Jom Buat Duit

Tuesday, 21 February 2012

Kilafairy Nafi sudah tenggelam





BERGELAR anak kepada penyanyi popular Rohana Jalil, pastinya ramai yang beranggapan bahawa tidak sukar buat Kilafairy untuk mencipta nama dengan begitu pantas.
Pernah mendapat jolokan sebagai ‘Angelina Jolie Malaysia’ oleh segelintir peminat kerana memiliki bibir seakan-akan aktres popular itu semakin menjadi sebutan ramai apabila membawakan watak gadis gedik dalam filem sulungnya berjudul Karak pada tahun lalu.

Bagaimanapun, namanya kini seakan-akan semakin tenggelam dengan kemunculan lebih ramai pelakon baharu sama ada di kaca televisyen atau layar perak sehingga ada yang mengatakan kedudukannya sebagai pelakon mula terancam.

Ketika ditemui sewaktu sesi fotografi bersama Kosmo! baru-baru ini, pemilik nama sebenar Shakila
Nisha Jahangir Khan mengakui dia terpaksa berhadapan dengan saingan pelakon baharu, tetapi tidak merasakan dirinya tergugat dengan situasi tersebut.
“Kalau melihat kepada keadaan yang berlaku sekarang ini, industri hiburan di Malaysia semakin meriah dengan kehadiran ramai artis baharu yang sangat berbakat dan ini adalah satu perkembangan yang cukup baik.

“Namun, saya rasa tidak perlu merasa cemas kerana kebanyakan artis baharu yang muncul itu juga adalah terdiri daripada kalangan rakan-rakan saya sendiri dan kami saling menyokong di antara satu sama lain,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini.
Menurut Kilafairy, tidak dinafikan memang terdapat segelintir peminat yang merasakan dirinya semakin tenggelam serta dibayangi oleh ramai pelakon wanita baharu yang semakin menyerlah dan kerap mendapat liputan media.

Ujarnya, biarpun menyedari seseorang pelakon itu memerlukan publisiti untuk lebih dikenali, namun dia agak kurang gemar tampil di media sekiranya tidak muncul dalam sesuatu produk sama ada drama atau filem terbaharu.

KILAFAIRY tidak mahu terburu-buru mengejar populariti dalam usianya yang masih muda ini.



Bercerita lebih lanjut tentang kerjaya pula, pelakon berkenaan memberitahu dia masih lagi mendapat banyak tawaran berlakon tetapi terpaksa ditolak kerana jadualnya yang padat memandangkan kini dia juga turut menuntut di sebuah kolej.
“Selalunya kalau ada tawaran yang diterima, saya akan diberikan watak yang sudah klise seperti antagonis dan gadis gedik. Kalau ada tawaran yang sesuai pula pasti akan bertembung dengan jadual kuliah saya.
“Bukan saya mahu jadi terlalu selektif dalam memilih tawaran berlakon, tetapi saya percaya kalau hendak terus bertahan dalam bidang ini sesesorang pelakon harus bijak memilik watak yang ditawarkan,” ujarnya yang bakal muncul dalam filem Hora Hore pada tahun ini.
Pada masa yang sama, Kilafairy menegaskan buat masa ini dia mahu memberi lebih tumpuan kepada pengajiannya di peringkat Diploma Lanjutan Fesyen, Pemasaran dan Pengurusan di Kolej Antarabangsa Raffles.
Ujarnya, dalam usia yang baru menjangkau 20 tahun, dia tidak mahu terlalu terburu-buru mencipta nama dalam bidang seni dan percaya rezeki tetap ada di mana-mana dan masih banyak pengalaman yang mahu diperolehinya.
“Boleh jadi disebabkan kesibukan saya sebagai seorang pelajar, maka kemunculan saya dalam drama atau televisyen agak kurang sehingga menyebabkan ramai yang beranggapan saya semakin tenggelam.

“Ketika ini saya hanya mahu tumpukan kepada pengajian saya terlebih dahulu. Biasanya kalau saya berlakon atau membuat persembahan nyanyian pun adalah sewaktu mempunyai waktu terluang dan cuti semester,” ujarnya.

