklah Sejuta Rasa ciptaan komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak, Di Ribaan Cinta, Bertemu Di Syurga dan Bawalah Aku (Azlan Abu Hassan), Expressi (Audi Mok), Ku Lepas (Andre Dinuth) serta Cinta Masih Ada dan lagu duet bersama Jaclyn Victor, Hati Berbisik, ciptaan Kevin Chin.

“Saya tidak tahu lagu mana yang paling disukai kerana bagi saya semuanya hebat. Lihat saja komposer-komposer yang terbabit, semuanya nama besar. Saya juga beruntung dapat berduet dengan Jac menerusi lagu Hati Berbisik kerana bagi saya dia adalah antara penyanyi hebat di rantau Asia ini. Walaupun sebelum ini kami pernah menyanyi bersama dalam satu persembahan di Istana Budaya namun dapat berduet bersamanya adalah satu penghargaan kepada saya,” jelasnya yang pernah memegang watak Hang Tuah dalam pementasan teater Puteri Gunung Ledang.

Bakal menghiasi profil kerjaya lakonannya, suami kepada Anjali Mehra itu hero filem epik terhebat tempatan, Hikayat Merong Mahawangsa itu kini rancak menjalankan penggambaran sebuah siri televisyen berkonsepkan dokudrama di bawah penerbit tersohor, Mark Burnett yang juga produser Survivor dan The Apprentice.

“Saya cukup bertuah kerana akhirnya bakat saya dikesan oleh Mark yang bertanggungjawab memberi watak utama kepada saya dalam siri terbabit. Sebenarnya, sebelum ini, saya pernah datang uji bakat dengan produksi miliknya yang diadakan di London untuk sebuah projek namun tidak terpilih kerana tiada watak sesuai buat saya.

“Bagaimanapun, syukurlah nama saya masih diletakkan dalam simpanan mereka dan sebaik saja sebuah siri epik diusulkan, akhirnya mereka memanggil saya semula. Penggambaran sudah bermula beberapa bulan yang lalu dan bagi saya, watak diberikan amat mencabar kerana siri ini berlatar belakangkan kisah purba.

“Apa-apapun semuanya masih lagi berada di peringkat awal dan apa yang pasti saya sangat bertuah apabila mendapat perhatian daripada produser berkenaan. Bekerja di bawah produksi Mark, benar-benar sesuatu pengalaman yang sangat menyeronokkan,” ujarnya.

Menjalankan penggambaran di sekitar negara padang pasir termasuklah Morocco dan Mesir, katanya, siri berkenaan bakal ditayangkan pada tahun hadapan.

Mendirikan rumah tangga pada sekitar awal tahun lalu di Tuscany, Itali, Stephen bersyukur kerana isterinya sangat memahami kerjayanya sebagai pelakon.

“Sekali-sekala, isteri saya juga datang ke lokasi penggambaran di Morocco kerana dengan jadual yang sangat padat, sukar untuk kami meluangkan masa. Dia berada di UK manakala saya pula terpaksa terbang ke sana sini demi menunaikan tuntutan kerja. Dia pun seorang penari dan berada dalam bidang ini jadi untuk memupuk persefahaman itu bukan isu utama.

“Mengenai kerjaya lakonan teater, saya terpaksa mengenepikan ia buat sementara kerana apa yang penting adalah fokus terhadap penggambaran siri epik berkenaan terlebih dulu. Manakala, untuk kerjaya di Malaysia pula, saya ada juga menerima beberapa tawaran namun masih mencari yang paling sesuai untuk diri saya,” kata pemenang anugerah Aktor Terbaik di Monte Carlo TV Festival 2012 ke-52 untuk wataknya dalam siri The Kitchen Musical itu.

Metro

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters