MENJELANG 26 Februari ini, lokasi terkenal Kodak Theatre, Los Angeles sekali lagi menjadi tumpuan segenap penggiat seni antarabangsa apabila acara berprestij Academy Awards ke-84 akan dilangsungkan.
Acara tahunan ditunggu ramai ini suatu yang meninggalkan makna mendalam pada barisan calon untuk menggenggam Oscar. Apa yang menarik, kategori utama yang dipertandingkan seperti Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Aktor dan Aktres Terbaik menjadi bualan ramai di kalangan pengkritik meramal kemenangan.
Jika diukur pada pencapaian anugerah Golden Globe ke-69 lalu, filem The Descendants arahan Alexander Payne dan The Artist (Michel Hazanavicius) mencatat kemenangan Filem Terbaik kategori Drama dan Muzikal atau Komedi.
Namun, percaturan Oscar pula melihat The Artist bersama Hugo karya pengarah tersohor, Martin Scorsese dijangka memberi saingan sengit. Scorsese meraih pencalonan terbanyak dengan 11 kategori diikuti 10 pencalonan untuk The Artist turut mengharapkan tuah menang Pengarah Terbaik dan Aktor Terbaik menerusi Jean Dujardin.
Pencapaian The Artist membawa konsep ‘silent movie’ dalam versi hitam putih sebelum ini menyerlah dengan tujuh kemenangan termasuk Filem Terbaik pada acara British Academy of Film and Television Arts (Bafta) lalu.
Reputasi pengarah berusia 69 tahun, Scorsese pula menang Oscar untuk Pengarah Terbaik menerusi The Departed (2007) pasti mencuri tumpuan juri apabila filemnya kali ini membawa kelainan merujuk pada kisah pengembaraan seorang anak yatim terperangkap di stesen kereta api diselubungi kisah misteri mendiang bapanya, mengambil latar belakang zaman 1930 di Paris.
Di sebalik tumpuan pada dua filem ini, calon filem lain juga memberi kekuatan terdiri seperti The Descendants, The Help, Moneyball, Extremely Loud and Incredibly Close dan The Tree of Life.
Pada acara Screen Actors Guild Awards (SAG) ke-18 lalu menyaksikan Dujardin menang Aktor Terbaik manakala Aktres Terbaik diberikan pada Viola David (The Help).
The Descendants menampilkan George Clooney sebagai pendukung watak utama mempertaruhkan genre komedi mengisahkan usaha bapa memulihkan hubungannya dengan dua anaknya.
Clooney yang juga menang Aktor Terbaik pada Bafta lalu dijangka mengulangi kejayaan sama disaingi Brad Pitt (Moneyball), Dujardin (The Artist), Gary Oldman (Tinker Tailor Soldier Spy) dan Demian Bichir (A Better Life).
Kategori Aktres Terbaik menjadi pilihan pada aktres senior, Meryl Streep dijangka mengulangi kemenangan buat kali ketiga. Aktres berusia 62 tahun kelihatan yakin untuk menang ketika ditemubual wartawan pada acara Festival Filem Berlin minggu lalu.
Dia pernah menang kategori itu menerusi Kramer vs Kramer (1980) dan Sophie’s Choice (1983). Meryl dicabar empat calon lain, Glenn Close membintangi Albert Nobbs, Viola Davis (The Help), Rooney Mara (The Girl with the Dragon Tattoo) dan Michelle Williams (My Week with Marilyn).
Kategori Pengarah Terbaik, Hazanavicius bertanding bersama Payne, Scorsese, Woody Allen (Midnight in Paris) dan Terrence Malick (The Tree of Life).
Acara anjuran Academy of Motion Picture Arts and Sciences ini yang menjadi acara penuh gemilang ditonton berjuta penonton seluruh dunia secara langsung menyenaraikan barisan penyampai antaranya Ben Stiller, Bradley Cooper, Penelope Cruz, Angelina Jolie, Cameron Diaz, Halle Berry, Tom Cruise, Tom Hanks, Jennifer Lopez dan Melissa McCarthy.
No comments:
Post a Comment