Diminati ramai
Selain berlakon, Kilafairy juga sebenarnya turut mewarisi bakat nyanyian yang diwarisi oleh ibunya yang sudah mencipta nama sebagai penyanyi hebat serta kerap membuat persembahan di merata-rata tempat.
Menariknya, kini lagunya berjudul Roman yang mengandingkannya bersama kumpulan baharu yang dikenali sebagai Roman semakin diminati ramai dan kerap disiarkan di stesen radio popular.
“Sebenarnya saya sendiri sudah jangkakan lagu tersebut akan digemari ramai, walaupun pada asalnya lagu itu dihasilkan adalah untuk lagu tema sebuah drama bersiri berjudul Tihany yang disiarkan di TV9 pada akhir tahun lalu.

TIDAK tertekan dengan kemunculan ramai artis baharu, Kilafairy melihat senario tersebut dari sudut positif.



“Ketika mula-mula saya diperdengarkan lagu Roman oleh Amylea Azizan yang juga komposer lagu tersebut, saya terus jatuh cinta dan mengakui ia adalah sebuah lagu yang melonjakkan nama saya dalam bidang nyanyian pula,” ujarnya.
Menurut Kilafairy, pada mulanya dia memang agak terkejut apabila dia telah dipilih berduet dengan kumpulan Roman untuk menyanyikan lagu tersebut, namun peluang yang diberikan itu digunakan sebaik-baiknya.
Ujarnya lagi, dia turut mengagumi bakat yang dimiliki oleh Amylea sebagai seorang komposer muda dan mereka terus bekerjasama untuk menghasilkan single sulungnya yang kini masih lagi dalam proses.
“Untuk single terbaharu ini saya keluarkan perbelanjaan sendiri dan menggunakan khidmat Amylea sepenuhnya. Kini proses rakaman sudah hampir separuh siap dilakukan, cuma kami sedang mencari tajuk yang sesuai untuk single berkenaan,” ujarnya.
Menurutnya, dia meletakkan harapan yang cukup tinggi agar peminat dapat menerima kehadirannya dalam bidang nyanyian setelah single terbaharunya itu akan turut diterima seperti lagu Roman.
Buka perniagaan

Sebagai seorang pelajar yang mengambil jurusan fesyen dan perniagaan, Kilafairy juga bakal bergelar sebagai seorang usahawan muda apabila dia akan membuka sebuah butik pakaian.
Menjelaskan lebih lanjut mengenai perniagaannya yang akan dijalankannya itu, dia bersama-sama dengan kakaknya akan membuka butik yang terletak di USJ 19 City Mall, Subang Jaya dan kini butiknya itu dalam proses pengubahsuaian.

“Sementara menunggu butik berkenaan siap sepenuhnya untuk proses pengubahsuaian, kami sudah bermula dengan perniagaan yang dikenali sebagai ‘garage sale’ di kawasan sekitar USJ 19 City Mall tersebut.
“Kebanyakan barang yang terjual pula adalah barangan terpakai seperti baju, aksesori wanita dan kasut. Setakat ini perniagaan yang kami jalankan ini mendapat sambutan yang cukup menggalakkan,” ujarnya.

Jelasnya, apabila selesai sepenuhnya proses pengubahsuaian, butik tersebut akan dikenali sebagai Rack dan mereka akan menjual pelbagai fesyen baju, termasuk yang direka sendiri oleh kakaknya.
“Sebenarnya kakak saya adalah seorang pereka fesyen dan buat permulaan kami akan menjual pakaian wanita sahaja terlebih dahulu. Mengenai harga pula ia tidaklah terlalu mahal dan saya jamin ia mampu untuk dimiliki oleh semua golongan,” ujarnya.
Tentang pembabitannya dalam bidang perniagaan, Kilafairy memberitahu memang impiannya sejak kecil adalah mahu menjadi seorang ahli perniagaan yang berjaya dan berharap impian tersebut menjadi kenyataan.

No comments:

Post a Comment

Klik Untuk Saya k... :)

free counters