Jom Buat Duit

Monday 12 December 2011

Nabil, Razali Penyeri Mek Mulung



DALAM usaha mengetengahkan persembahan rakyat kepada masyarakat umum, Kumpulan Seni Persembahan Petronas (KSPP) buat pertama kali mementaskan Mek Mulung di luar Dewan Filharmonik Petronas (DFP).
KSPP memang sebelum ini terkenal dengan usaha memperjuangkan banyak kesenian rakyat yang hampir pupus.

Mula memperkenalkan Mek Mulung pada 2002, hingga kini, sudah empat pementasan dilaksanakan KSPP termasuk Mek Mulung Malim Bongsu dan tahun lalu, Mek Mulung Dewa Muda.

Kali ini, KSPP mengambil inisiatif untuk mementaskan pula Mek Mulung Cahaya Bulan yang menampilkan kisah pengorbanan Putera Cahaya Bulan terhadap permaisurinya, Puteri Nang Mara yang berjaya ditawan Raja Gergasi.
Penerbit Hartini Abdullah sewaktu ditemui pada majlis previu yang diadakan baru-baru ini menjelaskan, rancangan untuk mementaskan Mek Mulung Cahaya Bulan “Kami mahu lebih ramai orang datang menyaksikan sendiri drama Mek Mulung kerana ia adalah persembahan rakyat yang semakin dilupakan. Mementaskan drama pentas ini di Auditorium Dewan Bandaraya menjadikan ia lebih terbuka dan harga tiket adalah RM40, RM30 dan RM20,” katanya.

Dalam usaha menarik lebih ramai datang menyaksikan pementasan diadakan, tahun ini juga KSPP menjemput artis popular untuk membintanginya iaitu penyanyi dan pelakon Razali Hussain dan Nabil Raja Lawak.

Menjelaskan lebih lanjut mengenai pembabitan dua artis ternama itu, kata pengarahnya, Roslee Mansor, kedua-dua pelakon itu punya kelebihan apatah lagi Mek Mulung diketahui ramai memang kaya dengan jenaka.

“Sebelum ini, kami ada beberapa senarai nama untuk ditampilkan dalam Mek Mulung Cahaya Bulan ini. Apabila ia dibuat dalam usaha memperkenalkan persembahan rakyat ini kepada umum, nama-nama terkenal seperti Nabil dan Razali difikirkan sangat sesuai. Razali sendiri ada kelebihan kerana pernah terbabit dalam pementasan teater berskala besar termasuk Uda Dan Dara, Puteri Gunung Ledang dan Teratak Minang.

“Kedua-dua artis ini mempunyai pengikut yang besar jumlahnya. Apabila kami tampilkan mereka dalam Mek Mulung Cahaya Bulan, diharapkan peminat setia akan hadir menyaksikan persembahan dibuat. Ini antara strategi dilakukan KSPP untuk memperkenalkan drama pentas ini dengan lebih meluas,” katanya.

Pada waktu sama kata Roslee, sebagai orang yang bertanggungjawab mengangkat kembali persembahan Mek Mulung adalah penting untuk pihaknya mengetengahkan persembahan rakyat ini agar dikenali generasi muda.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters