Jom Buat Duit

Friday 15 June 2012

Belanda di ambang penyingkiran

KHARKIV, Ukraine – Nasib Belanda pada kejohanan bola sepak Eropah (Euro) 2012 bagaikan ‘telur di hujung tanduk’.
Pada saingan peringkat kumpulan B, skuad bimbingan Bert van Marwijk (gambar kecil) itu sudah mengalami dua kekalahan.
Pada aksi pertama, mereka menjadi ‘lauk’ kepada Denmark apabila tewas 0-1 dan pada aksi kedua awal pagi semalam, skuad The Oranje itu tewas 1-2 kepada Jerman.
Paling mengecewakan, reputasi mereka sebagai naib juara Piala Dunia 2010 tidak ditonjolkan pada Euro kali ini.

Mungkin tidak keterlaluan jika dikatakan Belanda agak ‘segan’ untuk menggegar gawang lawan setiap kali memiliki peluang untuk berbuat demikian.
‘Ayam tambatan’ mereka, Robin van Persie dan Arjen Robben kurang menyerlah dan gerakan mereka terlalu mudah dibaca pertahanan lawan.
Meskipun sudah berada di ambang penyingkiran pada Euro 2012, namun van Marwijk belum mahu ‘mengangkat bendera putih.’
Kekalahan kedua berturut-turut Belanda itu menyaksikan mereka berada di tangga terbawah Kumpulan B tanpa sebarang mata.

Atas kertas, The Oranje masih lagi berpeluang untuk mara ke suku akhir sekiranya berjaya menewaskan Portugal sekurang-kurangnya dengan dua gol sambil berharap Jerman menewaskan Denmark pada aksi terakhir peringkat kumpulan nanti.
Pada aksi pagi semalam, Mario Gomez meledak dua gol buat Jerman sebelum Belanda merapatkan kedudukan menerusi van Persie.
“Kami tidak boleh menganggap semuanya telah berakhir walaupun kami berada dalam keadaan yang agak tenat,” kata van Marwijk.

“Pada minit-minit akhir, kami cuba mencari gol penyamaan, namun nasib tidak memihak kepada kami.”
Selepas tewas mengejut 0-1 kepada Denmark Sabtu lepas, Belanda kini perlu menewaskan Portugal pada baki terakhir perlawanan Kumpulan B Ahad ini sambil berharap Jerman menewaskan Denmark.
Van Marwijk menjelaskan, Belanda kini perlu melangsaikan hutang kepada penyokong The Oranje dengan menghadiahkan kemenangan ke atas Portugal yang diketuai Cristiano Ronaldo.
“Kami masih lagi ada peluang untuk mara dan kami perlu percaya terhadap diri sendiri,” katanya. – Agensi

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters