SETIAP pelakon pastinya mengimpikan untuk membawa watak hero atau protagonis, tetapi berlainan halnya dengan jejaka kacukan Inggeris-Melayu, Zain Saidin.
Zain yang mula bertatih dalam bidang seni lakon sejak terbabit drama rantaian berjudul Suraya di TV3 semakin hari semakin menyinar dengan lakonannya yang berkesan.
Pelakon yang akan genap berusia 28 tahun pada 23 Februari depanternyata tidak kisah membawakan watak jahat atau antagonis dalam drama lakonannya.
“Saya tidak kisah bawa peranan apa sekali pun asalkan ia berkualiti dan dapat memberi impak kepada penonton yang melihat lakonan saya.
“Selain itu, saya tidak memilih dengan tawaran yang diberikan produser kerana kepercayaan yang diberikan mereka sudah cukup menggembirakan dan ini bererti mereka percaya dengan bakat yang saya ada,” katanya kepada Rap, kelmarin.
Sekarang drama terbaru lakonan Zain, Gemersik Kalbu sedang ditayangkan di TV3 bermula semalam. Ia turut menampilkan Aqasha, Ayu Raudhah, Anzalna Nasir dan Fazreen Rafi. Drama terbabit diadaptasikan daripada novel nukilan Anis Ayuni arahan Heykal Haniffah.
Gemersik Kalbu antara lain berkisar mengenai kisah pergolakan hati dan perjuangan cinta dilalui Raihana (Ayu Raudhah), seorang wanita yang tabah mengharungi dugaan hidup sejak kecil apabila ditinggalkan dalam jagaan neneknya.
“Dalam drama ini, saya memegang watak sebagai Hisham, seorang pekerja pejabat yang berusaha mendapatkan cinta Raihana, gadis idamannya.
“Hisham sanggup menggunakan taktik kotor dalam persaingan untuk merebut Raihana daripada Sufian lakonan Aqasha,” cerita Zain.
Drama terbitan Global Station Sdn Bhd sebanyak 24 episod itu akan ke udara setiap Isnin hingga Khamis di TV3, jam 7 malam, bermula semalam.
Buat masa sekarang, Zain menjalani penggambaran drama terbaru terbitan RTM berjudul Bermulanya di Sini di Pulau Pinang selama seminggu.
Drama 13 episod yang turut dibintangi pelakon baru, Miera Liyana serta Abby Abadi itu berkisarkan cinta remaja yang berputik sepanjang menjalani Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Keseluruhan penggambaran drama itu mengambil tempat di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur.
“Alhamdulillah, ada saja tawaran berlakon yang tidak putus-putus dan ini menguatkan azam saya untuk terus berjaya dalam bidang yang diminati sedari kecil lagi.
“Selain itu, saya turut dalam proses merakamkan ‘single’ saya dalam genre rap yang bakal menemui pendengar dalam Februari atau Mac depan kalau tiada aral melintang memandangkan saya kini masih terikat dengan sesi penggambaran drama,” katanya yang pernah digelar Eminem Malaysia oleh rakan terdekat.
“Kalau semua proses penggambaran tamat, barulah saya akan masuk ke studio untuk merakam lagu terbabit dan kalau mendapat sambutan, Insya-Allah saya akan terbitkan album penuh pula suatu hari nanti,” katanya yang juga adik kepada penyanyi kumpulan Elite, Sasha.
Sebelum ini, pernah terdengar ura-ura mengatakan anak bongsu daripada tiga beradik ini merajuk sehingga mahu meninggalkan Malaysia untuk melebarkan bakat di negara seberang, Indonesia.
“Saya bukan merajuk sehingga mahu meninggalkan tanah air sebaliknya jika mempunyai tawaran berlakon di sana, saya mungkin pertimbangkan kalau mendapat watak yang dapat mencabar kredibiliti lakonan.
“Abang ipar saya, Salyo turut ada rakan kru produksi di sana, sekali gus ini peluang cerah untuk saya mengembangkan bakat yang sedia ada ke sana, Insya-Allah,” katanya.
Bercakap mengenai azam tahun barunya, Zain menjelaskan, dia mahu membintangi sebuah filem bercorak aksi ala KL Gangster serta membawakan watak yang mempunyai karektor sekali gus memberi impak kepada penonton yang terhasil daripada karya itu bermutu.
“Selain itu, kalau ada rezeki lebih, saya juga mahu menunaikan umrah dan haji tahun ini. Doakan saya dapat capai semua azam yang diimpikan selama ini,” katanya.
Sementara itu, sikap Zain yang bersikap terbuka dan sedia bergambar tanpa baju pernah diselar segelintir masyarakat yang kurang menyenangi aksinya itu.
Mengulas mengenai isu itu, Zain menjelaskan dia bukan sengaja mahu menayangkan tubuh badannya, sebaliknya mahu memberikan kelainan dalam penampilan untuk sesi fotografi bersama pihak media.
“Benda ini tidak sepatutnya dijadikan isu kerana saya hanya membuka baju, bukannya saya tidak berpakaian langsung!” selorohnya.Temankan Che Ta ke Genting?
NAMA Zain juga seakan-akan tidak pernah sunyi daripada digosipkan dengan ibu tunggal jelita, Rozita Che Wan. Baru-baru ini, tersebar cerita dia menemani pelakon yang dikenali sebagai Cik Ta dan kedua-dua anaknya bercuti di Genting Highlands.
Menjawab persoalan itu, Zain berkata, dia hanya menemani Cik Ta dan anaknya sempena cuti persekolahan dan baginya tidak salah sebagai kawan dia berbuat demikian.
“Buat masa sekarang saya memang masih solo dan tidak terikat dengan mana-mana perempuan. Mengenai gosip dengan Rozita itu, ingin saya jelaskan kami memang berkawan rapat tapi tak pernah bercinta pun!
“Kami boleh berkawan rapat kerana saya menyenangi sikapnya yang pemurah dan peramah dengan sesiapa saja. Selain Rozita, saya juga rapat dengan rakan artis lain seperti Azza Elite dan Natasha Hudson.
“Sebenarnya saya tak ada masalah untuk berkawan dengan wanita yang lebih berusia atau matang kerana saya jenis yang tidak memilih kawan serta boleh berkawan dengan sesiapa saja.
“Cukup-cukuplah dengan gosip cinta kerana tahun ini saya hanya mahu lebih fokus kepada karier seni saja selain mengurangkan kontroversi yang sering melanda diri saya. Saya mahu membuka mata orang ramai dengan bakat lakonan dan nyanyian yang dimiliki saya,” katanya.
7 perkara mengenai Zain
Haiwan yang paling geli: Biawak atau ‘water lizard”
Warna yang paling tidak disukai: Kelabu
Supermodel antarabangsa yang hebat: Naomi Campbell
Kereta idaman: Nissan Skyline
Idola lakonan: Aaron Aziz, Tom Cruise, James Dean
Aksesori kegemaran: Rantai
Artis wanita tempatan paling cantik:
No comments:
Post a Comment