Jom Buat Duit

Wednesday 13 June 2012

Malaysia catat kemenangan selesa 2-0 ke atas Singapura

SHAH ALAM: Malaysia mencatat kemenangan selesa 2-0 ke atas Singapura pada perlawanan persahabatan timbal balik di Stadium Shah Alam, malam ini.
Kedua-dua pasukan sebelum ini seri 2-2 pada perlawanan persahabatan pertama di Stadium Jalan Besar, Singapura 8 Jun lepas.

Skuad Harimau Malaya yang dibimbing Datuk K. Rajagobal membuka tirai jaringan seawal minit ke-18 menerusi tandukan penyerang Negeri Sembilan, Ahmad Shakir Mohd Ali hasil hantaran silang Norshahrul Idlan Talaha dari sebelah kiri padang.

Kapten skuad negara, Mohd Safiq Rahim cuba menggandakan jaringan menerusi sepakan percuma pada minit ke-34 namun ditepis keluar penjaga gol lawan, Mohamed Hyrulnizam Juma'at.


Usaha bertali skuad pelawat yang dibimbing jurulatih dari Serbia Radojko Avramovic mencari gol penyamaan tidak kesampaian apabila benteng pertahanan negara dikawal ketat oleh Amiridzwan Taj Tajudin dan Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak.

Skuad Harimau Malaya berjaya menggandakan jaringan pada minit ke-61 menerusi Mohd Safiq yang melakukan sepakan percuma dari luar kotak penalti.

Perlawanan malam ini turut menyaksikan pemain tengah Singapura Mustafic Fahrudin dilayangkan kad merah selepas melakukan terjahan keras terhadap pemain tengah Harimau Malaya, Mohd Bunyamin Umar pada minit ke-68.

Sementara itu, Ketua Jurulatih negara, K.Rajagobal berkata beliau berpuas hati dengan kejayaan malam ini dan ia menunjukan semua pemain bermain dengan bersungguh-sungguh.

"Saya puji mutu persembahan semua pemain yang dapat kekal dalam tempo tinggi sehingga ke akhir perlawanan dan ia adalah satu peningkatan bagi skuad Harimau Malaya," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan.

Barisan Pemain:
Malaysia: Khairul Fahmi Che Mat, Amiridzwan Taj Tajudin (Mohd Faizal
Muhamad), Mohamad Aidil Zafuan Abdul Radzak, Mohd Fadhli Mohd Shas, K. Gurusamy,
Mohd Bunyamin Umar (Mahalli Jasuli), Mohd Safiq Rahim (kapten), S. Kunanlan,
Ahmad Shakir Mohd Ali (Mohd Safee Sali), Azamuddin Mohd Akil (Shahurain Abu
Samah), Norshahrul Idlan Talaha (Mohd Shakir Shaari).

Singapura: Mohamed Hyrulnizam Juma'at, Baihakki Khaizan (kapten), Daniel
Mark Bennett, Muhammad Raihan Abdul Rahman (Safirul Sulaiman), Muhammad Irwan
Shah Arismail, Mohammad Isa Abdul Halim, Shahdan Sulaiman, Mohammad Firdaus
Kasman (Agu Casmir), Mustafic Fahrudin, Aleksandar Duric, Qiu Li (Ahmed Fahmie
Jamil).

Pengadil: Teetichai (Thailand) - BERNAMA

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters