Jom Buat Duit

Monday 12 December 2011

Forum Baiki Kelemahan AIM



SESUDAH berdepan dengan kontroversi penarikan balik trofi anugerah Lagu Terbaik untuk Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM18), baru-baru ini, Persatuan Industri Muzik Malaysia (RIM) berusaha untuk membersihkan kembali nama mereka serta meraih kepercayaan penggiat dengan mengadakan satu forum khas.
Pelbagai perkara dibangkitkan penyanyi tempatan dalam majlis yang berlangsung hampir tiga jam di hotel The Royale Chulan, Kuala Lumpur, baru-baru ini. Antara yang kelihatan Joe Flizzow, Altimate, Atilia, Dior, Rozita Rohaizad, Ali XPDC dan Hunny Madu.

Paling penting forum itu diadakan bagi membolehkan penganjuran anugerah berprestij itu berjalan dengan lancar apabila diadakan lagi tahun hadapan.

Menurut Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM, Rosmin Hashim, selain itu beberapa pindaan membabitkan syarat penyertaan sedia ada dan pindaan yang dimahukan ahli turut dibuat pada sesi itu.
Segala cadangan dibawa kepada ahli RIM untuk dibincangkan, sekali gus penetapan mengenainya akan diputuskan kelak.
Turut sama dalam forum diadakan, Naib Pengerusi RIM dan Naib Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Industri, Adrian Lim serta Timbalan Ketua Pegawai Operasi RIM, R Ramani Ramalingam.

Empat elemen penting dibincangkan sepanjang forum berlangsung iaitu berkenaan kriteria ditetapkan, memaklumkan pindaan dalam setiap kriteria, penganjuran AIM akan datang, pemilihan artis sebagai penyampai, persembahan dan paling penting, menjawab segala persoalan yang berbangkit dalam majlis pada 12 November lalu.

Jelas Rosmin, berdasarkan maklum balas diberikan kebanyakan ahli terutama beberapa kontroversi dibangkitkan membabitkan kerakyatan artis bertanding di AIM yang dibangkitkan sebelum ini, pihaknya mahu menetapkan syarat bahawa pada masa akan datang, setiap penyanyi mestilah rakyat Malaysia.

“Sebelum ini, kita hanya menetapkan syarat bahawa komposer dan pencipta lirik lagu yang dipertandingkan harus 100 peratus rakyat Malaysia, namun kali ini kita mahu menetapkan bahawa penyanyi juga harus rakyat tempatan. Perkara ini kami lakukan demi menjaga kepentingan ahli RIM mahupun penggiat industri muzik tempatan itu sendiri,” jelasnya.

Tambahnya lagi, sekiranya penyertaan turut dibuka kepada penggiat luar, ia kelihatan janggal apatah lagi penganjuran AIM dibuat untuk mengangkat dan mengiktiraf karya dihasilkan penggiat tempatan.

“Bayangkan kalau kita benarkan komposer luar bertanding dengan penggiat tempatan. Mengambil contoh Edrie Hashim bersaing dengan Ahmad Dhani dan Ahmad Dhani menang untuk kategori besar seperti Lagu Terbaik, bukankah ia nampak janggal?” katanya.

Tambahnya lagi, RIM menganjurkan AIM berlandaskan apa yang dilakukan di Amerika, Britain mahupun Australia menerusi American Music Awards, Brit’s Awards dan Aria Awards yang mengangkat karya dihasilkan rakyat negara terbabit saja.

Pada majlis itu juga, RIM turut ditanya mengenai pembabitan artis tempatan yang mencipta nama di negara luar seperti Zee Avi yang menghasilkan album di luar negara mahupun Yuna yang akan melancarkan albumnya di Amerika Syarikat, sama ada boleh atau tidak menyertai AIM. Katanya, syarat menentukan bahawa setiap artis atau pemuzik bertanding harus menjadi ahli kepada RIM, sedangkan album dihasilkan Zee Avi di bawah label Amerika Brushfire Records yang bukan bernaung di bawah RIM.

“Pada saya, album Zee Avi itu peluangnya lebih besar untuk dipertandingkan pada majlis seperti Anugerah Grammy. Bagaimanapun, kami menerima cadangan dibuat ahli agar satu kategori khas diwujudkan bagi mempertandingkan mereka yang mencipta nama di luar negara ini agar album mereka juga dipertandingkan.
Bukan untuk Anugerah Wirama, sebaliknya anugerah khas dan ia turut dibuka kepada artis kita yang turut mencipta di negara seperti China, Hong Kong mahupun India,” katanya.

Selain itu cadangan dibuat agar AIM tidak dipecahkan mengikut bahasa juga akan dibawa kepada ahli jawatankuasa untuk menentukannya sama ada ia perlu atau tidak.

“Sebelum ini, kita mencada–ngkan agar empat anugerah AIM dibuat iaitu bagi lagu Melayu, Cina, India dan Inggeris. Rakan karyawan India dalam industri seni juga rasanya perlunya ada anugerah untuk mengiktiraf karya seni mereka yang sedang berkembang pesat,” katanya

Sementara itu, usaha RIM yang mahu memperbaiki kesilapan dengan menarik kembali anugerah yang diserahkan kepada Yuna bagi kategori Lagu Terbaik dan diberikan kepada Sedetik Lebih ciptaan Edry Abdul Halim dan nyanyian Anuar Zain, turut mendapat pujian daripada ahli yang hadir pada petang itu.

Kata Rosmin mengenai perkara itu, pihaknya sudah mengambil langkah lebih tegas agar perkara sama tidak berulang ini termasuk tidak lagi menggunakan khidmat Ernst & Young sebagai juruaudit pada masa depan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters