Jom Buat Duit

Tuesday, 21 February 2012

Jamal tetap dinanti



KEHADIRAN penyanyi sehebat Jamal Abdillah untuk konsert di sesuatu lokasi sememangnya ditunggu peminat. Inilah yang berlaku apabila Raja Pop ini berkunjung ke selatan tanah air bagi mengadakan Konsert Malam Mutiara Kasih pada 12 Februari lalu yang berlangsung di JB Expo, The Zone Regency Hotel, Johor Bahru.

Penyanyi berusia 53 tahun yang beraksi dalam konsert anjuran SNZ Event Management bermatlamat membantu golongan tua yang dipinggirkan anak dan keluarga ini, masih berupaya menarik kehadiran hampir 2,000 peminat biarpun pada malam sama berlangsung banyak acara lain.
Harga tiket bukan lagi menjadi ukuran dan menjelang jam 8 malam, peminat mula memenuhi dewan serta sabar menantikan kehadiran penyanyi legenda ini. Tetapi sebelum itu, mereka disajikan dengan keletah Dee yang menghiburkan sebagai pe�ngacara. Ada saja jenakanya yang mencuit hati mereka.

Selepas itu ditampilkan pula Rahmat Mega yang menyampaikan tiga lagu iaitu Nina Karina, Pasti dan Bayangan Gurauan. Sebagai anak tempatan, Rahmat mudah berkomunikasi dengan peminatnya. Bahkan ada di kalangan mereka tidak melepaskan peluang merakam gambarnya ketika beraksi di pentas.


Saat yang dinantikan akhirnya tiba dan sebaik Jamal muncul dengan lagu rancak berjudul Perjalanan, dewan menjadi gamat dengan sorakan peminat yang rata-ratanya golongan berusia pertengahan 30-an. Seperti biasa Jamal hanya mempertaruhkan kelebihan suaranya tanpa props yang berlebihan dan sebarang gimik tetapi ini sudah cukup memberikan kepuasan buat peminat.

Kemeriahan malam itu diteruskan lagi apabila dia menyampaikan lagu Kekasih Awal Dan Akhir dan Kau Lupa Janji sebelum bertanyakan penonton apa permintaan mereka. Akhirnya dia disuruh menyanyikan lagu Azura dan ketika dia mengambil kesempatan turun ke bawah bertemu peminat dari meja ke meja, mereka berebut-rebut merakam gambar kenangan bersamanya.

Malam itu menyaksikan Jamal tampil menyanyikan lagu bernada tinggi dan lagu seterusnya ialah Aku Penghiburmu, Takdir Penentu Segala dan Keluhan Perantau. Ketika tampil dengan lagu Gadis Melayu yang ditukar lirik menjadi Gadis Johor, dia mengajak 10 peminat wanita tampil bersama�nya di atas pentas. Suasana ketika ini sangat gamat.

Kejutan turut berlaku apabila Jamal mengundang Ayai (Ilusi) yang bertugas di sebalik tabir sebagai penyelaras persembahan malam itu berduet menyampaikan lagu Seroja. Mereka seperti beradu kekuatan vokal masing-masing dan hasilnya nyanyian ini sangat menghiburkan.

Berehat seketika, Jamal tampil selepas itu dengan sesi segmen khas P Ramlee. Kali ini dia bermain gitar bergandingan artis undangan bernama Tymer yang bermain saksofon. Pilihan lagu yang disampaikan ialah Jeritan Batinku, Kasihnya Ibu dan Barang Yang Lepas Jangan Dikenang.

Mengiringi lagu ini, klip video yang memaparkan aktiviti Jamal di Rumah Orang-Orang Tua Nur Ehsan, Kempas pada hari sebelumnya di layar lebar dan ini sudah cukup meruntun perasaan peminat. Suasana dewan menjadi sunyi sepi bahkan ada di kalangan mereka me�ngalirkan air mata. Terbukti Jamal berjaya membuai emosi dengan konsep persembahannya yang pelbagai.

Sebelum menyampaikan lagu Seniman Menangis, seperti biasa Jamal membuka topik memberitahu kisah lagu ini sememangnya berkaitan dengannya. Glamor dan dipuja peminat ketika di atas pentas namun hakikatnya kese�orangan dan bersendirian
di rumah. Tidak ramai yang tahu dia sebenarnya menyembunyikan air mata di sebalik kacamata hitam yang dipakainya.

Selesai menyampaikan lagu itu, dia turun ke belakang pentas sebagai gimik mengakhiri per�sembahannya. Bagaimanapun, dia naik semula apabila diminta oleh peminat dan menyampaikan lagu terakhir, Rayuan Maut. Sememangnya Jamal membuktikan dia antara penyanyi terbaik negara. Lontaran vokalnya sempurna tanpa ada cacat cela.

Dibantu oleh sistem bunyi terbaik dibawakan oleh Team 1 dikendalikan oleh John Lee yang bertindak sebagai pembantu pengurus dan Melvin Goh sebagai jurutera bunyi, persembahan Jamal diibaratkan begitu sempurna dan memuaskan hati serta meninggalkan kenangan buat semua peminat yang hadir pada malam itu.

Ditemui selepas konsert berakhir, Jamal meluahkan kepuasannya kerana berjaya menunaikan tanggungjawabnya terhadap penonton. Segala resah gelisah yang bersarang di jiwanya sebelum mengadakan persembahan sudah berakhir.

“Pemuzik serta kru yang terbabit sangat bagus dan berjaya melaksanakan tugas mereka dengan baik. Biarpun berlaku keadaan kelam-kabut ketika sesi latihan beberapa jam sebelum konsert berlangsung, saya berjaya mengatasinya dengan baik. Saya kena ketepikan semua itu dan kena fikir bagaimana nak jadikan konsert ini menarik.

“Saya kena pikul tanggungjawab menghiburkan peminat yang membeli tiket. Impian
saya untuk menyampaikan sebanyak 15 lagu tercapai akhirnya. Saya juga ‘cipta’ suatu benda yang lain seperti persembahan dengan Tymer. Ternyata ia memukau peminat dan saya bersyukur semuanya berjalan lancar,” katanya yang memberitahu aktiviti nyanyiannya padat sepanjang tahun ini.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters