KEGAGALAN dalam kehidupan berumah tangga memberikan satu tamparan yang hebat buat pelakon Abby Abadi apabila rumah tangganya sekadar bertahan selama enam tahun sahaja setelah bercerai dengan pelakon Norman Hakim pada tahun 2008.
Kemudian, hasratnya untuk hidup bersama dengan lelaki yang dicintai pula berkecai setelah hubungannya dengan pelakon sedang meningkat naik, Zul Ariffin pula menemui titik noktah.
Biarpun melalui fasa kehidupan yang begitu sukar dan agak pahit untuk ditelan, tetapi ia ternyata bukanlah penamat segala-galanya sehingga melunturkan semangatnya untuk meneruskan kehidupan yang mendatang.
Menurut pelakon yang mula popular menerusi drama bersiri Gerak Khas itu ketika ditemui baru-baru ini, Abby menyatakan segala yang berlaku langsung tidak menjejaskan kehidupan sehariannya. Malah, pelakon berkenaan juga memberitahu dia bakal mengerjakan umrah pada bulan hadapan.
Kosmo!: Semenjak kebelakangan ini kisah mengenai Abby lebih banyak berkisarkan tentang hubungan dengan Zul Ariffin. Bagaimana pula dengan perkembangan kerjaya Abby ketika ini?
ABBY: Kalau bercerita tentang kerjaya, baru-baru ini saya baru sahaja selesai menghasilkan sebuah single berjudul Aku Tak Mahu. Selain itu, ada tawaran berlakon yang saya terima dalam tempoh terdekat, tetapi saya terpaksa tolak memandangkan saya akan mengerjakan umrah.
Bila Abby akan mengerjakan umrah?
Insya-Allah, kalau tiada halangan saya akan berangkat ke tanah suci Mekah pada 11 Mac nanti. Segala persiapan telah pun dibuat dan saya akui memang cukup berdebar menantikan tarikh keberangkatan memandangkan saya pergi tanpa ditemani oleh ahli keluarga.
Adakah pemergian Abby ke Mekah untuk mengerjakan umrah disebabkan mahu mengubat hati yang terluka?
Sebenarnya niat saya untuk mengerjakan umrah sudah lama, tetapi banyak halangan yang terpaksa saya lalui dan saya anggap masih belum rezeki saya pada waktu itu. Saya bersyukur apabila akhirnya hasrat saya telah termakbul pada tahun ini. Jadi, ia bukanlah disebabkan saya mahu mengubati hati yang kecewa sehingga mengambil keputusan untuk mengerjakan umrah. Saya tidak nafikan hati ini memang berbelah bahagi, namun Allah itu maha pengasih dan penyayang dan selalu berdoa agar kehidupan saya selamat di dunia dan akhirat.
Ada rakan-rakan artis lain yang akan turut menyertai Abby ke Mekah nanti?
Tentang itu saya kurang pasti dan pemergian saya ke sana akan ditemani oleh Mama Juwie. Pada mulanya saya memang tidak mahu memberitahu kepada sesiapa pun tentang mengerjakan umrah kerana tidak mahu dipandang sinis oleh segelintir pihak. Kemudian apabila saya berfikir semula, rasanya tidak salah kalau saya memberitahu kepada orang ramai tentang niat saya ini kerana pasti ia boleh menjadi ikutan pula kepada para peminat. Kalau melancong ke luar negara boleh dihebahkan kepada peminat, kenapa hendak berahsia pula jika mahu mengerjakan umrah.
Setelah hubungan Abby dan Zul berakhir, pernah terfikir untuk mencari pengganti?
Semenjak bergelar solo memang ada beberapa lelaki yang cuba mendekati saya dan mahu menjadikan saya kekasih, tetapi sudah tentu saya tidak sewenang-wenangnya untuk menerima walaupun pelbagai janji yang ditaburkan. Pada usia yang sudah mencecah 34 tahun, memang saya berharap dapat memiliki seorang suami yang bertanggungjawab dalam menguruskan hal ehwal rumah tangga. Cuma buat masa ini saya bahagia dengan kehidupan sekarang dan lebih selesa untuk berkawan dengan sesiapa sahaja.
Boleh ceritakan lebih lanjut mengenai single Aku Tak Mahu?
Ini adalah sebagai langkah permulaan buat saya untuk membuat kemunculan semula dalam bidang nyanyian. Mengenai lagu tersebut ia telah dihasilkan sepenuhnya oleh Edry Abdul Halim. Saya percaya kalau peminat mendengar lagu ini pasti akan mengaitkannya dengan kisah percintaan saya dengan Zul Ariffin, tetapi ia sebenarnya langsung tidak ada kena-mengena. Ketika saya meminta lagu daripada pihak KRU, mereka memberi lima buah lagu yang kesemuanya hampir sama liriknya dan akhirnya saya memilih lagu ini.
No comments:
Post a Comment